MSWG Weekly Newsletter 17 August 2018 (BM)

Friday, 17 August, 2018

17.08.2018

MESEJ KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF

Keperluan Penyenaraian (“LR”) SGX telah dipinda untuk menjelaskan jangkaan di bawah rejim ‘patuh atau jelaskan’. Rejim Malaysia pula adalah rejim ‘aplikasi atau jelaskan’, maka terdapat nuansa berbeza apabila menjelaskan perkataan ‘patuh’ dan ‘aplikasi’.

Pindaan kepada LR SGX ini agak menarik apabila dibandingkan dengan Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia. Kami akan mengkaji empat daripadanya:

  1. Pendedahan sebab-sebab Syarikat tidak membayar dividen

Syarikat dikehendaki mendedahkan sebab jika pengarah memutuskan untuk tidak mengisytiharkan atau mengesyorkan dividen. Pemegang saham minoriti sering menantikan dividen. Namun, ada kalanya pengisytiharan dividen mungkin tidak berpihak kepada kepentingan syarikat.

Contohnya ialah apabila syarikat mungkin gagal dalam ujian kesolvenan (jika mengisytiharkan dividen) di bawah Akta Syarikat 2016.

Satu lagi contoh ialah apabila syarikat memerlukan dana. Dalam hal ini, mungkin lebih murah untuk melaburkan semula dana ke dalam syarikat daripada membayar dividen dan membuat pinjaman pada kos yang lebih tinggi. Syarikat berharap dapat memberi ganjaran kepada pemegang saham dengan kenaikan harga saham dan bukannya dividen jika semuanya berjalan lancar.

Persoalan popular dalam AGM di Malaysia ialah “Mengapa tiada dividen?”.

Keperluan SGX membantutkan soalan popular ini dengan meletakkan tanggungjawab kepada Lembaga Pengarah untuk mendedahkan jawapannya.

  1. Pelantikan pengarah bebas (“PB”)

LR SGX yang disemak semula tentang syarat pelantikan PB adalah lebih ketat.

Selepas sembilan tahun, pelantikan PB tertakluk pada pengundian dua peringkat. Dua peringkat yang dinyatakan dalam LR SGX adalah majoriti (i) kesemua pemegang saham; dan (ii) kesemua pemegang saham kecuali pemegang saham yang memegang jawatan sebagai pengarah atau CEO (dan sekutu mereka).

Definisi dua peringkat ini berbeza daripada definisi Bursa Malaysia. 

Resolusi untuk meluluskan pelantikan semula PB selepas sembilan tahun mungkin terus berkuat kuasa sehingga persaraan atau peletakan jawatan pengarah atau selepas tamat mesyuarat agung tahunan ketiga syarikat selepas resolusi dilaksanakan.

LR SGX yang lebih ketat mengenai tempoh sembilan tahun ini berbanding Keperluan Penyenaraian mereka menarik perhatian kami.

Mesej mereka jelas. Tempoh yang panjang menjejaskan kebebasan pengarah. Pengawal selia di Malaysia dan Singapura memilih sembilan tahun dan dua belas tahun sebagai penanda utama dalam proses ini.

  1. Kawalan dalaman dan pengurusan risiko

LR SGX yang disemak semula memerlukan lembaga untuk mengulas tentang kecukupan dan keberkesanan kawalan dalaman syarikat (termasuk kawalan kewangan, operasi, pematuhan dan teknologi maklumat) serta sistem pengurusan risiko.

Jika mereka mengenal pasti kelemahan material, perkara ini perlu didedahkan dalam laporan tahunan berserta langkah-langkah yang diambil untuk menanganinya.

  1. Audit dalaman

Kini terdapat keperluan kepada syarikat untuk mewujudkan fungsi audit dalaman yang efektif, disenggara secara berterusan, mempunyai sumber yang mencukupi serta bebas daripada aktiviti yang diaudit. Bursa Malaysia sudah pun menetapkan keperluan ini di bawah LR sejak beberapa tahun.

Audit dalaman dianggap sebagai asas keempat tadbir urus korporat selepas lembaga pengarah, pengurusan dan audit luaran.

Di atas merupakan beberapa perubahan mutakhir kepada LR SGX. Bursa saham serantau akan mengkaji dengan teliti bagaimana LR SGX mengubah landskap pengawalseliaan. Mereka akan menyaring dan mengadaptasi syarat yang difikirkan layak dimasukkan ke dalam Keperluan Penyenaraian masing-masing.

Terlalu banyak peraturan boleh mengakibatkan risiko pergeseran terutama dari segi kos. Cabarannya ialah untuk mempunyai peraturan yang cukup, tidak lebih dan tidak kurang.

 

Salam,

Devanesan

17 Ogos 2018


PANDANGAN RINGKAS MSWG TENTANG PERKEMBANGAN KORPORAT SEMASA

Apex Equity Holdings Berhad

Permohonan Mahkamah menurut Seksyen 582 (3) Akta Syarikat 2016 dan/atau Seksyen 355 (3) Akta Syarikat 1965 untuk mengesahkan pelaksanaan belian balik saham yang telah dilakukan oleh Apex Equity Holdings Berhad.

Lembaga Pengarah (“Pengarah”) Apex Equity Holdings Berhad (“Syarikat”) ingin mengumumkan Syarikat telah memfailkan permohonan mahkamah menurut Seksyen 582 (3) Akta Syarikat 2016 dan/atau Seksyen 355 (3) Akta Syarikat 1965 ke Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur pada 30 Julai 2018 dan telah mengeluarkan salinan saman asalnya pada 31 Julai 2018.

Permohonan ini difailkan untuk mendapatkan perintah pengesahan daripada mahkamah bagi memastikan keteraturan pelaksanaan belian balik saham yang dilakukan oleh Syarikat antara 2005 dan 2017. Status kesahihan belian balik saham ini dipersoalkan kerana Memorandum dan Tataurusan Syarikat tidak memberikan kuasa yang diperlukan kepada Pihak Syarikat untuk melakukan belian balik saham ini.

KOMEN MSWG:

Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan perlu bertanggungjawab terhadap ketidakpatuhan dan pelanggaran Seksyen 127 Akta Syarikat 2016 berkaitan pembelian balik saham dan penasihat yang diambil kerana gagal berusaha dengan berhati-hati serta mengikut standard profesional seperti yang diharapkan.

MSWG sentiasa menganjurkan bahawa Memorandum dan Tataurusan Syarikat atau menurut Akta Syarikat 2016 yang baharu, “Perlembagaan” perlu diterbitkan untuk meningkatkan amalan CG dan pendedahan standard bagi semua pemegang saham. Meskipun keperluan ini tidak diwajibkan di bawah undang-undang dan garis panduan, kami melihat lebih banyak syarikat telah mengambil langkah untuk menerbitkan “Perlembagaan” mereka dan ini adalah suatu peningkatan positif.

[Sumber: Pengumuman Apex Equity Holdings Bhd di laman web Bursa Malaysia pada 1 Ogos 2018]

 

Supermax Corporation Berhad (“Supermax”)

Supermax mengeluarkan kenyataan berhubung Datin Seri Tan Bee Geok, Pengarah Eksekutif Kumpulan Supermax Corporation Berhad (“Supermax” atau “Syarikat”) yang disabitkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di atas kesalahan perdagangan orang dalam yang melibatkan saham APL Industries di bawah Seksyen 188 Akta Perkhidmatan dan Pasaran Modal 2007. Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan sementara menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman.

Syarikat ingin memaklumkan kepada orang ramai tentang pelan penggantiannya dan perniagaan berjalan seperti biasa di Supermax. Pasukan Pengurusannya komited untuk menghasilkan keuntungan dan prestasi perniagaan yang baik selaras dengan kepentingan Syarikat dan para pemegang sahamnya.  

KOMEN MSWG:

MSWG berasa sukacita melihat Syarikat mempunyai pelan penggantian untuk memastikan perniagaan di Supermax berjalan seperti biasa. Kami berharap sesiapa juga yang memegang peranan baharu itu mempunyai pengalaman, kelayakan dan pengetahuan dalam memastikan Supermax terus maju kerana di bawah Datin Seri Tan Bee Geok dan Dato Seri Thai Sim, syarikat berjaya mencatatkan keuntungan dan dividen yang konsisten kepada pemegang saham sejak penyenaraiannya di Bursa Malaysia Securities Berhad pada 2001.

[Sumber: Pengumuman Supermax Corporation Bhd di laman web Bursa Malaysia pada 9 Ogos 2018]

 

PERAK CORPORATION BERHAD (“PCB”)

Penjelasan

Merujuk Surat Berita MSWG minggu lepas yang menyebut “RM15.735 juta yang akan dihapuskira dalam tahun kewangan semasa akan menjejaskan lagi kedudukan kewangan Kumpulan”, kami ingin menegaskan RM15.735 juta yang akan dihapus kira adalah berkaitan inventori tertentu dan anggaran kos kemajuan untuk membangunkan tarikan DreamWorks. Nilai dibawa berjumlah RM17.461 juta yang berkaitan hak harta intelek yang diperolehi di bawah Perjanjian Lesen yang diklasifikasikan sebagai aset tak ketara juga akan dihapus kira. Oleh itu, jumlah yang akan dihapus kira oleh Syarikat dalam tahun kewangan semasa ialah RM33.196 juta.


TINJAUAN MINGGUAN AGM MSWG UNTUK TEMPOH 20 HINGGA 24 OGOS 2018

Berikut adalah AGM/EGM syarikat-syarikat di bawah senarai pemantauan MSWG pada minggu ini.

Ringkasan perkara penting disenaraikan di bawah, manakala butiran terperinci soalan yang diajukan kepada syarikat boleh didapati di laman web MSWG di www.mswg.org.my

Tarikh & Masa

Syarikat

Lokasi

21.08.18 (Selasa)
10.00 pagi

Eastern & Oriental Bhd
(AGM)

Pusat Konvensyen Sime Darby, No. 1A, Jalan Bukit Kiara 1

24.08.18 (Jumaat)
09.30 pagi

Hartalega Holdings Bhd
(AGM)

Pusat Konvensyen Sime Darby, No. 1A, Jalan Bukit Kiara 1

24.08.18 (Jumaat)
10.30 pagi

Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd
(AGM)

IDEAL Convention Centre Sdn Bhd, Corporate Tower, Jalan Pahat L15/L, Shah Alam

24.08.18 (Jumaat)
11.00 pagi

United Malacca Bhd
(AGM)

Bangunan United Malacca Berhad, Jalan Melaka Raya 8, Taman Melaka Raya

 

Beberapa perkara penting untuk diajukan:

Syarikat

Perkara/ Isu Untuk Diajukan

Eastern & Oriental Bhd
(AGM)

Sila berikan maklumat mutakhir berkaitan projek tebus guna tanah Seri Tanjung Pinang Fasa 2A seperti berikut:

(a)     Jangkaan kos tebus guna tanah;

(b)     Tarikh dijangka siap untuk kerja-kerja tebus guna tanah; dan

(c)      Anggaran Nilai Pembangunan Kasar (“GDV”) yang diperoleh daripada projek tebus guna itu.

Hartalega Holdings Bhd

(AGM)

 

 

Ulasan Pengerusi dan MD & A melaporkan pada halaman 29, dasar alam sekitar yang lebih ketat oleh kerajaan China memberi kesan terhadap pengeluaran sarung tangan vinil di negara itu. Oleh itu, defisit bekalan dari China terus menguntungkan pengeluar sarung tangan Malaysia.

  1. Adakah dasar ini hanya mempengaruhi pengeluaran sarung tangan vinil dan bukan jenis sarung tangan yang lain?
  1. Jelaskan secara ringkas sejauh mana kesan/ manfaat ini dan berapa lama ia dijangka bertahan?

Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd
(AGM)

1.       Halaman 4 dalam Laporan Tahunan ada menyatakan terdapat rancangan untuk membina sebuah bangunan baharu di Loji Perkilangan Shah Alam II.

(a)     Bolehkah Lembaga anggarkan kos yang diperlukan untuk pengembangan ini?

(b)     Apakah perancangan untuk bangunan di Loji Perkilangan Shah Alam II ini?

2.       Kami perhatikan pada halaman 8 Laporan Tahunan, Syarikat sedang cuba mengurangkan penggunaan pekerja asing pada masa akan datang dengan melaksanakan automasi dan separa automasi peralatan menggunakan Teknologi Robotik.

Bolehkah Lembaga berikan anggaran kos, kelebihan operasi dan jangka masa tentatif untuk pelaksanaan ini?

United Malacca Bhd
(AGM)

Pada 17 Oktober 2017, Syarikat mengumumkan ia telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat (“CSPA”) untuk cadangan pengambilalihan kepentingan ekuiti efektif 60% dalam PT Wana Rinding Lestari (“WRL”).

(a)     Laporan tahunan Syarikat bagi TK2017 melaporkan, Syarikat pada 29 Oktober 2016 telah menandatangani Memorandum Persefahaman (“MOU”) bagi tujuan yang sama dan selepas MOU dimeterai, Syarikat berhak menjalankan ketekunan wajar ke atas WRL.

Sudahkah Syarikat menyelesaikan pelaksanaan ketekunan wajar ke atas WRL? Adakah terdapat sebarang penemuan yang perlu diketengahkan kepada Lembaga Pengarah dan Pengurusan Syarikat?

(b)     Kami mendapati tarikh akhir CSPA telah dilanjutkan beberapa kali dari 1 Januari 2018 hingga 15 Ogos 2018 bagi memenuhi beberapa prasyarat tertentu dalam CSPA.

Adakah terdapat prasyarat tertentu yang masih belum dipenuhi dan adakah tarikhnya dijangka akan dilanjutkan sehingga selepas 15 Ogos 2018?

(c)      Seperti yang dilaporkan dalam Nota 42 kepada Penyata Kewangan, pelaksanaan ketekunan wajar undang-undang yang dilakukan ke atas Clifton mendapati ada pinjaman berjumlah USD425,000 diberikan oleh Dalvery kepada Clifton selepas tarikh CSPA tanpa pengetahuan UMB.

Walaupun isu ini sudah dibetulkan, apakah hak UMB di bawah CSPA sekiranya ada maklumat penting yang tidak dimasukkan atau sengaja tidak didedahkan oleh vendor atau mana-mana pihak dalam perjanjian itu?


PASUKAN MSWG

Devanesan Evanson, Ketua Pegawai Eksekutif, [email protected]

Lya Rahman, Pengurus Besar, [email protected]
Rebecca Yap, Ketua, Pemantauan Korporat, [email protected]
Quah Ban Aik, Ketua, Pemantauan Korporat, [email protected]
Norhisam Sidek, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]

Hoo Ley Beng, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]

Elaine Choo, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]
Lee Chee Meng, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected] 

Abdul Halim Alias, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]

Mustaqim Yusof, Penganalisa Kanan, Khidmat Korporat, [email protected]


PENZAHIRAN KEPENTINGAN  

•               Sehubungan dengan syarikat-syarikat yang dinyatakan, MSWG memegang jumlah saham yang minima di dalam syarikat-syarikat yang dinyatakan di dalam surat berita ini kecuali bagi Apex Equity Holdings Bhd dan Pasdec Holdings Berhad.


Maklumbalas

Kami mengalu-alukan maklumbalas anda mengenai surat berita dan khidmat kami. Sila e-mel komen dan cadangan anda ke [email protected].


PENOLAKAN TUNTUTAN

Surat berita ini dan isi kandungannya berserta semua hak-hak berkaitan dengannya termasuk hak cipta dimiliki oleh Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Berhad, juga dikenali sebagai Minority Shareholders Watch Group (MSWG).

Isi kandungan dan pendapat yang dinyatakan di dalam surat berita ini adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada domain awam dan bertujuan untuk memberikan maklumat umum kepada pengguna dan adalah untuk rujukan sahaja. Usaha terbaik telah dilakukan untuk memastikan maklumat yang terkandung di dalam surat berita ini adalah tepat dan terkini pada tarikh penerbitan. Walaubagaimanapun, MSWG tidak membuat sebarang waranti nyata atau tersirat atas ketepatan atau kelengkapan maklumat dan pendapat yang terkandung di dalam surat berita ini. Tiada maklumat di dalam surat berita ini yang bertujuan atau patut dianggap sebagai syor untuk membeli atau menjual atau jemputan untuk melanggan sekuriti tertentu, pelaburan yang berkaitan atau mana-mana instrumen kewangan.

MSWG perlu diberikan perakuan bagi mana-mana bahagian surat berita ini yang diterbitkan semula.

MSWG tidak akan bertanggungjawab atau menanggung sebarang liabiliti atas kebergantungan kepada sebarang maklumat atau komen yang terkandung di dalam surat berita ini atau jika ianya diterbitkan semula oleh pihak ketiga. Semua pembaca atau pelabur dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat perundangan atau nasihat profesional yang lain sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan surat berita ini.

Language: