MSWG Weekly Newsletter 22 February 2019 (BM)

Friday, 22 February, 2019

 

22 Februari 2019

MESEJ KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF

Perbalahan antara MAHB dan Air Asia

Walaupun kita berharap isu ini dapat diselesaikan dengan baik, yang berlaku adalah sebaliknya.

Tuntutan MAHB (Malaysian Airports Holdings Berhad) terhadap Air Asia (AirAsia Group Bhd dan Air Asia X Bhd) sudah menjadi kes mahkamah iaitu yang melibatkan tunggakan cukai lapangan terbang berjumlah RM36.12 juta.

Air Asia memfailkan tuntutan balas terhadap MAHB bernilai lebih RM400 juta.

Hakikatnya, perbalahan ini sudah mencapai tahap kritikal yang melibatkan tindakan undang-undang, menunjukkan bahawa kedua-dua pihak tidak berjaya mendapatkan persetujuan bersama.

Mungkin lebih baik pihak mahkamah dilantik sebagai perantara untuk mempertimbangkan saman kedua-dua belah pihak (tuntutan dan tuntutan balas).

Syarikat melaksanakan haknya dari segi undang-undang dengan merujuk kepada mahkamah untuk membuat keputusan dan tidak semestinya memberi gambaran yang buruk kepada kedua belah pihak. Hakikatnya, tindakan mereka melibatkan mahkamah menunjukkan usaha mereka menemui jalan buntu dan mereka memerlukan perantara untuk membantu membuat keputusan berkenaan isu tersebut.

Berikut adalah beberapa kebimbangan pemegang saham minoriti:

1.      Adat berlawan, ada pemenang dan ada yang tewas dan situasi ini mungkin memberi kesan kepada harga saham kerana terdapat implikasi kewangan. Reputasi syarikat akan dipengaruhi (seterusnya memberi impak kepada harga saham dan keyakinan terhadap syarikat). Situasi ini membimbangkan pemegang saham minoriti.

2.      Tindakan undang-undang seringkali mengganggu fokus lembaga pengarah dan pengurusan yang memberi kesan terhadap prestasi, seterusnya mempengaruhi keputusan kewangan (yang berkait secara langsung dengan harga saham). Perkara ini membimbangkan pemegang saham minoriti.

3.      MAHB menegaskan PSC (Caj Perkhidmatan Penumpang) adalah kadar statut yang ditetapkan oleh kerajaan dan diterbitkan melalui gazet. PSC ditetapkan pada RM73 bagi setiap penumpang dan Air Asia hanya mengutip RM50 daripada setiap penumpang. MAHB menuntut agar Air Asia membayar perbezaan RM23 itu. Apakah akibat jika tidak mematuhi kadar yang diwartakan? Bolehkah Air Asia enggan mengutip perbezaan RM23 itu? Ini juga membimbangkan pemegang saham minoriti.

4.      Air Asia sudah pun memberi maklum balas kepada surat KWSP berhubung isu ini dan sudah bertemu KWSP. Setakat 20/2/2019, MAHB masih belum berbuat demikian. Pemegang saham minoriti berasa bimbang kerana tiada tindakan segera diambil oleh MAHB dalam memberi maklum balas terhadap surat KWSP dan/atau menghadiri pertemuan dengan KWSP.

5.      MAVCOM (Suruhanjaya Penerbangan Malaysia) sebelum ini mengambil pendekatan berdiam diri terhadap isu ini walaupun mereka boleh menjadi perantara kepada kedua-dua pihak. Situasi ini membimbangkan pemegang saham minoriti. Walau bagaimanapun, peranan MAVCOM mungkin tidak begitu penting selepas isu ini dibawa ke mahkamah.

Kita hanya berharap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana MAHB dan Air Asia merupakan pemain utama dalam ekosistem penerbangan. Syarikat-syarikat ini juga merupakan pelaburan yang popular dalam kalangan pemegang saham institusi dan minoriti. Pemegang saham juga mahukan kepastian dan lebih cepat isu ini diselesaikan, lebih bagus kerana pihak pengurusan kedua-dua syarikat dapat kembali menumpukan perhatian kepada menjalankan perniagaan mereka.


PANDANGAN RINGKAS MSWG TENTANG PERKEMBANGAN KORPORAT SEMASA

ASIA POLY HOLDINGS BERHAD (“APH” atau “Syarikat”)

Pada 15 Februari 2019, APH mengumumkan bahawa Syarikat telah membeli sekuriti tersenarai dalam D’nonce Technologies Berhad (“D’nonce”) sepanjang tempoh dari 11 Januari 2019 hingga 14 Februari 2019 dengan jumlah pertimbangan pembelian agregat melebihi 5% aset bersih Asia Poly Group yang diaudit.

Saham ini dibeli di pasaran terbuka pada harga semasa seperti yang disebutkan di Bursa pada masa pembelian dan ia dibiayai oleh pinjaman bank. Perolehan (“Perolehan”) ini dibuat dengan niat untuk mendapatkan keuntungan modal.

Perolehan tidak memberi kesan ke atas modal saham terbitan dan berbayar APH serta pemegangan saham pemegang saham utama APH. Ia juga tidak memberi apa-apa kesan material terhadap penggearan, pendapatan dan aset bersih Asia Poly Group bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Selain Dato’ Yeo Boon Leong dan Encik Lim Teck Seng, tiada Pengarah dan/atau pemegang saham utama dan/atau orang yang mempunyai kaitan dengan mereka, mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam Perolehan. Pada masa ini, Dato’ Yeo Boon Leong dan Encik Lim Teck Seng masing-masing adalah Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan D’nonce.

Lembaga tidak memberikan apa-apa pendapat tentang Perolehan yang dibuat dalam perjalanan biasa urusan perniagaan Asia Poly Group.

Komen MSWG

Seperti yang dinyatakan dalam pengumuman itu, perolehan saham D’nonce dibiayai oleh pinjaman bank. Perolehan itu tidak memberi kesan material terhadap penggearan Kumpulan. Walau bagaimanapun, Lembaga perlu menjelaskan lebih terperinci rasional untuk membiayai pelaburan bukan teras iaitu pelaburan dalam saham tersenarai dan dibiayai oleh pinjaman bank. Tidak cukup hanya dengan alasan ia dibuat untuk mendapatkan keuntungan modal. Apakah kos pinjaman untuk membiayai perolehan saham dalam D’Nonce dan apakah jangkaan pulangan daripada perolehan itu?

Pemegang saham juga tertanya-tanya sama ada perolehan itu dibuat semata-mata untuk mendapatkan keuntungan modal atau ada alasan lain disebaliknya. Ini adalah kerana Pengerusi Eksekutif dan Pengarah APH, Dato’ Yeo Boon Leong dan Encik Lim Teck Seng, masing-masing merupakan Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan D’nonce. Agak menghairankan apabila APH perlu melantik Pengerusi Eksekutif Syarikat dan seorang lagi pengarah lain ke dalam Lembaga Pengarah D’nonce (lebih-lebih lagi kerana pengarah APH yang lain itu juga adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan D’nonce) semata-mata untuk memperoleh saham D’nonce bagi mendapatkan keuntungan modal. Senario ini mengundang lebih banyak penjelasan daripada Lembaga Pengarah terutama apabila saham ini diperoleh serta merta selepas pelantikan Pengarah APH memegang jawatan penting dalam D’nonce.

Seperti yang dinyatakan dalam pengumuman APH, “Lembaga tidak memberikan apa-apa pendapat tentang Perolehan yang dibuat dalam perjalanan biasa urusan perniagaan Asia Poly Group.”. Dalam hal ini, demi ketelusan dan pendedahan yang bermakna, para pemegang saham pasti memerlukan maklumat yang lebih terperinci berbanding pernyataan ringkas yang diberikan.


TINJAUAN MINGGUAN AGM/EGM MSWG UNTUK TEMPOH 25 FEBRUARI HINGGA 1 MAC 2019

Berikut adalah AGM/EGM syarikat-syarikat di bawah senarai pemantauan MSWG pada minggu ini.

Ringkasan perkara penting disenaraikan di bawah, manakala butiran terperinci soalan yang diajukan kepada syarikat boleh didapati di laman web MSWG di www.mswg.org.my

Tarikh & Masa

Syarikat

Lokasi

27.02.19 (Rabu)

10.00 pagi

JCY International Bhd

(AGM)

Hotel Grand Paragon, 18 Jalan Harimau, Taman Century, JB

 

Salah satu perkara penting untuk diajukan:

Syarikat

Perkara/ Isu Untuk Diajukan

JCY International Bhd

 (AGM)

  1. Seperti yang dinyatakan di halaman 7 Laporan Tahunan 2018 (AR2018), Syarikat mencatatkan perolehan yang lebih rendah iaitu RM1.39 bilion pada tahun kewangan berakhir 30 September 2018 (TK2018) sebahagian besarnya disebabkan oleh kadar pertukaran yang tidak memberangsangkan selain jumlah penghantaran yang lebih rendah dalam TK2018.

            Memandangkan jumlah penghantaran pemacu cakera keras (HDD) dijangka berkurangan secara beransur-ansur pada masa hadapan, bagaimanakah prestasi pendapatan Syarikat dalam tempoh terdekat?

  1. Seperti yang dinyatakan di halaman 9 AR2018, Syarikat memperluaskan perniagaan bagi meningkatkan bahagian pasaran selain menawarkan kepelbagaian produk kepada lebih ramai pelanggan bagi memastikan kemampanan perniagaan dalam jangka panjang. Syarikat juga akan mempelbagaikan perniagaan dalam industri berkaitan dan industri baharu. 
  1. Apakah keputusan yang dicapai daripada strategi pengembangan yang diamalkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini?
  2. Apakah bidang baharu yang akan diceburi Syarikat?
  1. Seperti yang dinyatakan di halaman 78 Laporan Tahunan 2018, perbelanjaan lain berkaitan kakitangan meningkat kepada RM22.06 juta daripada RM2.04 juta dalam TK2017. Apakah yang menyebabkan peningkatan 9.8 kali dalam perbelanjaan ini?

PASUKAN MSWG

Devanesan Evanson, Ketua Pegawai Eksekutif, [email protected]

Lya Rahman, Pengurus Besar, [email protected]
Rebecca Yap, Ketua, Pemantauan Korporat, [email protected]
Quah Ban Aik, Ketua, Pemantauan Korporat, [email protected]
Norhisam Sidek, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]
Hoo Ley Beng, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]
Lee Chee Meng, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected] 

Lim Cian Yai, Penganalisa Kanan, Pemantauan Korporat, [email protected]


PENZAHIRAN KEPENTINGAN

•           Sehubungan dengan syarikat-syarikat yang dinyatakan, MSWG memegang jumlah saham yang minima di dalam syarikat-syarikat yang dinyatakan di dalam surat berita ini, kecuali bagi Asia Poly Holdings Bhd, Asia Brands Berhad & Daya Materials Berhad.


Maklumbalas

Kami mengalu-alukan maklumbalas anda mengenai surat berita dan khidmat kami. Sila e-mel komen dan cadangan anda ke [email protected].


PENOLAKAN TUNTUTAN

Surat berita ini dan isi kandungannya berserta semua hak-hak berkaitan dengannya termasuk hak cipta dimiliki oleh Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Berhad, juga dikenali sebagai Minority Shareholders Watch Group (MSWG).

Isi kandungan dan pendapat yang dinyatakan di dalam surat berita ini adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada domain awam dan bertujuan untuk memberikan maklumat umum kepada pengguna dan adalah untuk rujukan sahaja. Usaha terbaik telah dilakukan untuk memastikan maklumat yang terkandung di dalam surat berita ini adalah tepat dan terkini pada tarikh penerbitan. Walaubagaimanapun, MSWG tidak membuat sebarang waranti nyata atau tersirat atas ketepatan atau kelengkapan maklumat dan pendapat yang terkandung di dalam surat berita ini. Tiada maklumat di dalam surat berita ini yang bertujuan atau patut dianggap sebagai syor untuk membeli atau menjual atau jemputan untuk melanggan sekuriti tertentu, pelaburan yang berkaitan atau mana-mana instrumen kewangan.

MSWG perlu diberikan perakuan bagi mana-mana bahagian surat berita ini yang diterbitkan semula.

MSWG tidak akan bertanggungjawab atau menanggung sebarang liabiliti atas kebergantungan kepada sebarang maklumat atau komen yang terkandung di dalam surat berita ini atau jika ianya diterbitkan semula oleh pihak ketiga. Semua pembaca atau pelabur dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat perundangan atau nasihat profesional yang lain sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan surat berita ini.

Language: