MSWG Weekly Newsletter 13 April 2018 (BM)

Friday, 13 April, 2018

13.04.2018

PANDANGAN RINGKAS MSWG TENTANG PERKEMBANGAN KORPORAT SEMASA

COMFORT GLOVES BERHAD (“CGB”)

Lembaga Pengarah CGB menjelaskan, pada 15 Mac 2018, anak syarikat milik penuh Kumpulan iaitu Comfort Rubber Gloves Industries Sdn. Bhd. (“CRGISB”) telah dimasukkan di bawah senarai waspada Import Alert oleh Food and Drug Administration (“FDA”) Amerika Syarikat. Situasi ini mengakibatkan penghantaran sarung tangan pemeriksaan CRGISB ke Amerika Syarikat (“A.S.”) perlu melalui pemeriksaan sewaktu tiba di A.S. dan dilepaskan selepas lulus pemeriksaan.

Kumpulan sedang berusaha mengeluarkan syarikat ini daripada senarai Import Alert melalui ejen mereka di A.S. dan yakin akan dapat keluar daripada senarai berkenaan. Penyenaraian dalam Import Alert FDA tidak menghalang kumpulan daripada mengeksport ke A.S. Selepas dikeluarkan daripada senarai Import Alert, penghantaran sarung tangan pemeriksaan CRGISB tidak lagi memerlukan pemeriksaan. Oleh itu, operasi kumpulan tidak tergendala disebabkan insiden ini dan boleh terus beroperasi seperti biasa.

[Sumber: Pengumuman CGB di laman web Bursa Malaysia pada 6 April 2018]

KOMEN MSWG:

Harga saham CGB menjunam 37.5% dalam tempoh 10 hari iaitu daripada RM1.12 pada 27 Mac 2018 kepada hanya 70 sen pada 5 April 2018. Kami percaya harga saham yang merudum ini disebabkan penahanan penghantaran sarung tangan CRGISB oleh pengawal selia A.S.

Kami berpendapat penyenaraian produk Kumpulan CGB dalam Import Alert FDA memberi impak ketara terhadap prestasi kewangan Kumpulan, memandangkan pasaran A.S. dan Kanada menyumbang kira-kira 42.5% kepada pendapatan Kumpulan. Impak terhadap prestasi kewangan adalah disebabkan sela masa sebelum pemeriksaan dan risiko sesetengah pelanggan mungkin membatalkan atau mengurangkan pesanan mereka disebabkan sela masa sebelum pemeriksaan ini.

Pengumuman penjelasan CGB mengenai perkara di atas tidak dilakukan mengikut masa yang ditetapkan.

Syarat prapemeriksaan dikenakan pada 15 Mac 2018. CGB membuat pengumuman berkenaan di laman web Bursa pada 6 April 2018. Kelewatan ini kira-kira 22 hari.

Kelewatan mendedahkan maklumat sensitif harga kepada orang ramai boleh membuka peluang kepada orang dalam untuk mengambil kesempatan terhadap maklumat sensitif harga ketika berurus niaga dengan saham mereka.

Kami mendapati pengarah syarikat dan pemegang saham utama mengumpul lebih 2 juta saham CGB beberapa hari sebelum Syarikat membuat pengumuman menjelaskan situasi. Penjelasan oleh lembaga CGB bahawa operasi Kumpulan tidak terganggu oleh kejadian ini dan meneruskan operasi seperti biasa dibuat pada 6 April 2018. Pada hari pasaran berikutnya (9 April 2018), harga saham syarikat kembali pulih dengan ketara iaitu meningkat 18.7% kepada 75 sen.


 

TINJAUAN MINGGUAN AGM MSWG UNTUK TEMPOH 16 HINGGA 20 APRIL 2018

Berikut adalah AGM/EGM syarikat-syarikat di bawah senarai pemantauan MSWG pada minggu ini.

Ringkasan perkara penting disenaraikan di bawah, manakala butiran terperinci soalan yang diajukan kepada syarikat boleh didapati di laman web MSWG di www.mswg.org.my

Tarikh & Masa

Syarikat

Lokasi

17.04.18 (Selasa)
11.00 pagi

Malaysia Marine And Heavy Engineering Holdings Bhd
(AGM)

Pusat Konvensyen Sime Darby, No. 1A, Jalan Bukit Kiara 1, KL

19.04.18 (Khamis)
10.00 pagi

Maxis Bhd
(AGM)

Connexian @ Nexus, Bangsar South City, KL

19.04.18 (Khamis)
10.00 pagi

Dutaland Bhd
(EGM)

Pullman Kuala Lumpur City Centre Hotel & Residences, Jalan Conlay, KL

19.04.18 (Khamis)
10.30 pagi

British American Tobacco (M) Bhd
(AGM)

Pusat Konvensyen Sime Darby, 1A Jalan Bukit Kiara 1, KL

19.04.18 (Khamis)
11.00 pagi

Bina Darulaman Bhd
(AGM)

Hotel Intercontinental Kuala Lumpur

20.04.18 (Jumaat)
11.00 pagi

V.S. Industry Bhd
(EGM)

Hotel Jen Puteri Harbour, Johor, Persiaran Puteri Selatan

 

Perkara penting untuk diajukan:

Syarikat

Perkara/ Isu Untuk Diajukan

Malaysia Marine And Heavy Engineering Holdings Bhd
(AGM)

Surat Pengerusi menyatakan Kumpulan berminat dengan kontrak yang memberikan mereka sumber pendapatan yang berulang. Oleh itu, Kumpulan memperoleh dua “kontrak panggilan keluar”; satu untuk perhubungan luar pesisir dan tempahan daripada Carigali-PTTEPI Operating Company Sdn Bhd dan satu lagi untuk penambahbaikan dan pembaharuan kemudahan daripada Vestigo Petroleum Sdn Bhd.

(i)    Berapa banyak perniagaan Kumpulan pada masa ini dijana daripada sumber pendapatan yang berulang?

(ii)   Berapa besarkah sumbangan daripada kontrak ini kepada pendapatan dan keuntungan Kumpulan bagi TK2018?

Maxis Bhd
(AGM)

Dalam laporan kewangan suku ke empat, Maxis menyatakan:

•     bilangan pelanggan prabayar mencatatkan penurunan kira-kira 11.9% tahun ke tahun kepada 6,997,000 pada 31 Disember 2017; kehilangan 949,000 pelanggan.

•     pendapatan prabayar Syarikat menurun 3.7% tahun ke tahun kepada RM3,849 juta, sebahagian besarnya disebabkan oleh asas langganan yang lebih rendah berikutan persaingan yang sengit, pertukaran prabayar kepada pascabayar dan penyatuan SIM dalam pasaran tetapi disokong oleh pendapatan purata setiap pengguna (ARPU) purata yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM42 sebulan (berbanding RM40 sebulan pada 2016) didorong oleh pendapatan internet mudah alih yang lebih tinggi.

Maxis mengalami penyusutan dalam bilangan pelanggan prabayar untuk 10 suku berturut-turut sejak Suku Tahun Kedua TK2015. Di samping itu, penurunan 11.9% dalam bilangan pelanggan pada TK2017 adalah lebih teruk berbanding penyusutan sebanyak 6.7% dalam bilangan pelanggan pada TK2016.

(i)    Bolehkah Lembaga kongsikan strategi untuk menangani trend penurunan dalam perniagaan prabayar dan bagaimanakah cara untuk mengurangkan kesannya ke atas pendapatan keseluruhan?

(ii)   Adakah strategi Maxis untuk mengekalkan ARPU yang tinggi dengan mengekalkan pelanggan berkualiti tetapi mengorbankan bilangan pelanggan?

Dutaland Bhd
(EGM)

Prestasi masa depan Kumpulan DutaLand selepas Cadangan Pelupusan hanya bergantung pada aktiviti pembangunan hartanah yang sedia ada sehingga Syarikat memperoleh perniagaan baharu daripada terimaan itu.

Pasaran hartanah dijangka terus lembab pada masa terdekat. Bagaimanakah Lembaga Pengarah memastikan Syarikat tidak akan mencetuskan Perenggan 8.03A Syarat Penyenaraian Pasaran Utama Sekuriti Bursa Malaysia disebabkan tahap operasi yang tidak mencukupi?

British American Tobacco (M) Bhd
(AGM)

Menurut Nota 4: Keuntungan daripada Operasi pada halaman 167 Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan, kami mendapati peruntukan penurunan nilai duti eksais prabayar berjumlah RM20.525 juta telah dibuat walaupun Syarikat sedang menunggu pembayaran balik daripada Kastam Diraja Malaysia (“RMC”).

  • Apakah ketidakpastian atau alasan untuk membuat peruntukan ini?

(ii)      Adakah Lembaga menjangkakan pembayaran balik duti eksais ini dan jika ya, bilakah ia akan diterima?

  • Bagaimanakah boleh berlaku pembaziran setem cukai dan setem cukai yang tidak digunakan semasa proses pengilangan?

Bina Darulaman Bhd
(AGM)

Pendapatan Kumpulan menurun dengan ketara daripada RM356.6 juta pada TK2016 kepada RM251.7 juta pada TK2017, dengan pengurangan sebanyak RM104.9 juta atau 29.4%. Walau bagaimanapun, Perbelanjaan Pengedaran mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak RM18.4 juta dalam TK2017 berbanding RM18.2 juta pada TK2016.

(i)    Apakah yang terkandung dalam Perbelanjaan Pengedaran?

(ii)    Apakah yang menyebabkan peningkatan Perbelanjaan Pengedaran walaupun Pendapatan menyusut?


Penganalisa MSWG

Lya Rahman, Pengurus Besar [email protected]
Rebecca Yap, Ketua, Pemantauan Korporat [email protected]
Quah Ban Aik, Ketua, Pemantauan Korporat [email protected]
Norhisam Sidek, Pengurus, Pemantauan Korporat [email protected]
Wong Kin Wing, Pengurus, Pemantauan Korporat [email protected]
Hoo Ley Beng, Pengurus, Pemantauan Korporat [email protected] 
Elaine Choo, Pengurus, Pemantauan Korporat [email protected]

Lee Chee Meng, Pengurus, Pemantauan Korporat [email protected] 

Abdul Halim Alias, Pengurus, Pemantauan Korporat [email protected]

Mustaqim Yusof, Penganalisa, Khidmat Korporat [email protected]

Muhammad Faris bin Mohamed Yusof, Penganalisa, Pemantauan Korporat [email protected]


PENZAHIRAN KEPENTINGAN

•               Sehubungan dengan syarikat-syarikat yang dinyatakan, MSWG memegang jumlah saham yang minima di dalam syarikat-syarikat yang dinyatakan di dalam surat berita ini kecuali bagi Comfort Gloves Berhad.


Maklumbalas

Kami mengalu-alukan maklumbalas anda mengenai surat berita dan khidmat kami. Sila e-mel komen dan cadangan anda ke [email protected].


PENOLAKAN TUNTUTAN

Surat berita ini dan isi kandungannya berserta semua hak-hak berkaitan dengannya termasuk hak cipta dimiliki oleh Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Berhad, juga dikenali sebagai Minority Shareholders Watch Group (MSWG).

Isi kandungan dan pendapat yang dinyatakan di dalam surat berita ini adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada domain awam dan bertujuan untuk memberikan maklumat umum kepada pengguna dan adalah untuk rujukan sahaja. Usaha terbaik telah dilakukan untuk memastikan maklumat yang terkandung di dalam surat berita ini adalah tepat dan terkini pada tarikh penerbitan. Walaubagaimanapun, MSWG tidak membuat sebarang waranti nyata atau tersirat atas ketepatan atau kelengkapan maklumat dan pendapat yang terkandung di dalam surat berita ini. Tiada maklumat di dalam surat berita ini yang bertujuan atau patut dianggap sebagai syor untuk membeli atau menjual atau jemputan untuk melanggan sekuriti tertentu, pelaburan yang berkaitan atau mana-mana instrumen kewangan.

MSWG perlu diberikan perakuan bagi mana-mana bahagian surat berita ini yang diterbitkan semula.

MSWG tidak akan bertanggungjawab atau menanggung sebarang liabiliti atas kebergantungan kepada sebarang maklumat atau komen yang terkandung di dalam surat berita ini atau jika ianya diterbitkan semula oleh pihak ketiga. Semua pembaca atau pelabur dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat perundangan atau nasihat profesional yang lain sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan surat berita ini.

Language: