MSWG Weekly Newsletter 01 March 2019 (BM)

Friday, 1 March, 2019

1 MAC 2019

PANDANGAN RINGKAS MSWG TERHADAP PERKEMBANGAN KORPORAT SEMASA

LONDON BISCUITS BERHAD (“LBB” atau “Syarikat”)

LAPORAN BERSYARAT OLEH JURUAUDIT LUAR KEPADA PENYATA KEWANGAN BAGI TAHUN BERAKHIR 30 SEPTEMBER 2018.

Menurut Perenggan 9.19(37) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad, LBB membuat pengumuman yang menyatakan Tetuan Nexia SSY, Juruaudit Luar Syarikat, telah memberikan pendapat bersyarat dalam laporan mereka.

Asas kepada Pendapat Bersyarat (Ekstrak daripada Laporan Juruaudit)

“Kami dilantik sebagai juruaudit Syarikat pada 20 Disember 2018 dan oleh itu tidak dapat memperhatikan pengiraan inventori fizikal pada penghujung tahun kewangan berakhir 30 September 2018. Cara alternatif yang digunakan untuk menentukan kuantiti inventori pada 30 September 2018 tidak dapat memuaskan hati kami, seperti yang dinyatakan dalam penyata kedudukan kewangan Kumpulan dan Syarikat iaitu masing-masing berjumlah RM26.891 juta dan RM20.794 juta. Oleh kerana inventori diambil kira dalam menentukan prestasi kewangan dan aliran tunai, kami tidak dapat menentukan sama ada pelarasan perlu dibuat berhubung keuntungan bagi tahun yang dilaporkan dalam penyata pendapatan komprehensif dan aliran tunai bersih daripada aktiviti operasi yang dilaporkan dalam penyata aliran tunai.

Kami ingin menarik perhatian terhadap perkara berikut, menurut ISA 510 berhubung Keterlibatan Audit Awal - Baki Pembukaan. Kami sudah pun menjalankan prosedur audit untuk memastikan baki permulaan wujud, tepat, lengkap dan dipersembahkan dengan betul. Kami mendapati sesetengah baki pembukaan mengandungi salah nyata yang ketara yang memberi kesan terhadap penyata kewangan semasa. Justeru, item dalam baki pembukaan seperti diterangkan secara terperinci dalam Nota 39 kepada penyata kewangan, telah diselaraskan dan dinyatakan semula dalam penyata kewangan.

Kami mendapati ada transaksi penting dan material antara Kumpulan dan satu pelanggan seperti yang dinyatakan dalam Nota 29 kepada penyata kewangan. Operasi menunjukkan ada petanda hubungan pihak berkaitan walaupun tiada hubungan dari segi undang-undang. Oleh yang demikian, urus niaga antara syarikat diselaraskan dan diiktiraf sebagai urusniaga pihak berkaitan untuk mencerminkan pengaturan operasi seperti yang diterangkan dalam Nota 29 kepada penyata kewangan. Pihak pengurusan berpendapat penzahiran urus niaga pihak berkaitan tidak akan diguna pakai berikutan status syarikat itu dari segi undang-undang.

Nota 12 kepada penyata kewangan menyatakan, Kumpulan mengiktiraf kejejasan nilai ke atas penghutang perdagangan berjumlah RM1.994 juta bagi tahun berakhir 30 September 2018 dan RM60.392 juta telah diselaraskan secara retrospektif bagi mematuhi penerimaan awal MFRS 9 oleh Syarikat. Dalam pengiraan jangkaan kerugian kredit (“ECL”), kami tidak dapat menentukan ketepatan data pengusiaan penghutang perdagangan serta maklumat berkaitan yang digunakan untuk mengira ECL. Oleh itu, kami tidak dapat menentukan sama ada pelarasan perlu dibuat berkaitan ECL dan penzahiran pengusiaan dalam Nota 12 kepada penyata kewangan.

Seperti yang dinyatakan dalam Nota 38 kepada penyata kewangan, baki pembukaan loji dan jentera yang sedang disiapkan sudah diselaraskan bagi mencerminkan perolehan sebuah barisan pengeluaran yang dibuat bagi pihak syarikat bersekutu.

Dalam tahun kewangan semasa, syarikat membuat pembelian loji dan jentera berjumlah RM52.467 juta. Kami tidak berjaya mendapatkan bukti audit yang cukup untuk menyokong pembelian ini.

Bagaimanapun, Syarikat ada menyediakan laporan penilaian luar yang dibuat oleh penilai profesional untuk loji dan jentera utama Kumpulan. Namun begitu, kami masih tidak dapat menentukan sama ada pelarasan diperlukan untuk menyatakan semula nilai loji dan jentera”

Berhubung perkara di atas, Lembaga Pengarah LBB mengumumkan bahawa Lembaga membuat keputusan untuk melaksanakan pengauditan/ penilaian semula secara interim yang terhad ke atas perkara-perkara audit utama yang dibangkitkan dalam Laporan Juruaudit sebelum akhir tahun kewangan semasa yang berakhir pada 30 September 2019.

[Sumber: http://www.bursamalaysia.com/market/listed-companies/company-announcements/6072429]

 

 Komen MSWG

Juruaudit Bebas mengetengahkan lima isu yang membawa kepada pendapat bersyarat yang diberikan ke atas Penyata Kewangan Syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2018. Pemegang saham pasti tidak tenang apabila mendengar banyak isu negatif yang dibangkitkan, yang merangkumi bukan sahaja aset utama (termasuk inventori, penghutang perdagangan serta loji dan jentera) malah kesilapan menyatakan baki pembukaan.  

Penyataan semula baki pembukaan memberi kesan signifikan terhadap keputusan kewangan Syarikat bagi tempoh kewangan sebelum ini yang berakhir pada 30 September 2017. Keuntungan Selepas Cukai (PAT) Syarikat dinyatakan semula daripada RM17.2 juta kepada RM1.7 juta, jumlah aset dinyatakan semula daripada RM875.4 juta kepada RM702.3 juta dan aliran tunai operasi bersih yang negatif dinyatakan semula daripada RM30.9 juta kepada RM109.3 juta. 

Seperti yang dilaporkan dalam Laporan Juruaudit Bebas, baki awal tertentu yang mengandungi kesilapan telah disahkan memberi kesan yang ketara terhadap Penyata Kewangan semasa. Sangat membimbangkan kerana tiada penjelasan lanjut diberikan tentang sifat salah nyata ini dan sama ada ia terkumpul selama beberapa tahun.

Lima isu ini, termasuk salah nyata baki awal tertentu, yang menjadi sebab kepada pendapat bersyarat ke atas Penyata Kewangan turut mempersoalkan kredibiliti Penyata Kewangan bagi tahun semasa dan tahun-tahun sebelumnya.

Melihat tahap keseriusan isu yang diketengahkan, kita mungkin tertanya-tanya sama ada ia benar-benar kes salah nyata, kesilapan atau ketinggalan atau adakah ia sesuatu yang lebih serius yang membawa kepada salah laku? Adakah lembaga pengarah memulakan apa-apa siasatan dalaman apabila isu ini diketengahkan? Jika tidak, mengapakah Lembaga Pengarah tidak berbuat demikian?

Menurut Akta Syarikat 2016 dan Keperluan Penyenaraian, pihak Lembaga Pengarah (secara umum) dan Jawatankuasa Audit (secara khusus) bertanggung jawab memastikan penyata kewangan Syarikat disediakan dengan betul, tepat pada masanya dan memberikan pandangan yang benar dan saksama tentang kedudukan kewangan Syarikat. Isu ini juga diketengahkan oleh Juruaudit Bebas dalam laporan mereka yang memberikan pendapat bersyarat. Justeru, Lembaga Pengarah perlu menilai semula keberkesanan Jawatankuasa Audit berhubung struktur dan proses pelaporan kewangan oleh Syarikat serta mengenal pasti ruang untuk penambahbaikan.

Seperti yang dinyatakan dalam pengumuman bertarikh 22 Februari 2019, Lembaga Pengarah telah memutuskan untuk melakukan pengauditan/penilaian semula secara interim yang terhad terhadap Perkara Audit Utama yang dibangkitkan dalam Laporan Juruaudit sebelum akhir tahun kewangan semasa yang berakhir 30 September 2019.

Melihat tahap keseriusan isu-isu ini, menetapkan tarikh akhir sehingga 30 September 2019 untuk menjalankan audit/ penilaian semula yang terhad adalah terlalu lama. Ini adalah kerana isu yang tidak dapat diselesaikan boleh menjejaskan ketepatan dan kebolehpercayaan laporan suku tahunan untuk tahun kewangan 2019. Penyata kewangan, sama ada suku tahunan atau tahunan, merupakan sumber penting untuk pemegang saham membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat. Oleh yang demikian, Lembaga Pengarah perlu mengambil langkah sewajarnya untuk menyelesaikan isu ini dan memaklumkan pemegang saham secepat mungkin.


TINJAUAN MINGGUAN AGM/EGM MSWG UNTUK TEMPOH 4 HINGGA 8 MAC 2019

Tiada apa-apa AGM atau EGM untuk syarikat yang berada dalam senarai pemerhatian MSWG pada minggu ini.


PASUKAN MSWG

Devanesan Evanson, Ketua Pegawai Eksekutif, [email protected]
Rebecca Yap, Ketua, Pemantauan Korporat, [email protected]
Quah Ban Aik, Ketua, Pemantauan Korporat, [email protected]
Norhisam Sidek, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]
Hoo Ley Beng, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]
Lee Chee Meng, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected] 

Lim Cian Yai, Penganalisa Kanan, Pemantauan Korporat, [email protected]


PENZAHIRAN KEPENTINGAN

•          Sehubungan dengan syarikat-syarikat yang dinyatakan, MSWG memegang jumlah saham yang minima di dalam syarikat-syarikat yang dinyatakan di dalam surat berita ini, kecuali bagi London Biscuits Bhd dan Apex Equity Holdings Bhd.


Maklumbalas

Kami mengalu-alukan maklumbalas anda mengenai surat berita dan khidmat kami. Sila e-mel komen dan cadangan anda ke [email protected].


PENOLAKAN TUNTUTAN

Surat berita ini dan isi kandungannya berserta semua hak-hak berkaitan dengannya termasuk hak cipta dimiliki oleh Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Berhad, juga dikenali sebagai Minority Shareholders Watch Group (MSWG).

Isi kandungan dan pendapat yang dinyatakan di dalam surat berita ini adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada domain awam dan bertujuan untuk memberikan maklumat umum kepada pengguna dan adalah untuk rujukan sahaja. Usaha terbaik telah dilakukan untuk memastikan maklumat yang terkandung di dalam surat berita ini adalah tepat dan terkini pada tarikh penerbitan. Walaubagaimanapun, MSWG tidak membuat sebarang waranti nyata atau tersirat atas ketepatan atau kelengkapan maklumat dan pendapat yang terkandung di dalam surat berita ini. Tiada maklumat di dalam surat berita ini yang bertujuan atau patut dianggap sebagai syor untuk membeli atau menjual atau jemputan untuk melanggan sekuriti tertentu, pelaburan yang berkaitan atau mana-mana instrumen kewangan.

MSWG perlu diberikan perakuan bagi mana-mana bahagian surat berita ini yang diterbitkan semula.

MSWG tidak akan bertanggungjawab atau menanggung sebarang liabiliti atas kebergantungan kepada sebarang maklumat atau komen yang terkandung di dalam surat berita ini atau jika ianya diterbitkan semula oleh pihak ketiga. Semua pembaca atau pelabur dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat perundangan atau nasihat profesional yang lain sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan surat berita ini.

Language: