MSWG Weekly Newsletter 30 August 2018 (BM )

Thursday, 30 August, 2018

30.08.2018

MESEJ KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF

Kami telah melancarkan Laporan Tadbir Urus Korporat Malaysia - ASEAN 2017 di Bursa Malaysia pada hari Isnin yang lepas.

Berikut adalah sorotan beberapa penemuan penting berdasarkan 880 syarikat yang dikaji, berserta ulasan kami.

17 syarikat mencapai skor tadbir urus korporat (CG) melebihi 100 mata manakala 113 syarikat (atau 13% daripada syarikat yang dikaji) mencatatkan kurang daripada 50 mata. Bagi setiap syarikat yang mencapai lebih 100 mata, terdapat 6 syarikat di bawah kategori 50 mata. Masih banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan amalan CG dalam 113 syarikat ini. Daripada 17 syarikat itu, 12 terdiri daripada GLC.

Syarikat perlu menjadikan amalan membayar dividen dengan segera selepas mengisytiharkannya dan bukannya membuatkan pemegang saham tertunggu-tunggu dengan menangguhkan pembayaran. Bagi dividen interim tunai, amalan CG yang lebih baik menyatakan pembayaran perlu dibuat dalam tempoh masa 30 hari selepas pengumumannya. Bagi dividen akhir, yang tertakluk pada kelulusan pemegang saham, tempohnya ialah 30 hari selepas mendapat kelulusan pemegang saham.

Akta Syarikat 2016 menetapkan tempoh notis 21 hari untuk AGM. Amalan terbaik seluruh dunia menyokong tempoh notis yang lebih panjang iaitu 28 hari. Lebih separuh daripada syarikat yang dikaji iaitu 495 syarikat (56%) memberi tempoh notis lebih daripada 28 hari. Ini patut dipuji kerana para pemegang saham mempunyai lebih banyak masa untuk membaca laporan tahunan dan laporan CG yang saban hari semakin tebal.

Penerbitan Perkara Penting yang Dibincangkan dalam AGM kini menjadi satu keperluan. 78% daripada 100 syarikat teratas menerbitkan minit AGM berserta Perkara Penting yang Dibincangkan. Walau bagaimanapun, menurut kajian ke atas 880 syarikat ini, kadar pematuhan cuma 37% dan ini amat mengecewakan. Keperluan ini amat bermakna kerana pemegang saham yang tidak dapat menghadiri AGM dan orang ramai kini boleh melihat apa yang berlaku dalam AGM. Maklumat ini akan membantu dalam membuat sesuatu keputusan.

Resolusi untuk melantik seseorang pengarah adalah berbeza daripada resolusi untuk mengklasifikasikan pengarah sebagai pengarah bebas bukan eksekutif (INED) dan tidak boleh digabungkan bersama sebagai satu resolusi. Pemegang saham mungkin mahukan seseorang pengarah berada dalam lembaga pengarah tetapi bukan sebagai pengarah bebas. Pilihan ini perlu ditawarkan kepada para pemegang saham. Ada 6 syarikat yang menggabungkan resolusi ini.

Ganjarah Pengarah semakin meningkat. Ganjaran tahunan purata meningkat daripada RM1,266K (2016) kepada RM1,385K. Ganjaran tahunan purata pengarah bukan eksekutif (NED) meningkat daripada RM120K (2016) kepada RM136K, menghasilkan purata kira-kira RM11,300 sebulan. Peningkatan dalam ganjaran ini adalah disebabkan peningkatan jangkaan daripada para pengarah oleh pengawal selia dan pemegang saham. Tafsiran ganjaran yang mencukupi adalah subjektif. MSWG akan terus menyuarakan kebimbangannya jika ia menganggap ganjaran para pengarah terlalu tinggi.

Tempoh purata perkhidmatan pengarah bebas bukan eksekutif ialah 7 tahun, iaitu masih dalam tempoh yang disyorkan MCCG 2017 iaitu 9 tahun. 48% daripada 6,292 pengarah terdiri daripada pengarah bebas bukan eksekutif.

Pengasingan peranan antara pengerusi dan ketua pegawai eksekutif adalah amalan tadbir urus yang baik kerana peranan seorang pengerusi eksekutif dilihat sebagai memberikan kuasa tanpa batasan kepada seorang individu. Melihat 85% syarikat mengasingkan peranan antara Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif adalah sangat melegakan.

Kepelbagaian dalam Lembaga Pengarah adalah ciri penting tadbir urus yang baik. Dalam konteks ini, kepelbagaian gender menawarkan perspektif berbeza untuk dipertimbangkan dalam perbincangan lembaga pengarah. 210 syarikat (24%) mempunyai sekurang-kurangnya seorang pengarah bebas wanita. 49 syarikat mempunyai dua orang atau lebih pengarah bebas wanita. Malaysia berhasrat untuk mempunyai sekurang-kurangnya 30% pengarah wanita. MSWG lebih bersetuju jika para pengarah wanita ini adalah dari kalangan pengarah bebas.

 

Salam,

Devanesan

30 Ogos 2018


PANDANGAN RINGKAS MSWG TENTANG PERKEMBANGAN KORPORAT SEMASA

 

FGV HOLDINGS BERHAD (“FGV” atau “Syarikat”)

Pada 28 Ogos 2018, FGV mengumumkan laporan suku tahunan mengenai keputusan kewangan yang disatukan bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2018.

Bagi suku kedua berakhir Jun 2018 (Q2/2018), FGV merekodkan pendapatan sebanyak RM3.44 bilion berbanding RM4.21 bilion pada suku yang sama tahun sebelumnya (Q2/2017). Keuntungan sebelum zakat dan cukai untuk Q2/2018 adalah RM1.25 juta, menyusut 98.78% daripada RM102.44 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya (Q2/2017).

Untuk suku tahun yang diulas, Sektor Perladangan mencatatkan kerugian sebanyak RM6.53 juta, menjunam daripada keuntungan RM159.88 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Pencapaian yang merosot ini antara lain disebabkan oleh menurunkan produktiviti, harga purata minyak sawit yang lebih rendah, kos pengeluaran yang lebih tinggi dan kerugian yang lebih tinggi daripada syarikat usaha sama dan syarikat bersekutu.

Melihat prestasi syarikat yang tidak menguntungkan ini, pada April 2018, Lembaga Pengarah mengarahkan pihak pengurusan untuk menubuhkan Pejabat Transformasi (TO).

TO sedang dalam proses memuktamadkan audit ke atas operasi ladang dan kilang serta proses hiliran. Penemuan awal mendedahkan isu-isu serius pada pelbagai peringkat dalam organisasi, termasuk disiplin kerja yang lemah, ketidakcekapan operasi serta ketirisan yang perlu ditangani segera.

Pada 5 Julai 2018, Lembaga Pengarah juga telah menubuhkan Jawatankuasa Lembaga Khas (SBC) dengan tiga ahli untuk menangani kelemahan operasi dalam organisasi.

Dalam pengumuman itu, dilaporkan bahawa siasatan ke atas empat daripada enam transaksi telah pun selesai. Siasatan itu mendedahkan penemuan yang tidak bagus.

Di samping itu, Lembaga juga telah menjalankan siasatan dalaman lanjut ke atas enam aspek yang melibatkan perolehan, barisan kredit dan kekurangan pekerja.

 

KOMEN MSWG

FGV telah berada di bawah perhatian pasaran ekuiti Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan isu-isu yang tidak memuaskan. Berdasarkan pengumuman keputusan suku tahun kedua Kumpulan untuk tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2018, kami kecewa apabila mendapati kelemahan operasi yang serius masih berlaku di pelbagai peringkat dalam organisasi dan ini memberi kesan kepada prestasi kewangan Syarikat.

Sejak penyenaraiannya, kami mendapati banyak jawatankuasa khas telah ditubuhkan, penggunaan perkhidmatan perunding bebas dan pelbagai transformasi dan inisiatif pertumbuhan telah diambil untuk meningkatkan kecekapan perniagaan, prestasi modal insan dan peningkatan integriti dalam syarikat. Walaupun banyak usaha dan kos telah dilaburkan untuk memperbaiki amalan, proses dan tadbir urus dalam organisasi, kelemahan operasi masih wujud dan jawatankuasa baru terus dibentuk untuk menangani isu-isu tersebut. Demi meningkatkan nilai Syarikat kepada semua pemegang kepentingan, kami berharap Syarikat mempercepatkan penyiasatan dan menangani semua kelemahan operasi yang ketara secepat mungkin.

Kami mendapati audit forensik mendedahkan penemuan yang tidak baik. Semoga syarikat mengambil tindakan yang tepat pada masanya terhadap mereka yang terlibat berhubung penemuan ini terutama jika ia melibatkan penyelewengan.


 

TINJAUAN MINGGUAN AGM MSWG UNTUK TEMPOH 3 HINGGA 7 SEPTEMBER 2018

Berikut adalah AGM/EGM syarikat-syarikat di bawah senarai pemantauan MSWG pada minggu ini.

Ringkasan perkara penting disenaraikan di bawah, manakala butiran terperinci soalan yang diajukan kepada syarikat boleh didapati di laman web MSWG di www.mswg.org.my

Tarikh & Masa

Syarikat

Lokasi

03.09.18 (Isnin)
02.30 petang

WCE Holdings Bhd 
(AGM)

Holiday Villa Hotel & Conference Centre Subang Selangor, 9 Jalan SS12/1, Subang Jaya

05.09.18 (Rabu)
02.00 petang

Karyon Industries Bhd
(AGM)

Ponderosa Golf & Country Resort Berhad, Hop Sing II, Taman Ponderosa, JB

06.09.18 (Khamis)
09.30 pagi

MTD ACPI Engineering Bhd
(AGM)

1, Jalan Batu Caves, Batu Caves, Selangor

 

Beberapa perkara penting untuk diajukan:

Syarikat

Perkara/ Isu Untuk Diajukan

WCE Holdings Bhd 
(AGM)

Keuntungan sebelum cukai Kumpulan menyusut RM42.5 juta pada tahun kewangan sebelumnya kepada RM17.4 juta. Penurunan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh penjejasan nilai bagi jumlah terhutang oleh bekas syarikat bersekutu yang sudah lama tertunggak sebanyak RM20,387,000 (halaman 127 Laporan Tahunan 2018) serta bahagian pendapatan yang lebih rendah daripada pelaburan dalam unit amanah (halaman 13 Laporan Tahunan 2018 ).

Apakah usaha yang telah diambil untuk mendapatkan semula jumlah yang terhutang oleh bekas syarikat bersekutu dan apakah perkembangan terkini?

Karyon Industries Bhd
(AGM)

Di bawah Penyata Untung atau Rugi dan Pendapatan Komprehensif Lain bagi TK2018, kami mendapati kenaikan ketara dalam pendapatan operasi lain iaitu sebanyak RM5.556 juta dalam TK2018 berbanding RM1.599 juta dalam TK2017.

  1. Apakah komponen utama dalam pendapatan operasi lain dan apakah yang menyebabkan peningkatan yang ketara ini?
  2. Apakah kebarangkalian peningkatan selanjutnya pada masa depan?

MTD ACPI Engineering Bhd
(AGM)

Kumpulan telah meraih kontrak dalam Pakej V208 KVMRT Line 2 V208 (“MRT V208”) dan berharap untuk mendapatkan kerja-kerja tambahan serta Lebuh Raya Pan-Borneo, antara yang lain (halaman 20 Laporan Tahunan 2018).

  1. Berapakah jangkaan sumbangan pakej MRT V208 ini kepada keputusan kewangan Kumpulan?
  2. Apakah status semasa buku tender Kumpulan dan berapakah nilai kontrak yang akan diberikan kepada Kumpulan di bawah buku tender sedia ada?

 


PASUKAN MSWG

Devanesan Evanson, Ketua Pegawai Eksekutif, [email protected]

Lya Rahman, Pengurus Besar, [email protected]
Rebecca Yap, Ketua, Pemantauan Korporat, [email protected]
Quah Ban Aik, Ketua, Pemantauan Korporat, [email protected]
Norhisam Sidek, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]

Hoo Ley Beng, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]

Elaine Choo, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]
Lee Chee Meng, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected] 

Abdul Halim Alias, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]

Mustaqim Yusof, Penganalisa Kanan, Khidmat Korporat, [email protected]


PENZAHIRAN KEPENTINGAN

•               Sehubungan dengan syarikat-syarikat yang dinyatakan, MSWG memegang jumlah saham yang minima di dalam syarikat-syarikat yang dinyatakan di dalam surat berita ini kecuali bagi Daiman Development Bhd.


Maklumbalas

Kami mengalu-alukan maklumbalas anda mengenai surat berita dan khidmat kami. Sila e-mel komen dan cadangan anda ke [email protected].


PENOLAKAN TUNTUTAN

Surat berita ini dan isi kandungannya berserta semua hak-hak berkaitan dengannya termasuk hak cipta dimiliki oleh Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Berhad, juga dikenali sebagai Minority Shareholders Watch Group (MSWG).

Isi kandungan dan pendapat yang dinyatakan di dalam surat berita ini adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada domain awam dan bertujuan untuk memberikan maklumat umum kepada pengguna dan adalah untuk rujukan sahaja. Usaha terbaik telah dilakukan untuk memastikan maklumat yang terkandung di dalam surat berita ini adalah tepat dan terkini pada tarikh penerbitan. Walaubagaimanapun, MSWG tidak membuat sebarang waranti nyata atau tersirat atas ketepatan atau kelengkapan maklumat dan pendapat yang terkandung di dalam surat berita ini. Tiada maklumat di dalam surat berita ini yang bertujuan atau patut dianggap sebagai syor untuk membeli atau menjual atau jemputan untuk melanggan sekuriti tertentu, pelaburan yang berkaitan atau mana-mana instrumen kewangan.

MSWG perlu diberikan perakuan bagi mana-mana bahagian surat berita ini yang diterbitkan semula.

MSWG tidak akan bertanggungjawab atau menanggung sebarang liabiliti atas kebergantungan kepada sebarang maklumat atau komen yang terkandung di dalam surat berita ini atau jika ianya diterbitkan semula oleh pihak ketiga. Semua pembaca atau pelabur dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat perundangan atau nasihat profesional yang lain sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan surat berita ini.

Language: