MSWG Weekly Newsletter 30 March 2018 (BM)

Friday, 30 March, 2018

30.03.2018

SUARA MSWG

Berita tentang Rang Undang-Undang mengekang Berita Palsu baru-baru ini mencetuskan kekecohan.

Melihat dari perspektif pasaran modal, ‘Berita Palsu’ boleh mengakibatkan kerugian yang nyata terhadap orang awam yang menjadi mangsa kepada nasihat pelaburan yang tidak benar melalui pelbagai platform pelaburan dalam talian yang dikatakan ditulis oleh pakar dan ‘guru’ pasaran tetapi hakikatnya cuma skim ‘pump and dump’ yang menguntungkan pelakunya (amalan penipuan yang menggalakkan para pelabur membeli saham dalam sesebuah syarikat dengan bertujuan menaikkan harga saham secara buatan dan kemudian menjual saham sendiri sementara harganya tinggi).

Menurut SC, menyebarkan maklumat palsu tentang syarikat tersenarai dengan tujuan menipu untuk kepentingan diri adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 178 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA). Seksyen 178 ini bertajuk ‘Menipu orang supaya berurus niaga dalam sekuriti’.

SC sentiasa bertegas terhadap jenayah kolar putih. Pendirian SC dapat dilihat baru-baru ini daripada pendakwaan terhadap dua pegawai bank iaitu Tan Giap How dan Ng Ee Fang serta seorang lagi Pengarah Eksekutif syarikat tersenarai awam, Daniel Yong Chen-I, atas kesalahan yang melibatkan perdagangan orang dalam dalam saham Hirotako Holdings Bhd pada 2011 ketika syarikat ini terlibat dalam pengambilalihan oleh MBM Resources Bhd. Perdagangan orang dalam adalah kesalahan di bawah Seksyen 188 CMSA yang membawa hukuman penjara tidak melebihi sepuluh tahun dan denda tidak kurang sejuta ringgit.

Kami mengulang amaran SC iaitu pelabur perlu sentiasa berhati-hati dan berusaha mengesahkan kesahihan apa-apa maklumat, nasihat atau tip ‘pelaburan’. Dakwaan perdagangan orang dalam baru-baru ini juga merupakan peringatan terutama kepada peserta industri supaya tidak menyalahgunakan kedudukan mereka sebagai orang dalam, bukan sahaja kepada bank, akauntan dan peguam tetapi juga kepada broker, penganalisis dan wartawan. Maklumat orang dalam adalah hak istimewa yang tidak boleh digunakan untuk membuat keuntungan atau mengelakkan kerugian.

 

KISAH MALANG SPAC RED SENA

Red Sena adalah satu-satunya SPAC (Syarikat Pemerolehan Tujuan Khas) bukan Minyak dan Gas yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Red Sena sudah mengingatkan para pelabur jika ia gagal membuat Pengambilalihan Berkelayakan pada akhir tahun, syarikat akan mengikuti jejak langkah CLIQ Energy dan Sona Petroleum dan mengembalikan dana kepada para pemegang saham.

KEJAYAAN GRAB, IPO BESAR-BESARAN?

Penjualan Uber kepada Grab iaitu saingannya yang berasal dari Malaysia berikutan Grab sentiasa memfokuskan tenaga dan pelaburannya dalam pasaran Asia Tenggara. Prospek IPO besar-besaran bagi perkhidmatan tempahan kenderaan tersebut sudah pasti mengujakan penganjur pasaran modal dalam rantau ini.

Bursa juga mungkin bersaing dengan pihak seperti SGX, Bursa Saham Hong Kong, bahkan Bursa Saham New York atau Nasdaq untuk pengapungan awam perniagaan Grab, yang dikatakan kini bernilai lebih $6 bilion.

Walaupun pengasas Grab, Anthony Tan adalah rakyat Malaysia, (beliau berasal dari keluarga Tan yang mengawal syarikat-syarikat tersenarai dalam Bursa iaitu Tan Chong Motor dan APM Automotive Holdings Bhd), fakta ini sahaja tidak cukup untuk meyakinkan Tan untuk disenaraikan di Malaysia.

PASUKAN MSWG

30 Mac 2018

 


PANDANGAN RINGKAS MSWG TENTANG PERKEMBANGAN KORPORAT SEMASA

EKOVEST BERHAD (“EKOVEST”) / ISKANDAR WATERFRONT CITY BERHAD (“IWCITY”)

Lembaga Pengarah Ekovest mengumumkan pemegang saham syarikat itu tidak meluluskan resolusi berkaitan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat oleh syarikat itu untuk memperoleh semua saham tawaran dalam IWCITY (“Tawaran yang Dicadangkan”) seperti yang dinyatakan dalam notis Mesyuarat Agung Luar Biasa (“EGM”) bertarikh 12 Mac 2018 dalam EGM yang diadakan pada 29 Mac 2018.

Butiran hasil pengundian yang disahkan oleh Tetuan Coopers Professional Scrutineers Sdn Bhd, Pengawas Undian Bebas yang dilantik oleh syarikat itu adalah seperti berikut:

 

MENYOKONG

MENENTANG

 

Jumlah undi

%

Jumlah undi

%

Resolusi Biasa

195,750,297

30.8

439,821,290

69.2

[Sumber: Pengumuman Ekovest di laman web Bursa Malaysia pada 29 Mac 2018]

KOMEN MSWG:

Keputusan pengundian seolah-olah bertepatan atau mempunyai justifikasi terhadap tindak balas negatif awal pasaran, sama ada betul atau tidak, kepada cadangan pemerolehan apabila ia mula-mula diumumkan oleh Ekovest yang menyebabkan kejatuhan harga sahamnya. Sebuah rumah penyelidikan luar negara juga telah menurunkan gred saham dengan ketara berikutan pengumuman itu.

Pada mulanya, kami terkejut apabila para pemegang saham Ekovest yang tidak berkepentingan mengundi menentang Tawaran yang Dicadangkan kerana kami percaya Tawaran yang Dicadangkan dapat memberi manfaat kepada para pemegang saham Ekovest dalam jangka panjang. Walau bagaimanapun, selepas analisis mendalam hasil undian dan mempertimbangkan kebimbangan yang ditimbulkan oleh para pemegang saham yang tidak berkepentingan berdasarkan pemerhatian kami semasa EGM, kami percaya isu-isu berikut boleh menyumbang kepada penolakan Tawaran yang Dicadangkan:

(i)   Pemegang saham yang tidak berkepentingan mewakili jumlah saham yang besar (439.8 juta saham) yang mengundi menentang resolusi. Ada kemungkinan besar ia berpunca daripada pemegang saham institusi. Seperti yang dimaklumkan dalam Laporan Tahunan terkini Ekovest 2017, 30 pemegang saham teratas pada 6 Oktober 2017, mendedahkan sejumlah besar pemegang saham institusi dengan pegangan saham yang besar;

(ii)  Harga penyelesaian tunai iaitu RM1.50 setiap saham IWCITY mungkin tidak diterima dengan baik oleh pemegang saham Ekovest yang tidak berkepentingan memandangkan ia bukan sahaja lebih tinggi daripada harga pasaran IWCITY tetapi juga saham Ekovest iaitu kira-kira RM1.00, terutama apabila saham Ekovest disamakan dengan saham IWCITY atas dasar pertukaran saham 1:1;

 (iii) Ramai pemegang saham tidak berkepentingan Ekovest, terutama pemegang saham institusi memegang saham syarikat dengan niat menerima dividen yang setimpal kerana Ekovest memiliki beberapa konsesi lebuh raya yang menguntungkan. Mereka mungkin bimbang syarikat itu terpaksa meningkatkan pinjamannya. Selain itu, jika sebahagian besar pemegang saham Ekovest memilih penyelesaian tunai dan bukan swap saham, ini mungkin memberi kesan terhadap pembayaran dividen kerana syarikat itu kini perlu membayar hutangnya sebelum dividen boleh dibayar kepada pemegang saham;

(iv) Ada juga yang berpendapat Ekovest sepatutnya menumpukan perhatian kepada perniagaan sedia ada iaitu dalam pembinaan dan infrastruktur dan bukannya meneroka sektor hartanah;

(v)  IWCITY kini memegang bank tanah yang besar di Johor Bahru dan ada kebimbangan terhadap lebihan penawaran hartanah. Walaupun jumlah bank tanah mempunyai nilai realisasi yang sangat tinggi, ia mengambil masa yang sangat lama untuk merealisasikan nilainya, terutama apabila pasaran hartanah sedang mengalami kelembapan;

(vi) Kumpulan IWCITY telah menjual tiga bidang tanah di Plentong kepada Greenland Tebrau Sdn Bhd (“Greenland”) pada harga RM2.37 bilion. Walau bagaimanapun, pembayaran oleh Greenland kini ditangguhkan kerana Greenland meminta lanjutan masa untuk melunaskan bayaran agregat kedua dan ketiga sebanyak RM92.6 juta; dan

(vii) Pemegang saham tidak berkepentingan Ekovest mempersoalkan latar belakang pemegang saham Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (“IWH”), rakan kongsi yang akan terus memegang saham dalam IWCITY selepas Tawaran yang Dicadangkan. Mereka nampaknya tidak selesa dengan potensi struktur pemegangan saham IWH kerana pemegang saham tidak diketahui.

Selepas mengetahui hasil pengundian, persoalan yang menarik perhatian dan boleh dipertimbangkan iaitu apakah agaknya keputusan pengundian jika mengandaikan terdapat pemegang saham institusi yang serupa dalam Ekovest dan IWCITY, lebih-lebih lagi jika mereka mempunyai lebih banyak saham dalam IWCITY? Adakah cadangan pengambilalihan Ekovest itu akan diluluskan? Ini adalah kerana jika pengambilalihan yang dicadangkan itu dilaksanakan, pemegang saham IWCITY mendapat habuan yang lebih baik.

 

TA ANN HOLDINGS BERHAD (“TA ANN”) / SARAWAK PLANTATION BERHAD (“SPB”)

Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan oleh Ta Ann bertujuan mempertimbangkan Cadangan Pemerolehan 30.39% kepentingan ekuiti dalam SPB telah diadakan pada 23 Mac 2018. Pengambilalihan yang dicadangkan menerima 100% sokongan daripada para pemegang saham/ proksi yang mengundi dalam EGM itu.

Pada 28 Mac 2018, SPB mengumumkan pelantikan Dato’ Wong Kuo Hea (“Dato’ Wong”) sebagai Pengarah Eksekutif (ED) SPB.

Dato’ Wong kini adalah Ketua Pegawai Eksekutif/ Pengarah Urusan Kumpulan (MD) Ta Ann. Selepas pelantikan Dato’ Wong sebagai ED dalam SPB, beliau akan memegang jawatan ketua pegawai eksekutif dan pengarah eksekutif dalam kedua-dua syarikat tersenarai awam ini.

 [Sumber: Pengumuman SPB di laman web Bursa Malaysia pada 23 & 28 Mac 2018]

KOMEN MSWG:

Pada masa ini, tiada peraturan yang menghalang ED/ MD/ Ketua Pegawai Eksekutif daripada memegang jawatan berkenaan dalam lebih daripada satu syarikat tersenarai awam. Kami mengakui gabungan kepakaran dan sumber daripada kedua-dua syarikat boleh mewujudkan sinergi. Walau bagaimanapun, kami bimbang CEO/ ED yang terlibat secara aktif dalam perniagaan dua syarikat tersenarai awam akan menjejaskan keupayaan CEO untuk menumpukan masa, perhatian dan usaha kepada kedua-dua syarikat tersenarai awam ini, lebih-lebih lagi jika salah satu syarikat memerlukan usaha untuk memperbaiki keadaan kewangan dan operasi seperti dalam kes SPB.

Situasi ini juga berpotensi mencetuskan konflik kepentingan terutama apabila syarikat terbabit bukan anak syarikat milik penuh.


TINJAUAN MINGGUAN AGM MSWG UNTUK TEMPOH 2 HINGGA 6 APRIL 2018

Berikut adalah AGM/EGM syarikat-syarikat di bawah senarai pemantauan MSWG pada minggu ini.

Ringkasan perkara penting disenaraikan di bawah, manakala butiran terperinci soalan yang diajukan kepada syarikat boleh didapati di laman web MSWG di www.mswg.org.my

Tarikh & Masa

Syarikat

Lokasi

03.04.18 (Selasa)
10.00 pagi

Syarikat Takaful Malaysia Bhd
(AGM)

Annexe Block, Menara Takaful Malaysia, No. 4, Jalan Sultan Sulaiman, KL

06.04.18 (Jumaat)
03.30 petang

Zecon Bhd
(EGM)

Menara Zecon, No. 92, Lot 393, Section 5 KTLD, Jalan Satok, Kuching, Sarawak

 

Perkara penting untuk diajukan:

Syarikat

Perkara/ Isu Untuk Diajukan

Syarikat Takaful Malaysia Bhd
(AGM)

1.       Di bawah “Ulasan Anak Syarikat” pada halaman 46 Laporan Tahunan, dinyatakan PT Asuransi Umum (ATU), PT Asuransi Takaful Keluarga (ATK) dan PT Perusahaan Takaful Indonesia (STI) menyumbang kurang 10% daripada jumlah pendapatan operasi kasar Kumpulan.

Sila jelaskan tentang rancangan sederhana dan jangka panjang termasuk sumbangan dan sasaran bagi STI dan ATK serta kepentingan pasaran Indonesia kepada strategi keseluruhan Kumpulan.

2.       Mengenai operasi domestik, apakah KPI/ sasaran bagi segmen perniagaan utamanya untuk TK berakhir 2018? Bagaimanakah anda merevolusikan operasi anda untuk memanfaatkan kelebihan digital dan apakah manfaatnya sehingga kini?       

Zecon Bhd
(EGM)

Selepas melupuskan kepentingan ekuiti sebanyak 49% kepada Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak (SFSS), adakah terdapat sebarang perubahan kepada model bisnes dan operasi perniagaan Zecon Medicare sekarang?


Penganalisa MSWG

Lya Rahman, Pengurus Besar [email protected]
Rebecca Yap, Ketua, Pemantauan Korporat [email protected]
Quah Ban Aik, Ketua, Pemantauan Korporat [email protected]
Norhisam Sidek, Pengurus, Pemantauan Korporat [email protected]
Wong Kin Wing, Pengurus, Pemantauan Korporat [email protected]
Hoo Ley Beng, Pengurus, Pemantauan Korporat [email protected] 
Elaine Choo, Pengurus, Pemantauan Korporat [email protected]

Lee Chee Meng, Pengurus, Pemantauan Korporat [email protected] 

Abdul Halim Alias, Pengurus, Pemantauan Korporat [email protected]

Mustaqim Yusof, Penganalisa, Khidmat Korporat [email protected]

Muhammad Faris bin Mohamed Yusof, Penganalisa, Pemantauan Korporat [email protected]


PENZAHIRAN KEPENTINGAN

•               Sehubungan dengan syarikat-syarikat yang dinyatakan, MSWG memegang jumlah saham yang minima di dalam syarikat-syarikat yang dinyatakan di dalam surat berita ini kecuali bagi Iskandar Waterfront City Berhad.


Maklumbalas

Kami mengalu-alukan maklumbalas anda mengenai surat berita dan khidmat kami. Sila e-mel komen dan cadangan anda ke [email protected].


PENOLAKAN TUNTUTAN

Surat berita ini dan isi kandungannya berserta semua hak-hak berkaitan dengannya termasuk hak cipta dimiliki oleh Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Berhad, juga dikenali sebagai Minority Shareholder Watchdog Group (MSWG).

Isi kandungan dan pendapat yang dinyatakan di dalam surat berita ini adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada domain awam dan bertujuan untuk memberikan maklumat umum kepada pengguna dan adalah untuk rujukan sahaja. Usaha terbaik telah dilakukan untuk memastikan maklumat yang terkandung di dalam surat berita ini adalah tepat dan terkini pada tarikh penerbitan. Walaubagaimanapun, MSWG tidak membuat sebarang waranti nyata atau tersirat atas ketepatan atau kelengkapan maklumat dan pendapat yang terkandung di dalam surat berita ini. Tiada maklumat di dalam surat berita ini yang bertujuan atau patut dianggap sebagai syor untuk membeli atau menjual atau jemputan untuk melanggan sekuriti tertentu, pelaburan yang berkaitan atau mana-mana instrumen kewangan.

MSWG perlu diberikan perakuan bagi mana-mana bahagian surat berita ini yang diterbitkan semula.

MSWG tidak akan bertanggungjawab atau menanggung sebarang liabiliti atas kebergantungan kepada sebarang maklumat atau komen yang terkandung di dalam surat berita ini atau jika ianya diterbitkan semula oleh pihak ketiga. Semua pembaca atau pelabur dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat perundangan atau nasihat profesional yang lain sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan surat berita ini.

Language: