MSWG Weekly Newsletter 28 September 2018 (BM)

Friday, 28 September, 2018

28.09.2018

MESEJ KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF

 

Laporan Suku Tahunan - Adakah Masih Diperlukan?

Di Malaysia, syarikat awam berhad (PLC) dikehendaki mengumumkan penyata kewangan suku tahunan mereka dalam tempoh dua bulan dari tarikh akhir suku tahun berkenaan.

Semakin banyak pihak membahaskan tentang kelebihan dan kelemahan pengumuman suku tahunan ini.

Sesetengah negara mengecualikan pengumuman suku tahunan dan menggantikannya dengan pengumuman keputusan setengah tahun, atas sebab tertentu.

Pengawal selia di Malaysia mungkin sedang mengkaji semula faedah dan kelemahan pengumuman suku tahunan ini.

Kami di MSWG lebih menyukai pengumuman suku tahunan kerana ia memberikan pemegang saham petunjuk awal mengenai keadaan kewangan PLC. Ketelusan laporan suku tahunan memudahkan proses membuat keputusan. Penzahiran maklumat yang lebih kerap juga memudahkan proses penetapan harga.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata bulan lepas, laporan kewangan enam bulan akan ‘membenarkan lebih banyak kelonggaran dan menjimatkan wang’. Bahagian tentang ‘lebih banyak kelonggaran’ penuh maksud tersembunyi sementara ‘menjimatkan wang’ bukanlah faktor yang penting. PLC mengeluarkan laporan kewangan pengurusan setiap bulan yang diharap ‘boleh dipercayai’ untuk membuat keputusan dan untuk tujuan ini, mereka perlu mematuhi piawaian perakaunan yang ditetapkan (iaitu MFRS, di Malaysia).

Penyata kewangan tahunan yang beraudit adalah ringkasan penyata kewangan pengurusan bulanan yang ‘boleh dipercayai’. Jika mereka boleh menghasilkan penyata kewangan pengurusan bulanan yang ‘boleh dipercayai’, maka PLC pasti boleh menghasilkan laporan tiga bulan daripada penyata kewangan ini dan mengumumkannya sebagai pengumuman suku tahunan.

Ada yang mengatakan laporan suku tahunan meningkatkan bilangan pelaburan jangka pendek. Definisi ‘jangka pendek’ ini boleh dibahaskan. Ada yang berpendapat tempoh enam bulan dianggap sebagai jangka pendek. Oleh itu, penyediaan laporan untuk tempoh enam bulan tidak dapat mengurangkan pelaburan jangka pendek. Siapalah kita untuk menentukan baik buruk ‘pelaburan jangka pendek’ ini. Lagipun, transaksi ini menjadi nadi penggerak dalam mana-mana bursa saham. Pasaran terdiri daripada pelabur jangka pendek dan pelabur jangka panjang. Tidak adil jika kita menjatuhkan pelabur jangka pendek demi mengutamakan pelabur jangka panjang.

Satu lagi hujah membantah pelaporan suku tahunan adalah ia boleh memesongkan prestasi kewangan sebenar bagi keseluruhan syarikat. Pendapat sedemikian merendah-rendahkan pelabur kerana kita mengandaikan bahawa pelabur tidak menyangka kemungkinan ini. Atau dalam erti kata lain, adalah lebih baik jika kita mengandaikan pelabur sedar tentang risiko ini dan akan mempertimbangkan risiko ini apabila membuat keputusan pelaburan mereka.

Bagi industri kitaran dan industri yang bergantung pada parameter antarabangsa yang berubah-ubah, kita perlu memuji pelabur yang mengambil kira faktor-faktor ini apabila membuat keputusan pelaburan mereka.

Hujah lain untuk menghapuskan pelaporan suku tahunan adalah CEO akan mengurangkan perbelanjaan, menangguhkan permulaan projek yang bermanfaat atau menempah jualan lebih awal dari masa yang sepatutnya bagi memenuhi sasaran pendapatan suku tahunan mereka.

Sebab itulah kita memerlukan lembaga pengarah yang dianggotai pengarah bebas, bagi memastikan perkara itu tidak berlaku. Perlu diingat bahawa strategi PLC dimiliki oleh lembaga pengarah. Bagaimanapun, perkara terakhir mengenai ‘jualan tempahan pada masa hadapan’ nampak sangat mencurigakan dan integriti syarikat mungkin dipersoalkan.

Mungkin syarikat dapat melaksanakan pendekatan dua peringkat. Mungkin kita juga boleh mengkelaskan syarikat-syarikat ini kepada ‘syarikat besar’ (yang menepati definisi Syarikat Besar dalam MCCG) dan ‘lain-lain’ serta mensyaratkan salah satu kategori ini untuk laporan suku tahunan dan yang lain, kepada pelaporan enam bulan. Persoalannya ialah yang mana antara kedua-dua kategori ini tertakluk pada laporan suku tahunan dan enam bulan? ‘Syarikat besar’ umumnya mempunyai sumber kewangan yang lebih besar dengan fungsi kewangan yang lebih canggih serta pada masa yang sama mengunakan khidmat penganalisis penyelidikan. Syarikat ‘lain-lain’ pula mempunyai sumber kewangan yang lebih kecil, fungsi kewangan yang kurang canggih serta tidak begitu diliputi oleh penganalisis penyelidikan malah ada yang tiada langsung. Ada bidang kuasa yang mewajibkan ‘syarikat besar’ untuk membuat pengumuman suku tahunan dan mengecualikan syarikat ‘lain-lain’ daripada pengumuman suku tahunan, sebaliknya melaporkan untuk tempoh 6 bulan.

Pengawal selia berdepan tugasan yang sukar. Mereka perlu melibatkan diri dengan pelbagai pihak berkepentingan dan membuat keputusan yang mendatangkan manfaat paling besar kepada seberapa ramai orang yang mungkin.

Namun, melihat dari perspektif MSWG, kami lebih memilih pengumuman suku tahunan kerana ia menunjukkan ‘petanda awal’ yang seterusnya memudahkan penetapan harga.

Salam,

Devanesan

28 September 2018


PANDANGAN RINGKAS MSWG TENTANG PERKEMBANGAN KORPORAT SEMASA

Indeks Kepelbagaian dan Keterangkuman Global (D&I) Thomson Reuters untuk 2018

Pada 6 September 2018, Thomson Reuters mengumumkan senarai 100 organisasi di seluruh dunia dengan kepelbagaian dan keterangkuman tertinggi bagi 2018 seperti yang disenaraikan oleh Indeks Kepelbagaian dan Keterangkuman (D&I). Lebih 7,000 syarikat tersenarai awam disenaraikan secara global berdasarkan data alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Tiga syarikat Malaysia berada dalam senarai kedudukan 100 teratas dengan Digi.com (“Digi”) satu-satunya syarikat Malaysia dalam senarai 50 teratas. Dua lagi syarikat Malaysia iaitu Nestle (Malaysia) Bhd (“Nestle”), menduduki tangga ke-88 dan Kumpulan CIMB Holdings Berhad (“CIMB”) menduduki tempat ke-95.

[Sumber: http://www.theedgemarkets.com/article/digi-ranks-top-50-global-diversity...

 

KOMEN MSWG:

 

Tahniah DiGi, Nestle dan CIMB. Syarikat-syarikat ini mengharumkan nama mereka dan negara.

Secara tradisi, pelabur membuat keputusan pelaburan berasaskan penilaian terhadap syarikat. Kini, pelabur memberikan lebih penekanan terhadap faktor ESG (terutama perubahan iklim) sebelum membuat keputusan berkaitan pelaburan atau penjualan pelaburan. Pelabur dan syarikat semakin prihatin terhadap kesan faktor ESG ke atas risiko dan pulangan pelaburan dalam jangka panjang. Contohnya, risiko alam sekitar terhadap penyusutan sumber asli, kesan perubahan iklim, risiko sosial terhadap kesihatan dan keselamatan pekerja, risiko kehilangan tempat tinggal dan sumber ekonomi masyarakat tempatan, risiko pematuhan terhadap peraturan dan pelaporan, dan lain-lain. Penekanan yang lebih besar perlu diletakkan terhadap kesan faktor ESG ke atas perniagaan dan ekonomi sesebuah negara.

Kami berbangga melihat syarikat Malaysia menyerlah di platform global dan berharap dapat melihat lebih banyak syarikat Malaysia disenaraikan dalam kedudukan teratas di peringkat global.

 


TINJAUAN MINGGUAN AGM MSWG BAGI TEMPOH 1 HINGGA 5 OKTOBER 2018

Berikut adalah AGM/EGM syarikat-syarikat di bawah senarai pemantauan MSWG pada minggu ini.

Ringkasan perkara penting disenaraikan di bawah, manakala butiran terperinci soalan yang diajukan kepada syarikat boleh didapati di laman web MSWG di www.mswg.org.my

 

Tarikh dan Masa

Syarikat

Lokasi

02.10.18 (Selasa)

10.30 pagi

Malakoff Corporation Berhad

Hotel Istana, 73, Jalan Raja Chulan, KL

 

03.10.18 (Rabu)
10.00 pagi

Bermaz Auto Berhad

Bukit Jalil Golf & Country Resort, Jalan Jalil Perkasa 3, Bukit Jalil, KL

 

Beberapa perkara penting untuk diajukan:

Syarikat

Perkara/ Isu untuk Diajukan

Malakoff Corporation Berhad

(EGM)

 

Seperti yang dinyatakan di halaman 28 dalam Pekeliling, Kumpulan Alam Flora telah diberikan pengecualian cukai ke atas pendapatan perniagaan berkanun oleh Kementerian Kewangan. Walau bagaimanapun kami mendapati keuntungan proforma yang boleh diagihkan kepada pemilik Malakoff dikira berdasarkan keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada 97.37% kepentingan ekuiti dalam Alam Flora untuk TK berakhir 31 Mac 2018 yang berjumlah RM96.8 juta, selepas diselaraskan bagi mengambil kira kadar cukai pendapatan korporat sebanyak 24%.

Sila jelaskan sama ada Kumpulan Alam Flora akan terus menikmati pengecualian cukai ke atas pendapatan perniagaan berkanunnya pada masa hadapan?

Bermaz Auto Berhad

(AGM)

 

  1. Kami mendapati ada penurunan mendadak dalam kos audit dalaman iaitu RM59,414 pada TK2018 berbanding RM95,595 pada TK2017.

Apakah yang menyebabkan penurunan kos ini dan adakah ia menjejaskan skop fungsi audit dalaman syarikat?

2.   Walaupun keuntungan selepas cukai pada TK2018 lebih tinggi iaitu RM151.0 juta berbanding RM131.5 juta pada TK2017, dividen sesaham menurun dengan ketara daripada 18.5 sen pada TK2017 kepada 8.55 sen pada TK2018.

       Walaupun keuntungan yang lebih tinggi dapat mewajarkan peningkatan dalam imbuhan pengarah eksekutif, kami mendapati jumlah imbuhan meningkat dengan ketara iaitu sebanyak 97.6% daripada RM2.657 juta dalam TK2017 kepada RM5.252 juta dalam TK2018. (Sila rujuk halaman 114)

Bolehkah Lembaga jelaskan kadar dividen yang rendah serta peningkatan dalam imbuhan pengarah eksekutif?

 


PASUKAN MSWG

Devanesan Evanson, Ketua Pegawai Eksekutif, [email protected]

Lya Rahman, Pengurus Besar, [email protected]
Rebecca Yap, Ketua, Pemantauan Korporat, [email protected]
Quah Ban Aik, Ketua, Pemantauan Korporat, [email protected]
Norhisam Sidek, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]
Hoo Ley Beng, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]

Elaine Choo, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]
Lee Chee Meng, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected] 

Abdul Halim Alias, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]

Mustaqim Yusof, Penganalisa Kanan,Khidmat Korporat, [email protected]


PENZAHIRAN KEPENTINGAN      

•           Sehubungan dengan syarikat-syarikat yang dinyatakan, MSWG memegang jumlah saham yang minima di dalam syarikat-syarikat yang dinyatakan di dalam surat berita ini, kecuali bagi Sumatec Resources Berhad, D.B.E. Gurney Resources Berhad, Apex Equity Holdings Berhad dan HB Global Limited.


Maklumbalas

Kami mengalu-alukan maklumbalas anda mengenai surat berita dan khidmat kami. Sila e-mel komen dan cadangan anda ke [email protected].


PENOLAKAN TUNTUTAN

Surat berita ini dan isi kandungannya berserta semua hak-hak berkaitan dengannya termasuk hak cipta dimiliki oleh Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Berhad, juga dikenali sebagai Minority Shareholders Watch Group (MSWG).

Isi kandungan dan pendapat yang dinyatakan di dalam surat berita ini adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada domain awam dan bertujuan untuk memberikan maklumat umum kepada pengguna dan adalah untuk rujukan sahaja. Usaha terbaik telah dilakukan untuk memastikan maklumat yang terkandung di dalam surat berita ini adalah tepat dan terkini pada tarikh penerbitan. Walaubagaimanapun, MSWG tidak membuat sebarang waranti nyata atau tersirat atas ketepatan atau kelengkapan maklumat dan pendapat yang terkandung di dalam surat berita ini. Tiada maklumat di dalam surat berita ini yang bertujuan atau patut dianggap sebagai syor untuk membeli atau menjual atau jemputan untuk melanggan sekuriti tertentu, pelaburan yang berkaitan atau mana-mana instrumen kewangan.

MSWG perlu diberikan perakuan bagi mana-mana bahagian surat berita ini yang diterbitkan semula.

MSWG tidak akan bertanggungjawab atau menanggung sebarang liabiliti atas kebergantungan kepada sebarang maklumat atau komen yang terkandung di dalam surat berita ini atau jika ianya diterbitkan semula oleh pihak ketiga. Semua pembaca atau pelabur dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat perundangan atau nasihat profesional yang lain sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan surat berita ini.

Language: