MSWG Weekly Newsletter 26 Oct 2018 (BM)

Friday, 26 October, 2018

26.10.2018

TANDAKAN KALENDAR ANDA

 

MAJLIS ANUGERAH TADBIR URUS KORPORAT ASEAN KE-2 AKAN DIADAKAN DI

KUALA LUMPUR CONVENTION CENTRE PADA HARI RABU, 21 NOVEMBER 2018

Kami dengan sukacita mengumumkan penganjuran Majlis Anugerah Tadbir Urus Korporat ASEAN ke-2 yang akan diadakan dengan sokongan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Kami ingin kongsikan penemuan dan keputusan 50 syarikat tersenarai awam (“PLC”) ASEAN teratas dan PLC cemerlang dari setiap negara ASEAN yang mengambil bahagian, dari segi amalan tadbir urus korporat berdasarkan penilaian menggunakan Kad Skor Tadbir Urus Korporat ASEAN pada 2018.

Malaysia adalah tuan rumah untuk acara ini yang diadakan cuma dua tahun sekali. Usah lepaskan peluang untuk bersama-sama kami serta para pemenang dari rantau ASEAN dalam meraikan kecemerlangan tadbir urus korporat.

Penyertaan dan sokongan anda pada majlis ini amat dialu-alukan.

Sila hubungi Cik Emily Lim di talian 603-2070 9090 jika anda ada sebarang pertanyaan atau berminat untuk menyertai majlis ini.

 


MESEJ KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF

Belian balik saham Apex Equity Holdings Bhd - Siapa yang dipertanggungjawabkan?

Syarikat telah melaksanakan beberapa belian balik saham antara tahun 2005 hingga 2017.

Mereka kemudiannya menyedari bahawa Perlembagaan Syarikat tidak memberikan kuasa untuk melaksanakan belian balik saham. Perlembagaan (atau sebelum ini dikenali sebagai Memorandum dan Tataurusan Syarikat (M&A)) sepatutnya dipinda supaya memberikan kuasa yang diperlukan sebelum melakukan belian balik saham, dengan kelulusan para pemegang saham.

Perlembagaan, yang sebelum ini dikenali sebagai M&A, adalah piagam penting yang mengawal hubungan antara syarikat dengan pemegang sahamnya. Dalam contoh di atas, syarikat telah bertindak ultra vires (di luar kuasanya).

Banyak pihak, termasuk pemegang saham, mungkin menganggap belian balik saham adalah transaksi biasa yang diamalkan oleh banyak PLC, lebih-lebih lagi memandangkan resolusi ini telah dicadangkan oleh Lembaga Pengarah untuk kelulusan mereka. Mereka tidak menyedari bahawa kuasa untuk melaksanakan belian balik saham perlu dinyatakan dalam Perlembagaan syarikat. Walau bagaimanapun, Akta Syarikat 2016 (Seksyen 127 (1)) secara jelas menyatakan bahawa syarikat yang sahamnya disenaraikan di bursa saham boleh membeli sahamnya sendiri jika dibenarkan oleh Perlembagaan syarikat. Perkara ini ditegaskan lagi dalam Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia (Bab 12.03) yang menyatakan, antara lain, syarikat tersenarai tidak boleh membeli sahamnya sendiri kecuali jika pemegang sahamnya, melalui resolusi biasa yang diluluskan pada mesyuarat agung, memberi kebenaran kepada para pengarah untuk membuat pembelian dan - (a) ia mematuhi seksyen 127 Akta Syarikat.

Pada AGM yang diadakan pada 28 Mei 2018, pemegang saham mengundi membantah resolusi biasa untuk cadangan pembaharuan kuasa bagi belian balik saham tetapi ini adalah prospektif. Tidak jelas mengapa mereka mengundi membantah resolusi itu. Ini bermakna syarikat tidak boleh melakukan belian balik saham pada masa akan datang. Ia tidak mempunyai apa-apa kesan retrospektif kerana belian balik saham sudah pun dilakukan.

Syarikat telah meminta dan mendapatkan perintah Mahkamah untuk mengesahkan kesemua belian balik saham yang pernah dilakukan. Dalam konteks ini, mungkin perkara ini menyakitkan dan sukar diterima oleh sesetengah pemegang saham minoriti yang membuat kesimpulan bahawa Syarikat mengetepikan undian majoriti pemegang saham yang membantah cadangan belian balik saham dalam AGM.

Para pemegang saham juga telah mengundi memihak kepada belian balik saham yang dicadangkan pada AGM-AGM sebelum ini, tanpa menyedari bahawa Perlembagaan tidak memberikan kuasa untuk melaksanakan belian balik saham.

Dalam keadaan sedemikian, Syarikat perlu membuat keputusan yang sukar iaitu sama ada menyelaraskan semua belian balik saham sebelum ini yang bermaksud Syarikat menjual kesemua saham belian balik di bursa saham atau ‘mengesahkan’ belian balik saham ini.

Syarikat memilih pilihan kedua dengan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi. Pada 26 September 2018, Mahkamah Tinggi membenarkan pengesahan belian balik saham terdahulu yang dibuat dalam tempoh 2005 hingga 2017.

Sebagai alternatif, Mahkamah mungkin meminta Syarikat untuk menyelaraskan belian balik sahamnya iaitu menjual kesemua saham dalam masa yang ditetapkan. Jika Syarikat kerugian, mereka perlu menjelaskan kepada pemegang saham. Adakah mana-mana saham yang dibeli balik akan diagihkan kepada pemegang saham sebagai dividen bagi setiap saham? Jika ya, bagaimanakah Syarikat dapat menyelesaikan perkara ini kerana sesetengah pemegang saham mungkin tidak dapat dikesan?

Selain daripada semua kerumitan yang kami sebutkan di atas, terdapat juga persoalan tentang kebertanggungjawaban dan pengurusan risiko. Siapakah yang perlu bertanggungjawab ke atas pengawasan?

Ada tiga pihak yang boleh dipertanggungjawabkan, dengan tahap akauntabiliti yang berbeza.

Lembaga Pengarah sepatutnya tahu tentang Perlembagaan.

Setiausaha Syarikat, sebagai penasihat kepada Lembaga, sepatutnya maklum tentang Perlembagaan.

Para pemegang saham juga, sebagai satu pihak yang ditadbir oleh Perlembagaan, sepatutnya tahu tentang Perlembagaan.

Mengikut kaedah yang betul, sebelum mencadangkan mana-mana resolusi atau melaksanakan apa-apa tindakan atau urus niaga, semakan yang teliti perlu dibuat ke atas Akta Syarikat dan Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia berkenaan perkara yang dibincangkan bagi memastikan kesahihannya.

MSWG menggalakkan semua syarikat tersenarai untuk menzahirkan Perlembagaan mereka di laman web korporat masing-masing. Ini akan memudahkan pemegang saham dan pihak berkepentingan lain untuk mengakses Perlembagaan syarikat.

Menyentuh persoalan pengurusan risiko, Syarikat perlu mengkaji rangka kerja pengurusan risiko dan mempertingkatkannya terutama dalam bidang pematuhan.

Cadangan juga telah dibuat supaya keputusan mahkamah boleh menghasilkan duluan yang mana Lembaga boleh bertindak ultra vires ke atas Perlembagaan dan kemudian disahkan oleh mahkamah sebagai fait accompli.

Oleh itu, akauntabiliti menjadi sangat penting. Hukuman perlu dikenakan terhadap mereka yang cuai atau mengambil tindakan melulu. Walau apa pun keputusan Mahkamah, kami ingin melihat tindakan yang wajar diambil oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia dalam kes ini bagi memastikan mereka yang terlibat dalam kemelut ini, tidak kira Syarikat dan/atau pihak pengurusan akan dipertanggungjawabkan mengikut Akta Syarikat 2016.

Meletakkan tanggungjawab ke atas orang yang memegang akauntabiliti memupuk sikap waspada dalam kalangan mereka yang ditugaskan dengan peranan statutori demi melindungi kepentingan pemegang saham seperti pengarah, setiausaha syarikat dan juruaudit luar. Mengenakan hukuman akan memastikan mereka yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga integriti Perlembagaan tidak akan mengetepikan Perlembagaan secara ‘tidak sengaja’.

Ada pihak berpendapat, mengenakan hukuman boleh menjadi motivasi terbesar untuk memastikan pematuhan. Pendapat itu ada benarnya.

 

Salam,

Devanesan

26 Oktober 2018


PANDANGAN RINGKAS MSWG TENTANG PERKEMBANGAN KORPORAT SEMASA

FGV HOLDINGS BERHAD (“FGV”)

Datuk Azhar Abdul Hamid, Pengerusi FGV, dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (“CEO”) sementara sehingga CEO baharu dilantik bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Zakaria Arshad (berdasarkan makluman yang difailkan di Bursa pada 24 Oktober 2018). Pengumuman itu juga menyatakan bahawa pelantikan itu telah pun dipersetujui oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (“MoF Inc”).

Datuk Zakaria meletakkan jawatan pada 18 September 2018 dan Jawatankuasa Lembaga Khas 2 telah ditubuhkan untuk mengambil alih fungsi CEO. Jawatankuasa ini telah dibubarkan dengan pelantikan Datuk Azhar sebagai Pengerusi merangkap CEO.

[Sumber: Pengumuman FGV di laman web Bursa Malaysia pada 24 Oktober 2018]

 

KOMEN MSWG:

Selangkah Ke Belakang dalam Tadbir Urus Korporat?

Amalan MCCG 2017 menganjurkan supaya jawatan Pengerusi dan CEO dipegang oleh individu yang berlainan. Amalan ini adalah untuk memastikan tiada siapa diberikan terlalu banyak kuasa dan terdapat ‘semakan dan imbangan’ terutama apabila Pengerusi dan Lembaga menyediakan pengawasan terhadap CEO dan pengurusan. Oleh itu, pelantikan di atas tidak selaras dengan amalan tadbir urus korporat yang baik.

Pelantikan ini menimbulkan beberapa persoalan yang menarik minat pemegang saham minoriti

•       Mengapakah Jawatankuasa Lembaga Khas 2 dibubarkan selepas hanya 5 minggu ditubuhkan? Adakah ia tidak berkesan?

•       Apakah yang terjadi kepada 11 calon yang dicadangkan untuk jawatan CEO (seperti yang dilaporkan dalam media)? Bukankah sepatutnya Jawatankuasa Lembaga Khas 2 diteruskan sehingga syarikat melantik calon CEO yang sesuai?

•       Apakah rasional melantik seorang Pengerusi merangkap CEO dan bukannya melantik seseorang selain Pengerusi sebagai CEO sementara sementara menunggu seseorang mengisi jawatan CEO? FGV pastinya mempunyai bakat yang mencukupi untuk melantik seseorang daripada kalangan pengurusan untuk memegang jawatan sebagai CEO sementara.

•       Berapa lamakah Datuk Azhar dijangka memegang jawatan CEO sementara?

Lembaga Pengarah sepatutnya memberikan lebih banyak rasional di sebalik keputusan mereka,  tanpa mengira sama ada MoF Inc telah bersetuju dengan pelantikan itu.

 

KIM TECK CHEONG CONSOLIDATED BERHAD (“KTC”)

KTC pada 19 Oktober 2018 telah mengumumkan laporan suku tahun keempat yang dipinda iaitu keputusan yang disatukan bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2018. Rugi bersih yang belum diaudit bagi tempoh 12 bulan berakhir 30 Jun 2018 yang pada asalnya berjumlah RM2.4 juta, merudum kepada RM6.8 juta.

Pada 22 Oktober 2018, KTC juga mengumumkan laporan suku ketiga yang disemak semula iaitu keputusan yang disatukan bagi suku kewangan berakhir 31 Mac 2018, dengan semakan semula seperti berikut:

 

Keputusan asal

Suku Ketiga 2018

Keputusan suku ketiga 2018 yang disemak semula

Varian

 

RM’000

RM’000

RM’000

Kredit/(perbelanjaan) cukai

2,649

(1,744)

(4,393)

Kerugian bersih bagi tempoh

(6,997)

(11,390)

 

Perbezaan pertukaran daripada terjemahan operasi asing

(399)

18

417

(Ekstrak keputusan kewangan pada 31 Mac 2018)

[Sumber: Pengumuman KTC di laman web Bursa Malaysia pada 19 Oktober 2018 dan 22 Oktober 2018]

 

KOMEN MSWG:

Syarikat mengumumkan semula keputusan suku ketiga dan keputusan suku keempatnya.

Syarikat mengumumkan bahawa keputusan suku ketiga yang disemak semula itu adalah disebabkan kesilapan pengiraan perbelanjaan cukai yang disatukan iaitu kira-kira RM4.4 juta yang menyebabkan pertambahan kerugian KTC untuk suku ketiga. Syarikat tidak memberikan butiran atau penjelasan lanjut berhubung semakan semula pengiraan cukai disatukan. Kerugian bersih bagi tempoh tersebut kini meningkat kira-kira 62% berbanding kerugian bersih yang dilaporkan sebelum ini. Ini pasti mengejutkan para pemegang saham (dan orang awam) yang bergantung pada angka yang dilaporkan sebelum ini dalam membuat keputusan pelaburan mereka. Syarikat perlu mengumumkan bagaimana mereka menyedari kesilapan pengiraan yang besar ini dan yang lebih penting, apakah tindakan yang sudah/ akan diambil oleh syarikat untuk mengurangkan risiko tersebut yang berkait rapat dengan integriti angka kewangan mereka yang dilaporkan pada masa akan datang.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, KTC juga menyemak semula keputusan suku keempatnya (yang diumumkan semula pada 19 Oktober 2018 berbanding pengumuman awal pada 30 Ogos 2018). Pengumuman semula ini menyaksikan kerugian bersih tidak diaudit Syarikat bagi tempoh 12 bulan berakhir 30 Jun 2018 diselaraskan dan menyusut kira-kira 183% daripada angka asalnya pada 30 Ogos 2018. Anehnya, jumlah pendapatan lain yang disemak semula meningkat kira-kira 167%. Perbelanjaan pentadbiran, perbelanjaan penjualan dan pengedaran serta perbelanjaan operasi lain meningkat sebanyak kira-kira RM6.7 juta berbanding angka yang dilaporkan sebelum ini.

Penyataan semula keputusan suku ketiga ini adalah disebabkan oleh kesilapan pengiraan perbelanjaan cukai yang disatukan dan perbezaan pertukaran daripada terjemahan operasi asing. Mengapakah terdapat perubahan pada item lain dalam keputusan suku keempat yang dinyatakan semula? Para pemegang saham pasti berpuas hati jika syarikat menjelaskan semua perubahan kepada keputusan suku keempat ini melalui pengumuman rasmi.

Sementara itu, kami menunggu penyata kewangan Syarikat yang diaudit dan berharap agar pemegang saham tidak lagi dikejutkan dengan khabar yang tidak menyenangkan.


 

TINJAUAN MINGGUAN AGM MSWG UNTUK TEMPOH 29 OKTOBER HINGGA 2 NOVEMBER 2018

Berikut adalah AGM/EGM syarikat-syarikat di bawah senarai pemantauan MSWG pada minggu ini.

Ringkasan perkara penting disenaraikan di bawah, manakala butiran terperinci soalan yang diajukan kepada syarikat boleh didapati di laman web MSWG di www.mswg.org.my

Tarikh & Masa

Syarikat

Lokasi

29.10.18 (Isnin)
09.30 pagi

Hong Leong Bank Bhd
(AGM)

Menara Hong Leong, No. 6, Jalan Damanlela, Bukit Damansara

29.10.18 (Isnin)
10.00 pagi

ES Ceramics Technology Bhd
(AGM)

Hotel Armada, Lot 6 Lorong Utara C, Section 52, PJ

30.10.18 (Selasa)
09.30 pagi

Hong Leong Capital Bhd
(AGM)

Menara Hong Leong, No. 6, Jalan Damanlela, Bukit Damansara

30.10.18 (Selasa)
11.00 pagi

Hong Leong Financial Group Bhd
(AGM)

Menara Hong Leong, No. 6, Jalan Damanlela, Bukit Damansara

30.10.18 (Selasa)
11.00 pagi

Caring Pharmacy Group Berhad
(AGM)

Bukit Jalil Golf and Country Resort, Jalan Jalil Perkasa 3, Bukit Jalil, KL

31.10.18 (Rabu)
10.00 pagi

Sime Darby Property Bhd
(AGM)

Pusat Konvensyen Sime Darby, 1A Jalan Bukit Kiara 1, KL

31.10.18 (Rabu)
10.00 pagi

C.I. Holdings Bhd
(AGM)

InterContinental Kuala Lumpur, 165, Jalan Ampang

31.10.18 (Rabu)
10.00 pagi

IOI Properties Bhd
(AGM)

Le Méridien Putrajaya, Lebuh IRC, IOI Resort City, Putrajaya

31.10.18 (Rabu)
03.00 petang

Plenitude Bhd
(AGM)

Novotel Kuala Lumpur City Centre, No. 2, Jalan Kia Peng

01.11.18 (Khamis)
10.00 pagi

Dutaland Bhd
(AGM)

Hotel Istana Kuala Lumpur

 

Beberapa perkara penting untuk diajukan:

Syarikat

Perkara/ Isu Untuk Diajukan

Hong Leong Bank Bhd
(AGM)

Oleh kerana strategi pendigitalan merupakan salah satu fokus utama Bank untuk memacu pertumbuhan dan membezakan Bank dengan bank-bank lain, sila kongsikan pelan tiga tahun yang akan datang dan anggaran perbelanjaan modal yang diperlukan untuk transformasi ini. (Halaman 25 Laporan Tahunan)

  • Apakah hasil yang sudah dicapai setakat ini selepas proses pendigitalan?Adakah perubahan kepada pendigitalan ini dapat menjimatkan kos?
  • Apakah langkah keselamatan siber yang diambil bagi memastikan keselamatan maklumat pelanggan dan maklumat perbankan lain?       

ES Ceramics Technology Bhd
(AGM)

Di halaman 69 Laporan Tahunan, kami mendapati terdapat kerugian daripada rosotnilai pada penghutang berjumlah RM714,736 dan inventori dihapus kira berjumlah RM1,061,893 bagi TK2018. Item-item seumpama ini tiada pada TK2017.

  • Apakah kebarangkalian memulihkan semula penghutang yang terjejas? Apakah status terkini penghutang yang terlibat?
  • Sila kongsikan secara ringkas dasar berkaitan inventori dan bagaimanakah sejumlah inventori yang besar boleh dihapus kira.

Hong Leong Capital Bhd
(AGM)

Di bawah Ulasan Prestasi Kumpulan dalam Perbincangan & Analisis Pengurusan (“MD&A”) di halaman 14 Laporan Tahunan (“AR”), peningkatan dalam peruntukan kerugian rosotnilai ke atas pinjaman dan pendahuluan dan kerugian lain di bawah Perbankan Pelaburan (“IB”) berjumlah RM803,000 pada TK2018 adalah ketara berbanding RM467,000 dalam TK2017. Ulasan segmen IB di halaman 16 seterusnya menunjukkan bahawa pendapatan yuran dan pendapatan lain masing-masing jauh lebih rendah berbanding TK2017.

  • Apakah yang menyebabkan peningkatan dalam peruntukan kerugian rosotnilai ke atas pinjaman dan pendahuluan serta kerugian lain bagi IB dalam TK2018? Adakah ia berkaitan mana-mana pelanggan tunggal dan apakah prospek pemulihan pada TK2019?
  • Apakah langkah yang diambil untuk meningkatkan pendapatan yuran dan pendapatan lain bagi TK2019?

Hong Leong Financial Group Bhd
(AGM)

Kami merujuk Nota 11(i)(f) di halaman 127 mengenai “Pelaburan dalam Syarikat Subsidiari/ maklumat tentang syarikat subsidiari utama” dalam Laporan Tahunan.

Hong Leong Capital Berhad (“HLCB”) telah mengumumkan pada 28 Ogos 2018 bahawa syarikat itu tidak mematuhi tebaran saham awam yang dikehendaki menurut perenggan 8.02(1) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama yang menyatakan bahawa penerbit tersenarai perlu memastikan sekurang-kurangnya 25% daripada jumlah saham tersenarai (tidak termasuk saham perbendaharaan) berada dalam tangan pemegang saham awam.

Seperti yang dinyatakan dalam pengumuman HLCB kepada Bursa pada 29 Jun 2018, tebaran saham awam adalah 18.67%. HLCB belum mengenal pasti pelan yang memuaskan untuk mencari solusi kepada kegagalan mematuhi syarat tebaran pegangan saham awam iaitu 25%. Syarikat akan terus membincangkan pilihan untuk mematuhi syarat ini dengan pemegang saham majoriti iaitu HLFG.

Apakah status perbincangan ini dan apakah tindakan yang akan diambil oleh HLFG untuk menyelesaikan isu ini?            

Caring Pharmacy Group Berhad
(AGM)

Seperti yang dilaporkan di halaman 55 Laporan Tahunan, semua aktiviti audit   dalaman untuk TK2018 telah disalurkan kepada penyedia khidmat jaminan bebas luaran, NGL Tricor Governance Sdn Bhd (“NGL Tricor”) dan jumlah kos yang ditanggung berjumlah RM32,000.

Caring bukanlah sebuah syarikat kecil. Dengan pendapatan kumpulan melebihi setengah bilion ringgit serta mempunyai 115 cawangan di seluruh negara, kos audit dalaman yang agak rendah ini boleh menghadkan skop kerja audit, seterusnya menjejaskan proses pengauditan segmen yang berisiko tinggi.

Lembaga Pengarah, terutama Jawatankuasa Audit dan Pengurusan Risiko perlu mengkaji semula skop audit dalaman, selaras dengan peningkatan pendapatan dan saiz operasi serta pertambahan rangkaian cawangan.

 

Sime Darby Property Bhd
(AGM)

Malaysia Vision Valley (MVV)

  • Dengan berakhirnya Memorandum Persefahaman (MOU) antara SDP, Brunsfield Development Sdn Bhd dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) pada November 2017, baru-baru ini dilaporkan bahawa SDP telah memutuskan untuk melaksanakan sendiri projek pembangunan itu.
  • Apakah faktor yang dipertimbangkan oleh Lembaga Pengarah sebelum membuat keputusan untuk melaksanakan projek tanpa rakan kongsi?
  • Apakah cabaran yang akan dihadapi oleh Syarikat untuk melaksanakan projek pembangunan MVV tanpa rakan kongsi?
  • Bagaimanakah penangguhan Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) mempengaruhi pelan pembangunan projek MVV?

C.I. Holdings Bhd
(AGM)

Kami perhatikan “perbelanjaan lain” meningkat daripada RM920,000 dalam TK2017 kepada RM16,560,000 pada TK2018 (halaman 47 Laporan Tahunan 2018). Apakah yang menyebabkan peningkatan ketara dalam perbelanjaan ini?

IOI Properties Bhd
(AGM)

Nota 22.1 kepada Penyata Kewangan di halaman 264 Laporan Tahunan menyatakan, pada 30 Jun 2018, Kumpulan mempunyai Kepentingan dalam usahasama berjumlah RM4.95 bilion; RM1.17 bilion daripadanya mewakili pendahuluan dan modal kerja kepada syarikat usahasama. Jumlah yang terhutang oleh usahasama adalah tidak bercagar dan tidak dikenakan faedah kecuali untuk amaun berjumlah RM564.3 juta.

  • Apakah justifikasi Syarikat memberikan pendahuluan tanpa dikenakan faedah kepada usahasama?
  • Setakat manakah Syarikat mengawal operasi dalam usahasama ini? Adakah terdapat sebarang perwakilan Lembaga Pengarah dalam syarikat-syarikat usahasama?

Plenitude Bhd
(AGM)

Seperti yang dinyatakan di halaman 161 Laporan Tahunan, Kumpulan memegang sejumlah British Pound (“GBP”) dalam Baki Bank dan Tunai yang nilainya setara dengan RM39.8 juta.

Apakah rasional Kumpulan memegang GBP memandangkan perniagaan Kumpulan dalam bidang Pembangunan Hartanah serta Operasi Hotel dan Hospitaliti sebahagian besarnya dijalankan di Malaysia?

Dutaland Bhd
(AGM)

Nota 23 (a) di halaman 108 Laporan Tahunan menunjukkan, pada 30 Jun 2018 kira-kira 40% atau RM3.767 juta daripada penghutang perdagangan berjumlah RM9.579 juta telah mengalami rosotnilai.

  • Segmen perniagaan manakah yang terkesan dengan rosotnilai ini?
  • Adakah mana-mana bahagian daripada jumlah yang terjejas ini dipulihkan semula selepas akhir tahun kewangan? Apakah kebarangkalian pemulihan semula?

BERITA DAN PERKEMBANGAN DALAM NEGARA

Reinvestment allowance crucial to remain leader in rubber gloves, says MARGMA

https://www.thestar.com.my/business/business-news/2018/10/24/reinvestment-allowance-crucial-to-remain-leading-manufacturer-of-rubber-gloves/

Proposed deal may not happen?

https://www.nst.com.my/business/2018/10/423814/proposed-deal-may-not-happen


BERITA DAN PERKEMBANGAN LUAR NEGARA

Wall Street tumbles on global worries, Treasuries rise

https://www.thestar.com.my/business/business-news/2018/10/25/wall-street-tumbles-on-global-worries-treasuries-rise/

Dyson chooses Singapore over Britain to build electric car

https://www.theedgemarkets.com/article/dyson-chooses-singapore-over-britain-build-electric-car

IPOs in a global rout: Thailand bags US$2b in October alone

https://www.theedgemarkets.com/article/ipos-global-rout-thailand-bags-us2b-october-alone

For Fed, sell-off could point to fading Trump stimulus
https://www.thestar.com.my/business/business-news/2018/10/24/for-fed-sell-off-could-point-to-fading-trump-stimulus/

 


PASUKAN MSWG

Devanesan Evanson, Ketua Pegawai Eksekutif, [email protected]

Lya Rahman, Pengurus Besar, [email protected]
Rebecca Yap, Ketua, Pemantauan Korporat, [email protected]
Quah Ban Aik, Ketua, Pemantauan Korporat, [email protected]
Norhisam Sidek, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]
Hoo Ley Beng, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]

Elaine Choo, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]
Lee Chee Meng, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected] 

Abdul Halim Alias, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]


PENZAHIRAN KEPENTINGAN

•           Sehubungan dengan syarikat-syarikat yang dinyatakan, MSWG memegang jumlah saham yang minima di dalam syarikat-syarikat yang dinyatakan di dalam surat berita ini, kecuali bagi Apex Equity Holdings Bhd, Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, SYF Resources Berhad dan CN Asia Corporation Berhad.


Maklumbalas

Kami mengalu-alukan maklumbalas anda mengenai surat berita dan khidmat kami. Sila e-mel komen dan cadangan anda ke [email protected].


PENOLAKAN TUNTUTAN

Surat berita ini dan isi kandungannya berserta semua hak-hak berkaitan dengannya termasuk hak cipta dimiliki oleh Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Berhad, juga dikenali sebagai Minority Shareholders Watch Group (MSWG).

Isi kandungan dan pendapat yang dinyatakan di dalam surat berita ini adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada domain awam dan bertujuan untuk memberikan maklumat umum kepada pengguna dan adalah untuk rujukan sahaja. Usaha terbaik telah dilakukan untuk memastikan maklumat yang terkandung di dalam surat berita ini adalah tepat dan terkini pada tarikh penerbitan. Walaubagaimanapun, MSWG tidak membuat sebarang waranti nyata atau tersirat atas ketepatan atau kelengkapan maklumat dan pendapat yang terkandung di dalam surat berita ini. Tiada maklumat di dalam surat berita ini yang bertujuan atau patut dianggap sebagai syor untuk membeli atau menjual atau jemputan untuk melanggan sekuriti tertentu, pelaburan yang berkaitan atau mana-mana instrumen kewangan.

MSWG perlu diberikan perakuan bagi mana-mana bahagian surat berita ini yang diterbitkan semula.

MSWG tidak akan bertanggungjawab atau menanggung sebarang liabiliti atas kebergantungan kepada sebarang maklumat atau komen yang terkandung di dalam surat berita ini atau jika ianya diterbitkan semula oleh pihak ketiga. Semua pembaca atau pelabur dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat perundangan atau nasihat profesional yang lain sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan surat berita ini.

Language: