MSWG Weekly Newsletter 10 May 2019 (BM)

Friday, 10 May, 2019

­10.05.2019

PESANAN PENGANALISIS

Trive Property Group Berhad - Beberapa Isu dan Kebimbangan

Pada 19 April 2019, Trive Property Group Berhad (“Trive” atau “Syarikat”) telah mengeluarkan Notis Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) berikut:-

(i) Cadangan langganan oleh Trive ke atas 150 saham biasa baharu dalam Avenue Escape Sdn Bhd (“AESB”) yang mewakili 60% kepentingan ekuiti dalam modal saham terbitan AESB yang diperbesarkan, dengan balasan langganan berjumlah RM17,356,898 (“Cadangan Langganan”); dan

(ii) Cadangan variasi penggunaan terimaan yang sebelum ini diperolehi daripada penerbitan saham Syarikat dengan Macquarie Bank Limited (“Cadangan Variasi”).

(Secara kolektif dirujuk sebagai “Cadangan”)

[Sumber: http://www.bursamalaysia.com/market/listed-companies/company-announcements/6132389]

Apabila membaca Pekeliling kepada pemegang saham bertarikh 22 April 2019 (“Pekeliling”) yang berkaitan Cadangan Langganan, kami mengenal pasti beberapa isu dan kebimbangan yang memerlukan penjelasan lanjut. Sebahagian daripadanya adalah seperti berikut:

1. Trive bercadang untuk melanggan 150 saham biasa baharu dalam AESB yang mewakili 60% kepentingan ekuiti dalam AESB untuk balasan tunai berjumlah RM17.36 juta (“Balasan Langganan”). AESB adalah sebuah syarikat pemegang pelaburan hartanah yang memiliki Persoft Tower, sebuah bangunan pejabat komersil berusia 22 tahun yang terletak di Persiaran Tropicana, Petaling Jaya, Selangor.

Menara Persoft mempunyai kadar penghunian yang rendah iaitu 37% pada 31 Disember 2018 (Seksyen 2.4 dalam Pekeliling) dan sedang mengalami kesan daripada situasi lebihan penawaran dengan jangkaan peningkatan bekalan pejabat yang baru dibina (Bahagian 5.2 dan 5.3 dalam Pekeliling). Baki tempoh sewaan Menara Persoft adalah antara 0.06 tahun dan 1.9 tahun (Lampiran V, halaman 69 dalam Pekeliling).

Berlatarkan keadaan yang disebut di atas, kami ingin melihat bagaimana Trive merancang untuk menangani cabaran berikut apabila mengambil alih AESB:

- Situasi penawaran berlebihan yang memberi impak negatif kepada kadar penghunian yang sedia rendah iaitu 37%

- Risiko berakhirnya tempoh sewaan apabila penyewa tidak lagi memilih bangunan berusia 22 tahun ini sedangkan bangunan yang lebih baharu tersedia berdekatan dengan harga yang berpatutan dan mungkin lebih rendah disebabkan keadaan penawaran melebihi permintaan.

2. “Demi meningkatkan kadar penghunian di Menara Persoft pada masa akan datang, Trive bercadang untuk memulakan inisiatif penambahbaikan aset yang bertujuan memperbaiki keadaan Menara Persoft. Tempoh masa dan anggaran perbelanjaan untuk pelan tersebut hanya boleh ditentukan apabila selesai pemeriksaan penuh Trive tentang keadaan Menara Persoft bagi menilai dan mengenal pasti kawasan yang berpotensi untuk dipertingkatkan. Proses pemeriksaan hanya boleh dilakukan selepas selesai Cadangan Langganan.” - halaman 17 dalam Pekeliling. (penekanan oleh kami)

Pendekatan di atas mungkin berisiko kerana Syarikat melanggan saham AESB tanpa melakukan pemeriksaan terperinci yang sewajarnya ke atas kondisi Menara Persoft. Bagaimana jika kos penambahbaikan ternyata terlalu tinggi? Sudah terlambat untuk mengubah kedudukan kerana perjanjian sudah pun dimeterai. Risiko yang tinggi ini diburukkan lagi dengan kadar penghunian Menara Persoft yang rendah (yang mungkin mencerminkan kualiti bangunan tersebut) selain hakikat bangunan ini sudah berusia 22 tahun.

3. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2018, kerugian selepas cukai kepada pemilik Syarikat (“LAT”) adalah RM11.7 juta dan Cadangan Langganan ini akan menambahkan kerugian Kumpulan kepada RM13.9 juta (Seksyen 7.3 dalam Pekeliling). Selepas Cadangan Langganan, penggearan Kumpulan akan meningkat daripada Tiada kepada 0.75 kali (Bahagian 7.2 dalam Pekeliling). Di samping itu, Kumpulan (melalui AESB) perlu membuat pembayaran balik pinjaman AESB iaitu jumlah pokok dan perbelanjaan faedah secara bulanan (Seksyen 6.2 dalam Pekeliling).

Kami bimbang sama ada Kumpulan mempunyai dana yang mencukupi untuk membayar balik pinjaman AESB untuk tempoh 12 bulan akan datang, memandangkan keputusan kewangan AESB untuk tahun kewangan berakhir 30 April 2018 mencatatkan kerugian. Trive juga mengalami kerugian dalam tempoh kewangan 6 bulan yang berakhir 31 Januari 2019, ditambah dengan kedudukan aliran tunai operasi bersih yang negatif. Melihat keadaan kewangan semasa Kumpulan yang tenat, kami ingin tahu bagaimanakah Cadangan Langganan ini akan mewujudkan nilai untuk pemegang saham.

4. Merujuk Laporan Tahunan Syarikat 2018, kami juga mendapati bahawa pejabat berdaftar Trive terletak di Pulau Pinang dan (dari laman webnya) alamat perniagaan Syarikat adalah di Kulim Hi-Tech Park, Kedah. Cadangan Langganan pula adalah berkaitan hartanah yang terletak di Petaling Jaya, Selangor. Walau bagaimanapun, EGM akan diadakan di Senai, Johor.

Pemilihan lokasi untuk mengadakan EGM pasti menjadi batu penghalang bagi para pemegang saham minoriti yang ingin menghadiri mesyuarat itu kerana jarak perjalanan yang perlu mereka tempuhi.

Berdasarkan kebimbangan di atas, rasional dan manfaat yang dinyatakan dalam Seksyen 4 Pekeliling tidak meyakinkan untuk mewajarkan Cadangan Langganan bersama-sama Cadangan Variasi yang kami rasa bukan dalam kepentingan terbaik pemegang saham minoriti.

Melihat pelbagai cabaran dan kebimbangan, ditambah pula dengan situasi kewangan Kumpulan yang tidak memberangsangkan termasuk aliran tunai operasi negatif, para pemegang saham pastinya tertanya-tanya alasan yang mendorong Kumpulan untuk membuat pelaburan ini. Sudah pasti sebabnya bukan pendapatan daripada sewa kerana kadar penghunian agak rendah iaitu sebanyak 37%.

Dalam nota berasingan, selepas selesai Cadangan ini, kira-kira 99% daripada Balasan Langganan akan digunakan untuk membayar balik pendahuluan yang terhutang oleh AESB kepada dua pemegang saham AESB sedia ada yang secara kolektif mempunyai 40% pegangan dalam AESB selepas selesai pelaksanaannya (Seksyen 2.3 dalam Pekeliling). Kami mengagak dua pemegang saham AESB yang sedia ada ini pasti tersenyum lebar apabila mereka menerima kira-kira RM17 juta daripada Cadangan ini.

Wakil MSWG akan menghadiri EGM pada 15 Mei 2019 untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada Lembaga Trive.


 

PANDANGAN RINGKAS MSWG TENTANG PERKEMBANGAN KORPORAT SEMASA

LAFARGE MALAYSIA BERHAD

Lembaga Pengarah Lafarge (“Lembaga”) mengumumkan bahawa Lembaga pada 2 Mei 2019 telah menerima notis tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat (“Notis”) daripada Maybank Investment Bank Berhad bagi pihak YTL Cement Berhad (“Pembuat Tawaran”) untuk memperoleh semua baki saham biasa dalam Lafarge yang belum dimiliki oleh Pembuat Tawaran (“Saham Tawaran”) pada harga tawaran tunai RM3.75 untuk setiap Saham Tawaran.

Satu salinan Notis dilampirkan bersama pengumuman ini dan akan diposkan kepada pemegang Saham Tawaran dalam tempoh 7 hari dari tarikh pengumuman ini.

Pengumuman ini bertarikh 2 Mei 2019.

 

KOMEN MSWG:

Tawaran daripada YTL Cement Berhad untuk memperoleh semua baki saham biasa dalam Lafarge Malaysia Berhad menerima pelbagai reaksi dan maklum balas dari pasaran.

Transaksi ini diibaratkan seperti durian runtuh bagi para pemegang saham yang membeli saham pada harga RM1.80 hingga RM2 awal tahun ini. Walau bagaimanapun, bagi pemegang saham yang melabur dalam syarikat pada harga yang lebih tinggi daripada harga tawaran, berita ini agak pahit untuk ditelan. Harga saham Lafarge Malaysia pernah diniagakan pada RM11 setiap saham pada Mei 2013 apabila sektor pembinaan tempatan sedang berkembang pesat. 

Walau bagaimanapun, sesetengah penganalisis berpendapat ini adalah satu transaksi yang adil bagi para pemegang saham memandangkan premiumnya melebihi 20% berbanding aset ketara bersih (NTA) Lafarge Malaysia sesaham iaitu RM2.99 pada 31 Disember 2018.

Lagipun, prestasi kewangan pengeluar simen ini juga tidak memberangsangkan sejak 2017 dan kini beroperasi dalam persekitaran yang mencabar.

Walau bagaimanapun, mereka yang membantah harga tawaran percaya bahawa saham ini boleh mendapat nilai yang lebih baik jika ia masih tersenarai, dan dinamik industri akan beransur pulih selepas pengambilalihan 51% kepentingan oleh YTL Cement. YTL Cement dan Lafarge Malaysia secara kolektif memiliki kira-kira 60% bahagian pasaran simen tempatan.

YTL Cement berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian Lafarge Malaysia, melainkan jika tahap penerimaan pemegang saham melebihi 90%.

Antara faktor yang akan dipertimbangkan oleh para pemegang saham minoriti ialah harga masuk dan pandangan mereka terhadap nilai intrinsik saham berkenaan.

Pemegang saham minoriti juga dinasihatkan supaya merujuk broker saham mereka, pengurus bank, peguam, akauntan atau penasihat profesional lain sekiranya mereka mempunyai keraguan terhadap tawaran tersebut.

 

KHEE SAN BERHAD

Syarikat ini gagal mengemukakan Laporan Tahunannya yang merangkumi penyata kewangan tahunan yang diaudit bersama laporan juruaudit dan pengarah untuk tempoh kewangan berakhir 31 Disember 2018 (“Laporan Tahunan 2018”) kepada Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) untuk edaran awam dalam jangka masa yang ditetapkan iaitu 30 April 2019 menurut Perenggan 9.23(1) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities (“LR”).

Menurut Perenggan 9.28(5) LR, jika penerbit tersenarai gagal mengeluarkan penyata kewangan yang tertunggak dalam tempoh 5 hari pasaran selepas tamat tempoh masa yang ditetapkan seperti yang dinyatakan dalam Perenggan 9.23(1) LR (hari terakhir daripada lima hari pasaran yang disebut sebagai “Tarikh Akhir Penggantungan”), sebagai tambahan kepada apa-apa tindakan penguatkuasaan yang mungkin diambil oleh Bursa Securities, Bursa Securities juga akan menggantung urus niaga dalam saham terbitan tersebut. Penggantungan itu akan dilaksanakan pada hari pasaran berikutnya selepas Tarikh Akhir Penggantungan.

Merujuk perkara di atas dan sekiranya KHEESAN tidak dapat mengemukakan Laporan Tahunan 2018 yang tertangguh pada atau sebelum 8 Mei 2019, urus niaga saham Syarikat akan digantung berkuatkuasa dari jam 9.00 pagi, Khamis, 9 Mei 2019 sehingga diberitahu kelak.

Menurut Perenggan 9.28(6) dalam LR, jika penerbit tersenarai gagal mengeluarkan penyata kewangan yang tertunggak dalam tempoh 6 bulan dari tamat tempoh jangka masa yang ditetapkan, sebagai tambahan kepada apa-apa tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil oleh Bursa Securities, prosedur penyenaraian hendaklah dimulakan terhadap penerbit tersenarai itu.

Sumber: http://www.bursamalaysia.com/market/listed-companies/company-announcements/6148737

 

PASDEC HOLDINGS BERHAD (PASDEC atau “Syarikat”)

Berikutan pengumuman Syarikat bertarikh 25 April 2019, Lembaga Pengarah (“Lembaga”) PASDEC mengumumkan bahawa berdasarkan perbincangan antara pihak Pengurusan, juruaudit luar anak syarikat Afrika Selatan PASDEC, Pasdec Resources SA Ltd. (“PRSA”) dan kumpulan syarikatnya serta juruaudit luar PASDEC, Tetuan Hanafiah Raslan & Mohamad (HRM), kesimpulan audit Kumpulan PASDEC untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 masih menunggu penyelesaian audit PRSA dan syarikat-syarikat di dalam Kumpulannya.

Laporan Tahunan 2018 yang merangkumi Penyata Kewangan Yang Diaudit bersama Laporan Juruaudit dan Pengarah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 (“Laporan Tahunan 2018”) kini dijangka akan dikeluarkan kepada Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) selewat-lewatnya 31 Mei 2019. 

Walau bagaimanapun, Syarikat berusaha untuk mengeluarkan dan mengemukakan Laporan Tahunan 2018 kepada Bursa Securities dan para pemegang saham seawal mungkin.

Lembaga ingin memberi jaminan kepada semua pemegang saham bahawa selain alasan yang dinyatakan di atas, tiada alasan lain yang menyebabkan kelewatan dalam mengemukakan Laporan Tahunan 2018 PASDEC.

Selaras dengan Perenggan 9.28(5) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama, Bursa Securities akan menggantung urus niaga saham Syarikat bermula 9 Mei 2019 dan akan menarik balik penggantungan pada hari pasaran selepas pengumuman/ penyerahan Laporan Tahunan 2018 melainkan jika ditentukan sebaliknya oleh Bursa Securities.

Pengumuman ini bertarikh 8 Mei 2019.

Sumber: http://www.bursamalaysia.com/market/listed-companies/company-announcements/6154809

 

KOMEN MSWG:

 

Khee San dan PASDEC terjerat dengan isu kelewatan penyerahan laporan tahunan dan penyata kewangan yang diaudit.

Walau bagaimanapun, pemegang saham Khee San dapat menarik nafas lega buat masa ini kerana Syarikat sudah pun menyelesaikan masalah tersebut dengan mengemukakan Laporan Tahunan, penyata kewangan tahunan yang sudah diaudit, laporan juruaudit dan pengarah untuk tempoh kewangan berakhir 31 Disember 2018 (TKB2018) kepada Bursa Malaysia Securities Berhad pada 8 Mei 2019.

Namun begitu, nasib PASDEC masih tidak dapat dipastikan kerana dokumen berkenaan dijangka dikemukakan kepada Bursa Malaysia pada 31 Mei 2019 sahaja, sebulan selepas tarikh akhir yang dinyatakan dalam Perenggan 9.23(1) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities.

Situasi ini disebabkan oleh kelewatan penyempurnaan audit untuk anak syarikat PASDEC di Afrika Selatan iaitu Pasdec Resources SA Ltd.   

Pihak pengurusan kedua-dua syarikat perlu berusaha lebih keras dan memulihkan semula keyakinan para pelabur terhadap kaunter berikutan situasi di atas.

Kami tidak dapat menekankan betapa pentingnya laporan tahunan dan penyata kewangan yang diaudit kepada pelabur. Komunikasi dan kemas kini yang kerap melalui laporan tahunan dan penyata kewangan yang diaudit membantu para pelabur untuk mengikuti perkembangan dan prestasi syarikat. Ini seterusnya membantu menjalin hubungan yang lebih bermakna antara Lembaga, pihak pengurusan dan pemegang saham.

Seorang pelabur yang bijak tidak akan membuat keputusan pelaburan semata-mata berdasarkan nada dan angka dalam laporan tahunan atau penyata kewangan. Walau bagaimanapun, dokumen ini memberikan kita beberapa petunjuk penting tentang syarikat itu seperti prestasi kewangannya, pandangannya tentang prospek masa depan, dan sebagainya.

Syarikat tersenarai perlu mengambil berat tentang Keperluan Penyenaraian, terutama tanggungjawab mereka untuk memastikan semua maklumat yang material adalah betul dan disampaikan kepada orang awam tepat pada masanya.

Pendedahan sedemikian secara berterusan dapat memberikan pelbagai maklumat yang membantu mewujudkan ketelusan, seterusnya mewujudkan pasaran modal yang bertenaga. Pemegang saham dan bakal pelabur lebih mudah membuat keputusan pelaburan yang lebih baik.

DAYA MATERIALS BERHAD (“DAYA” atau “Syarikat”)

Pada 6 Mei 2019, Lembaga Pengarah (“Lembaga”) Syarikat mengumumkan bahawa juruaudit bebas Syarikat, Deloitte PLT, telah menyatakan pendapat penafian dalam penyata kewangan yang sudah diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 (TKB2018).

Sumber: http://www.bursamalaysia.com/market/listed-companies/company-announcements/6152977

 

KOMEN MSWG:

DAYA diklasifikasikan sebagai Syarikat PN17, selaras dengan perenggan 2.1(a) Nota Amalan (“PN”) 17 pada 28 Februari 2018 berikutan ekuiti pemegang saham Syarikat yang disatukan jatuh di bawah paras RM40 juta dan mewakili kurang daripada 25% modal saham terbitan berdasarkan penyata kewangan disatukan yang tidak diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 (TKB2017).

Seterusnya pada 4 Mac 2019, DAYA mengumumkan Syarikat telah mencetuskan perenggan 2.1(f) PN17 akibat kegagalan anak syarikat utama iaitu Daya Proffscorp Sdn Bhd dalam membuat pembayaran jumlah pokok dan faedah kepada Malayan Banking Berhad dan SME Bank Berhad, serta kegagalan Syarikat untuk menyerahkan akuan kesolvenan kepada Bursa Securities.

Kemudian pada 6 Mei 2019, DAYA mengumumkan bahawa Syarikat telah mencetuskan perenggan 2.1(d) PN17 daripada Keperluan Penyenaraian apabila juruaudit bebas mereka, Deloitte PLT menyatakan pendapat penafian dalam penyata kewangan mereka untuk TKB2018.

Pendapat penafian ditakrifkan di bawah Piawaian Pengauditan Antarabangsa (“ISA”) 705 - Penyesuaian Pendapat dalam Laporan Juruaudit Bebas menyatakan “juruaudit akan menafikan pendapat apabila juruaudit tidak dapat memperoleh bukti audit yang mencukupi untuk mendasarkan pendapat, dan juruaudit membuat kesimpulan bahawa kesan yang mungkin ke atas penyata kewangan apabila salah penyataan ini tidak dikesan, jika ada, boleh menjadi ketara dan merebak kepada item lain.”

Penafian ini dikeluarkan oleh Deloitte berikutan perkara berikut:

 

1) Asas usaha berterusan - sama ada Syarikat dapat merealisasikan asetnya dan menyelesaikan liabiliti dalam perjalanan perniagaan yang biasa

a) Sehingga 31 Disember 2018, DAYA mempunyai defisit modal berjumlah RM136.25 juta. Liabiliti semasa sudah melebihi aset semasa sebanyak RM214.14 juta akibat kerugian yang ditanggung dalam tahun kewangan semasa.

Bagi TKB2018, Kumpulan mencatatkan kerugian selepas cukai (LAT) berjumlah RM178.3 juta (TKB2017: RM76.67 juta) dengan pendapatan berjumlah RM281.6 juta. Kerugian yang lebih tinggi dalam TKB2018 ini sebahagian besarnya disebabkan oleh caj sekali sahaja rosot nilai ke atas muhibah dan hartanah, loji dan peralatan berjumlah RM99.3 juta serta elaun hutang ragu sebanyak RM39 .6 juta.

Jika tidak mengambil kira pelarasan sekali sahaja (rosotnilai dan elaun hutang ragu), LAT Syarikat berjumlah RM39.4 juta pada TKB2018, sebahagian besarnya disebabkan oleh kerugian yang ditanggung oleh segmen Perkhidmatan Teknikal berikutan kelewatan projek yang mengakibatkan kos ditanggung melebihi bajet dan peruntukan ganti rugi yang ditetapkan.

 

b) Status PN17

Pada masa ini, DAYA sedang merangka pelan untuk menstabilkan keadaan kewangannya (Pelan Regularisasi) kerana Syarikat dikehendaki mengemukakan Pelan Regularisasi pada 27 Februari 2019.

Walau bagaimanapun, pada 15 Februari 2019 Syarikat membuat permohonan kepada Bursa Securities untuk melanjutkan tempoh sehingga 27 Ogos 2019 untuk mengemukakan Pelan Regularisasi. Pada 8 Mac 2019, Bursa Securities memberikan DAYA lanjutan masa seperti yang diminta.

c) Notis tuntutan daripada tiga institusi kewangan berlesen berikutan kegagalan membayar ansuran bulanan di bawah kemudahan sewa beli dan kegagalan membayar balik kemudahan perdagangan.

2)  Keputusan tindakan undang-undang terhadap seorang pelanggan yang belum dapat dipastikan

3) Kegagalan mendapatkan bukti audit yang mencukupi berkaitan pengiktirafan dan penentuan jumlah Opsyen Jualan

4) Kegagalan mendapatkan daripada DAYA penilaian ke atas pengiktirafan liabiliti yang dianggarkan dan jangkaan aliran tunai yang diperlukan untuk menyelesaikan peminjaman yang ingkar serta faedah yang perlu dibayar daripada dua institusi kewangan berlesen

Harga terakhir saham pada 9 Mei 2019 adalah 1 sen. Pemegang saham diingatkan supaya memantau kaunter dan bersedia menunggu apa-apa perkembangan yang diumumkan oleh Syarikat.

 

PERAK CORPORATION BERHAD

BURSA MALAYSIA SECURITIES MEMBUAT TEGURAN TERBUKA TERHADAP PERAK CORPORATION BERHAD DAN PARA PENGARAH SYARIKAT SERTA MENDENDA TUJUH PENGARAH

Bursa Malaysia Securities telah membuat teguran terbuka terhadap Perak Corporation Berhad (PRKCORP atau Syarikat) dan tujuh bekas pengarahnya yang melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities (“KP Utama”). Selain itu, tujuh bekas pengarah PRKCORP telah dikenakan denda sebanyak RM237,500.

 

PRKCORP ditegur secara terbuka kerana melanggar:-

(1) perenggan 9.23(1) KP Utama kerana gagal mengeluarkan laporan tahunannya yang termasuk penyata kewangan tahunan yang diaudit bersama laporan juruaudit dan pengarah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016 (AR 2016) pada atau sebelum 30 April 2017. AR 2016 hanya dikeluarkan pada 6 Jun 2017;

(2) perenggan 2.23(1) KP Utama kerana gagal mematuhi arahan Bursa Malaysia Securities seperti yang termaktub dalam surat bertarikh 28 April 2016 dan 26 Ogos 2016 supaya Syarikat membuat semakan terhad ke atas laporan suku tahunan Syarikat bagi tempoh kewangan berakhir 30 September (QR3/2016), 31 Mac 2016 (QR1/2017) dan 30 Jun 2017 (QR2/2017) serta memastikan pengumuman laporan suku tahunan menyatakan bahawa ia sudah disemak oleh juruaudit luar Syarikat (Arahan Semakan Terhad); dan

(3) perenggan 9.16(1)(a) KP Utama kerana gagal memastikan QR4/2016 yang diumumkan pada 28 Februari 2017 sudah mengambil kira pelarasan seperti yang dinyatakan dalam pengumuman Syarikat pada 1 Jun 2017.

Tujuh bekas pengarah PRKCORP pada masa yang penting telah melanggar perenggan 16.13(b) daripada KP Utama kerana membenarkan secara sedar atau ketika mana mereka mempunyai cara yang munasabah untuk mendapatkan pengetahuan sedemikian, PRKCORP untuk melakukan pelanggaran terhadap perenggan 9.23(1) dan/atau 2.23(1) KP Utama.

Enam daripada pengarah terbabit telah meletak jawatan pada tarikh berlainan dalam 2018 dan seorang lagi meletak jawatan pada 1 Mac 2019.

Untuk maklumat lanjut, lihat pautan di bawah.

Sumber: http://www.bursamalaysia.com/market/listed-companies/company-announcements/6152425

 

KOMEN MSWG:

 

Pelanggaran KP Utama di atas boleh dinyatakan secara ringkas seperti berikut:

(i) Kelewatan mengeluarkan laporan tahunan yang termasuk penyata kewangan tahunan yang diaudit bersama laporan juruaudit dan pengarah;

(ii) Kegagalan untuk menjalankan semakan terhad ke atas laporan suku tahunan Syarikat dan untuk memastikan pengumuman laporan suku tahunan menyatakan bahawa ia sudah disemak oleh juruaudit luar Syarikat;

(iii) Kegagalan untuk memastikan laporan suku tahunan sudah mengambil kira pelarasan seperti yang dinyatakan dalam pengumuman Syarikat.

Kami agak kecewa dan kurang senang melihat semakin banyak berlaku kejadian pelanggaran peraturan seumpama ini. Lebih-lebih lagi apabila sesebuah syarikat melakukan beberapa kesalahan; dalam kes PRKCORP, 3 kesalahan.

Kejadian seumpama ini mencerminkan kelemahan tadbir urus syarikat terutama kebimbangan tentang integriti pelaporan kewangannya dan seterusnya penyata kewangan. Jawatankuasa Audit dan mereka yang terlibat dalam pelaporan kewangan akan disiasat lebih teliti.

Oleh itu, Bursa Malaysia Securities mengambil tindakan yang tepat dengan mengarahkan PRKCORP supaya mengkaji semula dan memastikan kecukupan dan keberkesanan fungsi pelaporan kewangannya serta menjalankan semakan terhad ke atas laporan suku tahunannya. Di samping itu, PRKCORP perlu memastikan kesemua pengarah dan kakitangan yang terlibat menghadiri program latihan yang berkaitan pematuhan KP Utama, terutama yang melibatkan penyata kewangan.


TINJAUAN MINGGUAN AGM MSWG UNTUK TEMPOH 13 HINGGA 17 MEI 2019

Berikut adalah AGM/EGM syarikat-syarikat di bawah senarai pemantauan Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG) pada minggu ini.

Ringkasan perkara penting disenaraikan di bawah, manakala butiran terperinci soalan yang diajukan kepada syarikat boleh didapati di laman web MSWG di www.mswg.org.my

Tarikh & Masa

Syarikat

Lokasi

14.05.19 (Selasa)
10.00 pagi

DIGI. Com. Bhd
(AGM)

Connexion @ Nexus, No. 7, Jalan Kerinchi, Bangsar South City, KL

14.05.19 (Selasa)
10.00 pagi

Tenaga Nasional Bhd
(AGM)

The Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC), Kompleks MITEC, KL

15.05.19 (Rabu)
10.00 pagi

UEM Edgenta Bhd
(AGM)

Persada PLUS, Persimpangan Bertingkat Subang KM15, NKVE, PJ

15.05.19 (Rabu)
10.00 pagi

BIMB Holdings Bhd
(AGM)

Pusat Konvensyen Sime Darby, 1A Jalan Bukit Kiara 1, KL

15.05.19 (Rabu)
11.00 pagi

Trive Property Group Bhd
(EGM)

Le Grandeur Palm Resort Johor, Jalan Persiaran Golf, Senai, Johor

16.05.19 (Khamis)
11.00 pagi

SP Setia Bhd
(AGM)

Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam, Seksyen U13, Shah Alam

16.05.19 (Khamis)
03.00 petang

Gas Malaysia Bhd
(AGM)

Hotel Istana, 73, Jalan Raja Chulan, KL

17.05.19 (Jumaat)
10.00 pagi

PPB Group Bhd
(AGM)

Hotel Shangri-La Kuala Lumpur, 11 Jalan Sultan Ismail, KL

 

Salah satu perkara penting untuk diajukan:

Syarikat

Perkara/ Isu Untuk Diajukan

DIGI. Com. Bhd
(AGM)

Merujuk halaman 15 Laporan Tahunan 2018, kami perhatikan bahawa pelanggan prabayar Syarikat berjumlah 8.9 juta (2017: 9.3 juta). Pada suku pertama berakhir 31 Mac 2019, jumlah pelanggan Syarikat adalah 8.4 juta – berkurangan sebanyak 459,000 pelanggan.

(a)    Apakah yang menyebabkan penurunan jumlah pelanggan prabayar?

(b)    Bagaimanakah penurunan jumlah pelanggan prabayar mempengaruhi prestasi Syarikat bagi tahun kewangan berakhir 2019?

(c)    Adakah anda menjangkakan jumlah pelanggan prabayar akan semakin berkurangan?

Tenaga Nasional Bhd
(AGM)

Halaman 34 daripada IAR 2018 mendedahkan bahawa pada TK2018 TNB melaksanakan jalur lebar berkelajuan tinggi secara rintis dengan menggunakan kabel gentian optik TNB selaras dengan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (“NFCP”) di Jasin, Melaka yang melibatkan 1,100 buah rumah.

Dengan adanya NFCP, TNB boleh memanfaatkan infrastruktur gentian optik yang tidak aktif serta membantu menjadi pemangkin yang memacu kerajaan untuk menawarkan sambungan jalur lebar dengan “kelajuan dua kali ganda, pada separuh kos”.

Inisiatif yang disebutkan di atas meletakkan TNB dalam kedudukan yang kompetitif dengan Telekom Malaysia Berhad.

Salah seorang pengarah Syarikat iaitu Cik Gee Siew Yoong merupakan pengarah TNB dan Telekom Malaysia Berhad, justeru meletakkan beliau dalam situasi konflik kepentingan.

Sudahkah Lembaga Pengarah membincangkan situasi konflik kepentingan ini? Apakah pendirian Lembaga tentang isu ini?

UEM Edgenta Bhd
(AGM)

Bahagian Solusi Kemudahan & Hartanah

Seperti yang dilaporkan oleh Bernama pada 16 April 2019, unit perunding Edgenta Berhad, Opus Consultants (M) Sdn Bhd telah dilantik sebagai perunding pengurusan projek (PMC) oleh kerajaan Sarawak untuk projek Rangkaian Jalan Raya Pesisir Pantai dan Jalan Utama Kedua yang bernilai RM11 bilion. Baru-baru ini, Opus Consultant telah dianugerahkan pakej pertama projek yang bernilai RM50 juta dan akan bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya Sarawak bagi menyediakan kepakaran teknikal dan mengurus keseluruhan projek.

a)     Berapakah jumlah yang dijangka akan disumbangkan oleh projek ini kepada keputusan kewangan Kumpulan?

b)     Adakah UEM Edgenta berpeluang menyediakan perkhidmatan Operasi & Penyelenggaraan (O&M) untuk kerja turapan jalan raya melalui Edgenta PROPEL Berhad selepas projek ini selesai?

BIMB Holdings Bhd
(AGM)

Pendigitalan adalah pemacu utama dalam strategi transformasi Kumpulan untuk perniagaan perbankan Islam dan Takaful di masa hadapan. (Rujuk halaman 54, Laporan Tahunan Bersepadu)

a)     Berapakah anggaran belanjawan untuk perniagaan perbankan Islam dan Takaful untuk tempoh tiga tahun akan datang?

b)     Bagaimanakah Kumpulan membezakan Bank dan bersaing dengan bertambahnya kehadiran firma FinTech, bank-bank Islam digital sahaja, pendanaan ramai patuh Syariah, syarikat pemula mata wang kripto dan banyak lagi pemain teknologi lain dalam pasaran?

Trive Property Group Bhd
(EGM)

“Demi meningkatkan kadar penghunian di Menara Persoft pada masa akan datang, Trive bercadang untuk memulakan inisiatif penambahbaikan aset yang bertujuan memperbaiki keadaan Menara Persoft. Tempoh masa dan anggaran perbelanjaan untuk pelan tersebut hanya boleh ditentukan apabila selesai pemeriksaan penuh Trive tentang keadaan Menara Persoft untuk menilai dan mengenal pasti kawasan yang berpotensi untuk dipertingkatkan. Proses pemeriksaan hanya boleh dilakukan selepas selesai Cadangan Langganan.” - halaman 17 Pekeliling.

Pendekatan di atas mungkin dianggap berisiko tinggi kerana Syarikat melanggan saham AESB tanpa melakukan pemeriksaan terperinci yang sewajarnya. Bagaimana pula jika kos penambahbaikan menjadi sebegitu tinggi sehingga pelaksanaan Cadangan Langganan tidak berpihak kepada kepentingan terbaik para pemegang saham? Risiko yang tinggi ini jelas terbukti dengan kadar penghunian Menara Persoft yang rendah serta usia bangunan yang mencecah 22 tahun.

Sila jelaskan.

SP Setia Bhd
(AGM)

Akhbar Financial Times bertarikh 23 Mac 2019 melaporkan, fasa kedua dan ketiga projek Stesen Janakuasa Battersea mengalami kesukaran. Sesetengah pembeli rumah daripada fasa kedua menuntut deposit dan membatalkan pembelian mereka.

(a)    Berapa seriuskah masalah pembatalan ini? Sila berikan statistik yang berkaitan.

(b)    Adakah projek ini dibelenggu situasi kos berlebihan seperti yang dilaporkan?

(c)    Adakah terdapat situasi pusing ganti yang tinggi dan semangat yang rendah yang menjejaskan kakitangan Syarikat Pembangunan Stesen Janakuasa Battersea?

(d)    Jika benar, apakah langkah yang diambil untuk mengatasi masalah yang disebutkan dalam (b) dan (c)?

Gas Malaysia Bhd
(AGM)

Merujuk Nota 19 di halaman 177, kami perhatikan Kumpulan mempunyai dana pelaburan (tidak disebut harga) dengan sebuah institusi kewangan berlesen yang bertambah daripada tiada pada 2017 kepada RM171.2 juta pada 2018.

Apakah jenis dana pelaburan ini, sebab-sebab Syarikat memilih pelaburan dalam dana ini dan pulangan pada 2018?

PPB Group Bhd
(AGM)

Keputusan kewangan Syarikat sangat bergantung pada prestasi perniagaan Wilmar International Limited berikutan 18.5% kepentingannya dalam syarikat itu (halaman 33 Laporan Tahunan 2018). Apakah kesan terhadap Wilmar berikutan ketegangan perdagangan yang berpanjangan antara Amerika Syarikat dan China?

 


­­­

SENARAI PEMERHATIAN MSWG

Axiata Group Berhad ("AXIATA" atau "Syarikat")

Pada 6 Mei 2019, Lembaga Pengarah Axiata Group Berhad mengumumkan bahawa Axiata Group Berhad dan Telenor ASA (“Telenor”) (bersama-sama dikenali sebagai “Pihak”) sedang berbincang untuk mewujudkan satu entiti global yang digabungkan (“Transaksi Yang Dicadangkan”) dengan menggabungkan operasi Axiata dan operasi Telenor di Asia dalam jejak pasaran ASEAN dan Asia Selatan kedua-dua syarikat.

Kedua-dua Pihak menyatakan tiada kepastian Transaksi yang Dicadangkan ini akan mewujudkan apa-apa perjanjian atau obligasi yang mengikat kedua-dua Pihak untuk meneruskan sebarang pengambilalihan, penggabungan atau penjualan.

Axiata akan memberikan maklumat lanjut jika diperlukan.

Sumber: http://www.bursamalaysia.com/market/listed-companies/company announcements/6152305

 

FSBM HOLDINGS BERHAD ("FSBM" atau "Syarikat")

Berikutan pengumuman Syarikat dengan nombor rujukan GA1-03052019-00019 bertarikh 8 Mei 2019, Lembaga Pengarah FSBM dengan ini mengumumkan bahawa pada 8 Mei 2019, Syarikat telah mengemukakan bantahan bertulis kepada Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) menyatakan sebab dan alasan sekuriti FSBM tidak boleh dikeluarkan daripada Senarai Rasmi Bursa Securities.

Bantahan bertulis kepada Bursa Securities itu dibuat dalam tempoh lima (5) hari pasaran (dari tarikh penerimaan surat Bursa Securities bertarikh 2 Mei 2019 berkaitan Notis untuk Menunjukkan Sebab-sebab penyahsenaraian saham FSBM) sebagaimana yang diberikan oleh Bursa Securities.

Pengumuman ini bertarikh 8 Mei 2019.

Sumber: http://www.bursamalaysia.com/market/listed-companies/company-announcements/6155461

 

METRONIC GLOBAL BERHAD (“METRONIC” atau “Syarikat”)

Metronic memaklumkan bahawa Syarikat telah memfailkan Saman di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur terhadap

 

1. TAN EW CHEW (No K/P: 570822-04-5473),

2. TAN KIAN HONG (No K/P: 851109-04-5487),

3. TAN HONG HONG (No K/P: 920619-14-6946),

4. TAN LIAN HONG (No K/P: 870212-14-5201),

5. OOI CHIENG SIM (No K/P: 690602-07-5503),

6. LAGENDA PERDANA SDN BHD (No Syarikat: 278059-X),

7. PROGEREX SDN BHD (No Syarikat: 257136-V),

8. SKYLITECH RESOURCES SDN BHD (No Syarikat: 230298-T),

9. HOCK LOK SIEW REALTY SDN BHD (No Syarikat: 159911-M),

10. A1 CAPITAL SDN BHD (No Syarikat: 744921-V) dan

11. NG WAI YUAN (No K/P: 790507-10-5258) ( atau “Defendan”)

berdasarkan kepercayaan atau pendapat Syarikat bahawa -

a) Defendan mengawal kira-kira 39% saham Syarikat;

b) Defendan adalah ‘Orang Yang Bertindak Bersama-sama’ (“PAC”) yang telah mendapat ‘Kawalan’ ke atas Syarikat, seperti yang ditakrifkan oleh Undang-undang Sekuriti. Namun, Defendan gagal mematuhi Seksyen 137 dan 138 Akta Syarikat 2016;

c) Defendan juga telah gagal melaksanakan Tawaran Umum Mandatori seperti yang ditetapkan oleh Undang-undang Sekuriti dan Kod;

d) Defendan telah berkomplot untuk menjejaskan Syarikat, dan telah mengugut Syarikat untuk mendapatkan RM20,000,000-00 dan menarik balik laporan polis terhadap Tan Ew Chew. Bagi mengelakkan kekeliruan dan keraguan, Syarikat telah membuat laporan polis sebelum ini. Berikutan itu, Tan Ew Chew telah didakwa di Mahkamah Jenayah atas tuduhan Jenayah Pecah Amanah; dan

e) Notis yang dikeluarkan oleh Lagenda Perdana Sdn Bhd, Tan Lian Hong dan Ng Wai Yuan menurut Seksyen 311(3)(a) Akta Syarikat 2016 bertarikh 25.4.2019 (“Tuntutan”) adalah tidak sah.

 

Melalui Saman ini, Syarikat meminta pelepasan berikut iaitu antara lain -

a) Pengisytiharan bahawa Defendan adalah PAC;

b) Pengisytiharan bahawa Defendan telah mendapat kawalan ke atas Plaintif seperti yang ditakrifkan oleh Undang-undang Sekuriti;

c) Pengisytiharan bahawa Tuntutan adalah terbatal dan tidak sah; dan

d) Ganti rugi.

Apa-apa perkembangan lanjut akan diumumkan dengan sewajarnya.

Pengumuman ini bertarikh 9 Mei 2019.

Sumber: http://www.bursamalaysia.com/market/listed-companies/company-announcements/6157045

 


SENARAI WASPADA MSWG

SYARIKAT PN17

  1. APFT BERHAD
  2. BERJAYA MEDIA BERHAD
  3. BERTAM ALLIANCE BERHAD
  4. BRAHIM’S HOLDINGS BERHAD
  5. CHINA AUTOMOBILE PARTS HOLDINGS LIMITED
  6. COMINTEL CORPORATION BERHAD
  7. DAYA MATERIALS BERHAD
  8. EKA NOODLES BERHAD
  9. HB GLOBAL LIMITED
  10. KINSTEEL BHD
  11. KUANTAN FLOUR MILLS BERHAD
  12. MAA GROUP BERHAD
  13. MALAYSIA PACIFIC CORPORATION BERHAD
  14. MAXWELL INTERNATIONAL HOLDINGS BERHAD
  15. MULTI SPORTS HOLDINGS LTD
  16. PERISAI PETROLEUM TEKNOLOGI BERHAD
  17. SEACERA GROUP BERHAD
  18. STONE MASTER CORPORATION BERHAD
  19. SUMATEC RESOURCES BERHAD
  20. TH HEAVY ENGINEERING BERHAD
  21. UTUSAN MELAYU (MALAYSIA) BERHAD
  22. YFG BERHAD

 SYARIKAT GN3

  1. G NEPTUNE BERHAD
  2. IDIMENSION CONSOLIDATED BERHAD
  3. WINTONI GROUP BERHAD

Sila rujuk pautan di bawah untuk mengetahui status terkini syarikat.
http://www.bursamalaysia.com/market/listed-companies/list-of-companies/pn17-and-gn3-companies/

 


BERITA PENGAWAL SELIA

SC inaugural CG Monitor Reports encouraging adoption of corporate governance best practices

https://www.sc.com.my/news/media-releases-and-announcements/scs-inaugural-cg-monitor-reports-encouraging-adoption-of-corporate-governance-best-practices

Bursa Malaysia Securities publicly reprimands Wintoni Group Berhad (in liquidation), the liquidator and fines 7 former directors a total of rm165,400

http://www.bursamalaysia.com/corporate/media-centre/media-releases/6109

Bursa Malaysia Securities reprimands, fines and suspends Lo Ling for misconducts and violation of rules

http://www.bursamalaysia.com/corporate/media-centre/media-releases/6113

Monetary Policy Statement

http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=en_press&pg=en_press&ac=4850&lang=en

 


PERKEMBANGAN DAN BERITA DALAM NEGARA


PERKEMBANGAN DAN BERITA LUAR NEGARA


PASUKAN MSWG

Devanesan Evanson, Ketua Pegawai Eksekutif, [email protected]

Siva Yamini, Ketua, Khidmat Korporat, [email protected]

Quah Ban Aik, Ketua, Pemantauan Korporat, [email protected]

Hoo Ley Beng, Pemangku Ketua, Penyelidikan & Pembangunan, [email protected]

Norhisam Sidek, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]

Lee Chee Meng, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]

Elaine Choo Yi Ling, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]

Lim Cian Yai, Penganalisis Kanan, Pemantauan Korporat, [email protected]

Nor Khalidah Mohd Khalil, Penganalisis, Pemantauan Korporat, [email protected]


PENZAHIRAN KEPENTINGAN

•       Sehubungan dengan syarikat-syarikat yang dinyatakan, MSWG memegang jumlah saham yang minima di dalam syarikat-syarikat yang dinyatakan di dalam surat berita ini, kecuali bagi Pasdec Holdings Berhad.


Maklumbalas

Kami mengalu-alukan maklumbalas anda mengenai surat berita dan khidmat kami. Sila e-mel komen dan cadangan anda ke [email protected].


PENOLAKAN TUNTUTAN

Surat berita ini dan isi kandungannya berserta semua hak-hak berkaitan dengannya termasuk hak cipta dimiliki oleh Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Berhad, juga dikenali sebagai Minority Shareholders Watch Group (MSWG).

Isi kandungan dan pendapat yang dinyatakan di dalam surat berita ini adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada domain awam dan bertujuan untuk memberikan maklumat umum kepada pengguna dan adalah untuk rujukan sahaja. Usaha terbaik telah dilakukan untuk memastikan maklumat yang terkandung di dalam surat berita ini adalah tepat dan terkini pada tarikh penerbitan. Walaubagaimanapun, MSWG tidak membuat sebarang waranti nyata atau tersirat atas ketepatan atau kelengkapan maklumat dan pendapat yang terkandung di dalam surat berita ini. Tiada maklumat di dalam surat berita ini yang bertujuan atau patut dianggap sebagai syor untuk membeli atau menjual atau jemputan untuk melanggan sekuriti tertentu, pelaburan yang berkaitan atau mana-mana instrumen kewangan.

MSWG perlu diberikan perakuan bagi mana-mana bahagian surat berita ini yang diterbitkan semula.

MSWG tidak akan bertanggungjawab atau menanggung sebarang liabiliti atas kebergantungan kepada sebarang maklumat atau komen yang terkandung di dalam surat berita ini atau jika ianya diterbitkan semula oleh pihak ketiga. Semua pembaca atau pelabur dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat perundangan atau nasihat profesional yang lain sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan surat berita ini.

 

TAMAT./

 

Language: