MSWG Weekly Newsletter 09 Nov 2018 (BM)

Friday, 9 November, 2018

09.11.2018

MESEJ KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF

 

Tawaran Wang Syiling Awal (ICO) (dan mata wang kripto) Country Heights

99.995% (dalam jumlah saham) ‘meluluskan’ resolusi berkaitan penerbitan Tawaran Wang Syiling Awal (ICO) Country Heights Holdings Berhad (CHHB) dalam EGM CHHB yang diadakan pada 8 November 2018, dan ia dikenali sebagai Horse Currency.

Namun, adakah ia ‘kelulusan’ hakiki, seperti yang dilaporkan dalam media atau adakah ia ‘belian dalaman’ sebelum mendapatkan kelulusan sebenar?

Kita perlu meneliti setiap perkataan dalam resolusi yang disiarkan semula di bawah ini, dengan perkataan tertentu yang kami serlahkan dalam huruf tebal:

“Lembaga Pengarah CHHB berhasrat untuk mendapatkan sokongan dan endorsemen daripada para pemegang saham Syarikat untuk memulakan Tawaran Wang Syiling Awal bagi menerbitkan mata wang  kripto yang disokong oleh aset Syarikat, buat masa ini dikenali sebagai ‘Horse Currency’ dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa Syarikat yang dijadualkan pada hari Khamis, 8 November 2018.”

Melihat susunan ayat di atas, EGM hanya diadakan untuk ‘mendapatkan sokongan dan endorsemen’, supaya CHHB dapat ‘memulakan’ pelaksanaan ICO.

Oleh itu, keputusan daripada EGM, hanyalah kelulusan pada dasarnya.

Memang sepatutnya begitu kerana masih banyak butiran belum disediakan kepada para pemegang saham terutama rangka kerja pengawalseliaan untuk ICO berkenaan.

CHHB sedang dalam proses menggerakkan pasukan pakar dan penasihat untuk menyempurnakan tawaran ICO dan ini pasti memerlukan perbelanjaan.

Terdapat risiko bahawa sebahagian wang yang dibelanjakan untuk pelaksanaan ICO yang dirancang oleh CHHB mungkin perlu dihapus kira jika model ICO yang diluluskan oleh pengawal selia ini ternyata sesuatu yang berbeza (mungkin benda yang sama tetapi mempunyai ciri-ciri yang berbeza).

Adakah CHHB membuat kerja balik bokong sewaktu mengurus ‘Horse Currency’ ini?

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kita melihat keputusan dalam EGM itu sebagai ‘persetujuan pada dasarnya’ kerana tidak banyak maklumat diberikan dalam EGM. (Kami menjangkakan Syarikat akan mengadakan satu lagi EGM pada masa terdekat dengan butiran yang mencukupi bagi membolehkan pemegang saham menghadam maklumat mengenai tawaran ICO ini sebelum membuat sebarang keputusan).

Berikut adalah beberapa isu yang perlu diselesaikan iaitu:

  • Bagaimanakah ICO ini diiktiraf dalam buku CHHB? Adakah ia dianggap sebagai ekuiti atau pinjaman atau hibrid ekuiti dan pinjaman?
  • Apakah rangka kerja dan langkah pengurusan risiko yang perlu ditetapkan?
  • Bagaimanakah status ICO ini jika berlaku penggulungan?
  • Memandangkan terdapat unsur pencairan dalam Aset Ketara Bersih, kami jangkakan aset yang menjadi sandaran kepada ICO akan diketepikan dan diletakkan dalam satu akaun amanah. Oleh itu, adakah pemegang saham minoriti diberikan ‘tawaran terhad’ mungkin pada harga yang lebih rendah? Atau adakah ia seperti IPO?
  • Apakah risiko kejayaan ICO ini memandangkan CHHB adalah kaunter hartanah dan sektor hartanah kini berhadapan situasi yang tidak memberangsangkan selain pasaran yang merudum.

Walau bagaimana pun, kami masih perlu meneliti resolusi berkaitan pelaksanaan ICO ini. Selagi pemegang saham minoriti belum mendapatkan butiran lanjut, kelulusan dalam EGM yang diadakan pada 8 November 2018 hanyalah persetujuan pada peringkat dasar.

 


TINJAUAN MINGGUAN AGM MSWG UNTUK TEMPOH 12 HINGGA 16 NOVEMBER 2018

Berikut adalah AGM/EGM syarikat-syarikat di bawah senarai pemantauan MSWG pada minggu ini.

Ringkasan perkara penting disenaraikan di bawah, manakala butiran terperinci soalan yang diajukan kepada syarikat boleh didapati di laman web MSWG di www.mswg.org.my

Tarikh & Masa

Syarikat

Lokasi

13.11.18 (Selasa)
10.00 pagi

Padini Holdings Bhd
(AGM)

The Saujana Hotel Kuala Lumpur, Jalan Lapangan Terbang Subang, Shah Alam

13.11.18 (Selasa)
11.00 pagi

Naim Holdings Bhd 
(EGM)

Damai Beach Resort, Teluk Bandung Santubong, Kuching, Sarawak

14.11.18 (Rabu)
10.00 pagi

Dialog Group Bhd 
(AGM)

Pusat Konvensyen Sime Darby, 1A Jalan Bukit Kiara 1, KL

15.11.18 (Khamis)
10.00 pagi

Sime Darby Bhd 
(AGM)

Pusat Konvensyen Sime Darby, 1A Jalan Bukit Kiara 1, KL

 

Beberapa perkara penting untuk diajukan:

Syarikat

Perkara/ Isu untuk Diajukan

Padini Holdings Bhd
(AGM)

(a)      Seperti yang dilaporkan pada halaman 12 Laporan Tahunan, Kumpulan telah meluaskan perniagaan ke Kemboja pada TK2018. Walau bagaimanapun, dalam Perbincangan dan Analisis Pengurusan (MD&A) di halaman 17 Laporan Tahunan, dinyatakan bahawa ketiga-tiga kedai francais di Kemboja telah ditutup selepas tahun kewangan berakhir 2018.

Sila jelaskan sebab-sebab kedai ini ditutup dan apakah rancangan masa depan Syarikat di Kemboja?

(b)      Halaman 17 Laporan Tahunan menyatakan, peningkatan eksport ke kedai-kedai yang diurus oleh pemegang lesen sebahagian besarnya disumbangkan oleh Indonesia yang menyaksikan permintaan yang lebih tinggi dalam pasaran tempatan. Kedai francais di Indonesia telah bertambah daripada 10 pada TK2016 kepada 15 pada TK2018.

Apakah rancangan Kumpulan dalam menambahkan cawangan di Indonesia?

Dialog Group Bhd 
(AGM)

Perbincangan dan Analisis Pengurusan di halaman 38 Laporan Tahunan melaporkan bahawa sumbangan keuntungan bersih di peringkat antarabangsa bagi tahun ini adalah lebih rendah disebabkan pengurangan aktiviti kejuruteraan, pembinaan dan penyelenggaraan kilang.

Apakah prospek perniagaan antarabangsa Kumpulan?

Sime Darby Bhd 
(AGM)

Seperti yang dinyatakan pada halaman 48 Laporan Tahunan, salah satu risiko utama Perniagaan Motor Syarikat adalah persaingan daripada peniaga lain dan pengimport kelabu yang menjual kenderaan pada harga diskaun yang sangat tinggi.

(a)      Margin keuntungan operasi untuk Segmen Motor Syarikat adalah rendah iaitu kira-kira 3%. Apakah kelebihan pesaing lain berbanding Syarikat yang membolehkan mereka menjual kenderaan pada harga yang lebih rendah?

(b)      Apakah mekanisme kawalan harga yang ditetapkan oleh Prinsipal?

(c)       Adakah Syarikat menggunakan apa-apa program pengekalan pelanggan untuk mengekalkan pelanggan setia?


PASUKAN MSWG

Devanesan Evanson, Ketua Pegawai Eksekutif, [email protected]

Lya Rahman, Pengurus Besar, [email protected]
Rebecca Yap, Ketua, Pemantauan Korporat, [email protected]
Quah Ban Aik, Ketua, Pemantauan Korporat, [email protected]
Norhisam Sidek, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]
Hoo Ley Beng, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]

Lee Chee Meng, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected] 

Abdul Halim Alias, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]


 

PENZAHIRAN KEPENTINGAN

•        Sehubungan dengan syarikat-syarikat yang dinyatakan, MSWG memegang jumlah saham yang minima di dalam syarikat-syarikat yang dinyatakan di dalam surat berita ini.


Maklumbalas

Kami mengalu-alukan maklumbalas anda mengenai surat berita dan khidmat kami. Sila e-mel komen dan cadangan anda ke [email protected].


PENOLAKAN TUNTUTAN

Surat berita ini dan isi kandungannya berserta semua hak-hak berkaitan dengannya termasuk hak cipta dimiliki oleh Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Berhad, juga dikenali sebagai Minority Shareholders Watch Group (MSWG).

Isi kandungan dan pendapat yang dinyatakan di dalam surat berita ini adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada domain awam dan bertujuan untuk memberikan maklumat umum kepada pengguna dan adalah untuk rujukan sahaja. Usaha terbaik telah dilakukan untuk memastikan maklumat yang terkandung di dalam surat berita ini adalah tepat dan terkini pada tarikh penerbitan. Walaubagaimanapun, MSWG tidak membuat sebarang waranti nyata atau tersirat atas ketepatan atau kelengkapan maklumat dan pendapat yang terkandung di dalam surat berita ini. Tiada maklumat di dalam surat berita ini yang bertujuan atau patut dianggap sebagai syor untuk membeli atau menjual atau jemputan untuk melanggan sekuriti tertentu, pelaburan yang berkaitan atau mana-mana instrumen kewangan.

MSWG perlu diberikan perakuan bagi mana-mana bahagian surat berita ini yang diterbitkan semula.

MSWG tidak akan bertanggungjawab atau menanggung sebarang liabiliti atas kebergantungan kepada sebarang maklumat atau komen yang terkandung di dalam surat berita ini atau jika ianya diterbitkan semula oleh pihak ketiga. Semua pembaca atau pelabur dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat perundangan atau nasihat profesional yang lain sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan surat berita ini.

Language: