MSWG Weekly Newsletter 14 September 2018 (BM)

Friday, 14 September, 2018

14.09.2018

MESEJ KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF

 

Baki tunai yang besar dalam syarikat awam berhad (PLC).

Sekali sekala kami melihat baki tunai dan tunai setara yang besar dalam akaun PLC.

Lembaga Pengarah pastinya tidak dapat mengelak daripada diajukan soalan berikut dalam AGM oleh pemegang saham minoriti dan pemegang saham institusi: “Mengapakah Syarikat hanya menyimpan dan tidak mengagihkan sebahagian daripada wang itu?”

Bagi pemegang saham, rasionalnya mudah. Jika syarikat tidak mempunyai apa-apa rancangan untuk menggunakan wang tersebut dalam tempoh beberapa tahun akan datang (misalnya untuk perbelanjaan modal), mengapa tidak kembalikan wang itu kepada pemegang saham sebagai dividen?

Pemegang saham sering menyatakan kepada Lembaga bahawa PLC ‘tidak benar-benar mengusahakan aset (wang tunai) mereka’. Wang itu hanya disimpan dalam akaun PLC dan PLC cuma mendapat kadar simpanan tetap (FD). Ini bukanlah sebab utama pemegang saham berpisah dengan wang tunai mereka untuk membuat pelaburan dalam PLC, terutama sewaktu IPO.

Namun, bukan semua PLC begitu. Ada sesetengah PLC yang mengisytiharkan dividen manakala sesetengahnya tidak. Walaupun sesetengah PLC memberi kadar dividen yang tinggi, sesetengah PLC lain tidak begitu bermurah hati kerana kadarnya hampir tidak melebihi kadar FD.

Jawapan yang sering diberikan oleh Lembaga Pengarah ialah wang tunai itu dipegang sebagai ‘peti simpanan waktu perang’ iaitu kita tidak tahu jika ada tawaran pemerolehan atau pengambilalihan pada masa akan datang dan jika ia benar-benar berlaku, kita perlu mempunyai baki tunai yang mencukupi. PLC berpendapat, dengan terma penyelesaian tunai, mereka boleh mendapatkan harga yang lebih baik dan pada masa yang sama tidak terlalu menjejaskan nisbah penggearan mereka.

Permintaan pemegang saham dan respons daripada PLC ini ada benarnya namun adakah terdapat titik pertemuan yang memuaskan hati kedua-dua pihak?

PLC dengan baki tunai yang besar perlu bermurah hati dengan mengisytiharkan kadar dividen yang tinggi. Perkataan ‘murah hati’ itu sendiri bersifat subjektif dalam konteks menyimpan dan bersiap sedia dengan ‘peti simpanan waktu perang’. Mungkin para pemegang saham akan berpuas hati dengan kadar dividen yang sekurang-kurangnya melebihi kos lepas mereka iaitu kadar FD. Walau bagaimanapun, mereka lebih menyukai konsep ‘lebih banyak, lebih bagus’, terutama bagi pemegang saham minoriti.

Melihat daripada perspektif PLC, Lembaga Pengarah mereka perlu mempertimbangkan jumlah yang cukup untuk ‘peti simpanan waktu peperangan’ dan jumlah yang wajar diisytiharkan sebagai kadar dividen yang sihat. Syarikat-syarikat ini juga mempunyai pilihan untuk mengambil pendekatan ‘lebih banyak lebih bagus’ apabila menambah baki tunai mereka dan bersikap tangkai jering apabila mengisytiharkan dividen.

Melihat daripada perspektif analisis penyata kewangan, menyimpan baki wang tunai yang besar tidak membantu PLC. Ia hanya mewujudkan situasi ‘pulangan yang rendah daripada modal digunakan’.

Trend lain yang kami perhatikan adalah berkaitan harga saham PLC.  Harga saham syarikat tidak meningkat seiring peningkatan baki tunai. Malah, harga saham sebahagian besar PLC seumpama ini, yang mempunyai model perniagaan hampir serupa, diperdagangkan secara mendatar. Tiada peningkatan dalam harga saham yang meningkatkan nilai jangka panjang kepada para pemegang saham.

Kami juga perhatikan dalam beberapa AGM yang telah kami hadiri, para pemegang saham kerap bertanyakan soalan seumpama ini dalam AGM syarikat yang mempunyai baki tunai yang besar.

Kami nasihatkan syarikat-syarikat seumpama ini supaya bersedia dengan jawapan yang meyakinkan.

Pemegang saham mengeluarkan wang yang banyak untuk melabur dalam PLC dan mereka mengharapkan dividen yang setimpal dengan pelaburan mereka. Mereka juga mengeluarkan wang apabila sesebuah PLC melaksanakan IPO untuk meningkatkan operasinya. Menggunakan logik yang sama, PLC perlu mengembalikan wang tunai kepada pemegang saham jika mereka tiada sebarang perancangan untuk baki tunai yang besar ini.

Salam,

Devanesan

14 September 2018

 

PANDANGAN RINGKAS MSWG TENTANG PERKEMBANGAN KORPORAT SEMASA

 

FGV HOLDINGS BERHAD (“FGV” atau “Syarikat”)

Pada 12 September 2018, Syarikat mengumumkan bahawa pada hari yang sama, FGV menerima sepucuk surat daripada Menteri Kewangan (Diperbadankan) iaitu Pemegang Saham Khas FGV, yang menarik balik pencalonan mereka ke atas Dato’ Zakaria Arshad sebagai Pengarah yang Dilantik Kerajaan dalam melaksanakan Perlembagaan baharu FGV.

Pada 13 September 2018, Lembaga Pengarah FGV mengumumkan bahawa Notis Siasatan telah dikeluarkan kepada Presiden/ Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan (“GP/CEO”) FGV berikutan selesainya penyiasatan dalaman terhadap 10 isu kritikal yang mengakibatkan kerugian kewangan kepada FGV dan pemegang sahamnya.

Selepas Notis Siasatan dikeluarkan, kuasa dan autoriti yang diberikan kepada Dato’ Zakaria Arshad sebagai GP/CEO FGV telah digantung bermula 13hb September 2018, sementara menunggu pemberitahuan lanjut oleh Lembaga Pengarah.

Operasi FGV berjalan seperti biasa. Sementara itu, Jawatankuasa Khas 2 yang terdiri daripada empat (4) orang Pengarah FGV, iaitu Pengerusi, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, Datuk Dr. Salmiah Ahmad, Dr Mohamed Nazeeb P. Alithambi dan Datin Hoi Lai Ping akan bertanggungjawab mengambil alih fungsi GP/ Ketua Pegawai Eksekutif FGV.

KOMEN MSWG:

Sekali lagi FGV menjadi tumpuan ramai. Untuk kali kedua dalam tempoh kurang 2 tahun, GP/ CEO Syarikat digantung daripada tugas selepas penyiasatan dalaman dilaksanakan ke atas 10 isu kritikal.

Melihat kepentingan peranan Ketua Pegawai Eksekutif dalam sesebuah Syarikat, penggantungan seorang CEO pasti sedikit sebanyak akan menjejaskan kelancaran operasi perniagaan. Di samping itu, siasatan yang dilakukan pasti mengalihkan perhatian Lembaga dan pihak pengurusan daripada menjalankan perniagaan Syarikat, seterusnya memberi kesan jangka panjang terhadap peningkatan nilai pemegang saham dan kepentingan pihak yang berkepentingan.

Pertahanan peringkat pertama Syarikat ialah dengan melantik calon yang bertepatan ke dalam Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif untuk melaksanakan operasi Syarikat. Ini boleh mengurangkan risiko salah laku yang boleh merumitkan serta memanjangkan tempoh siasatan. Pemegang Saham Khas (Saham Emas) FGV berhak mencalonkan beberapa nama kepada Lembaga Pengarah sebagai Pengarah yang Dilantik oleh Kerajaan untuk menjalankan Syarikat. Kami berpendapat kesemua calon yang dinamakan perlu melalui proses pemilihan yang teliti dan efektif oleh Jawatankuasa Pencalonan Syarikat.

Jawatankuasa Pencalonan Syarikat pula perlu diberi peluang memainkan peranan mereka untuk menilai kesemua calon yang dinamakan dengan memilih calon yang tepat untuk Syarikat. Jika calon yang dinamakan oleh Pemegang Saham Khas dianggap tidak sesuai, mereka perlu mengetengahkannya secara formal. Dalam keadaan sedemikian, inilah yang sekurang-kurangnya yang diharapkan daripada Jawatankuasa Pencalonan.


TINJAUAN MINGGUAN AGM MSWG BAGI TEMPOH 18 HINGGA 21 SEPTEMBER 2018

Berikut adalah AGM/EGM syarikat-syarikat di bawah senarai pemantauan MSWG pada minggu ini.

Ringkasan perkara penting disenaraikan di bawah, manakala butiran terperinci soalan yang diajukan kepada syarikat boleh didapati di laman web MSWG di www.mswg.org.my

Tarikh & Masa

Syarikat

Lokasi

20.09.2018 (Khamis) 10.30 pagi

Brem Holdings Bhd

Crystal Crown Hotel, No. 12, Lorong Utara A, Off Jalan Utara, PJ

21.09.2017 (Jumaat)

9.30 pagi

Turiya Berhad

Menara Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Changkat Semantan, Bukit Damansara, KL

21.09.2018 (Jumaat)

9.30 pagi

NTPM Holdings Berhad

Bukit Jawi Golf Resort, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

 

 

Beberapa perkara penting untuk diajukan:

Syarikat

Perkara/ Isu Untuk Diajukan

Brem Holdings Bhd

Kumpulan dijangka memperoleh kontrak baharu pada masa hadapan yang menghasilkan margin keuntungan yang berpatutan serta melibatkan diri secara aktif dalam kontrak tender. Ia berharap dapat memenangi tender untuk menaikkan profil Kumpulan dalam industri pembinaan dan kejuruteraan awam (rujuk halaman 16 Laporan Tahunan 2018).

Apakah nilai semasa buku tender Kumpulan dan berapakah nilai kontrak yang ingin dirancang oleh Kumpulan dalam tempoh beberapa tahun akan datang?

 

Turiya Berhad

  1. Kami merujuk Laporan Juruaudit Bebas di halaman 154 hingga 159 dalam Laporan Tahunan dan ingin mendapatkan penjelasan tentang pendapat bersyarat yang berkaitan pelaburan lain yang diklasifikasikan sebagai aset bukan semasa dan dikelaskan sebagai dipegang untuk dijual.
  • Sila jelaskan bagaimana juruaudit tidak berjaya mendapatkan bukti audit yang cukup dan sesuai yang menunjukkan kemungkinan jualan adalah besar.
  • Apakah asas kepada penilaian dan pendapat Kumpulan yang mengatakan bahawa tiada sebarang penurunan nilai dibuat ke atas pelaburan lain?
  1. Laporan Juruaudit Bebas juga menyatakan kebimbangan iaitu pada 31 Mac 2018, liabiliti semasa Kumpulan dan Syarikat melebihi aset semasa (tidak termasuk aset bukan semasa yang diklasifikasi untuk dijual) masing-masing berjumlah RM3,734,554 dan RM3,801,122.

Merujuk jawapan Kumpulan yang dinyatakan di halaman 155 Laporan Tahunan, sila huraikan keupayaan Kumpulan untuk menghasilkan aliran masuk wang tunai yang mencukupi dan juga anggaran aliran masuk tunai daripada sewaan hartanah pelaburan.

NTPM Holdings Berhad

Seperti yang dinyatakan dalam Analisis dan Perbincangan Pengurusan serta Ulasan Pengarah Urusan di halaman 2 Laporan Tahunan, penurunan dalam keuntungan Kumpulan adalah disebabkan oleh penyusutan margin keuntungan bagi produk kertas tisu yang berpunca daripada kenaikan kos bahan mentah. Faktor lain termasuk peningkatan kos buruh dan tarif elektrik, kesan limpahan susut nilai MYR berbanding USD ke atas bahan mentah yang diimport serta peningkatan perbelanjaan operasi.

 

Apakah langkah penting yang diambil untuk memastikan Kumpulan dapat mengekalkan prestasinya dalam TK2019?

 

 


PASUKAN MSWG

Devanesan Evanson, Ketua Pegawai Eksekutif, [email protected]

Lya Rahman, Pengurus Besar, [email protected]
Rebecca Yap, Ketua, Pemantauan Korporat, [email protected]
Quah Ban Aik, Ketua, Pemantauan Korporat, [email protected]
Norhisam Sidek, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]

Hoo Ley Beng, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]

Elaine Choo, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]
Lee Chee Meng, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected] 

Abdul Halim Alias, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]

Mustaqim Yusof, Penganalisa Kanan, Khidmat Korporat, [email protected]


PENZAHIRAN KEPENTINGAN             

•               Sehubungan dengan syarikat-syarikat yang dinyatakan, MSWG memegang jumlah saham yang minima di dalam syarikat-syarikat yang dinyatakan di dalam surat berita ini.


Maklumbalas

Kami mengalu-alukan maklumbalas anda mengenai surat berita dan khidmat kami. Sila e-mel komen dan cadangan anda ke [email protected].


PENOLAKAN TUNTUTAN

Surat berita ini dan isi kandungannya berserta semua hak-hak berkaitan dengannya termasuk hak cipta dimiliki oleh Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Berhad, juga dikenali sebagai Minority Shareholders Watch Group (MSWG).

Isi kandungan dan pendapat yang dinyatakan di dalam surat berita ini adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada domain awam dan bertujuan untuk memberikan maklumat umum kepada pengguna dan adalah untuk rujukan sahaja. Usaha terbaik telah dilakukan untuk memastikan maklumat yang terkandung di dalam surat berita ini adalah tepat dan terkini pada tarikh penerbitan. Walaubagaimanapun, MSWG tidak membuat sebarang waranti nyata atau tersirat atas ketepatan atau kelengkapan maklumat dan pendapat yang terkandung di dalam surat berita ini. Tiada maklumat di dalam surat berita ini yang bertujuan atau patut dianggap sebagai syor untuk membeli atau menjual atau jemputan untuk melanggan sekuriti tertentu, pelaburan yang berkaitan atau mana-mana instrumen kewangan.

MSWG perlu diberikan perakuan bagi mana-mana bahagian surat berita ini yang diterbitkan semula.

MSWG tidak akan bertanggungjawab atau menanggung sebarang liabiliti atas kebergantungan kepada sebarang maklumat atau komen yang terkandung di dalam surat berita ini atau jika ianya diterbitkan semula oleh pihak ketiga. Semua pembaca atau pelabur dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat perundangan atau nasihat profesional yang lain sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan surat berita ini.

Language: