MSWG Weekly Newsletter 14 December 2018 (BM)

Friday, 14 December, 2018

14.12.2018

MESEJ KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF

CG Watch – Malaysia melonjak tiga anak tangga ke tempat ke-4 dari tempat ke-7

Pada 5 Disember 2018, Persatuan Tadbir Urus Korporat Asia (ACGA) menerbitkan Laporan CG Watch 2018. Laporan ini, antara lain, melaporkan tentang Ketelusan, Kebertanggungjawapan dan Keadilan pasaran modal negara-negara di bawah liputan mereka.

Malaysia menduduki tempat ke-4 dalam senarai 12 negara, berbanding tempat ke-7 dalam CG Watch 2016 yang diterbitkan pada September 2016. Mendahului Malaysia di tempat pertama hingga ketiga ialah Australia, Hong Kong dan Singapura. Australia memperoleh 71% (dalam ranking). Hong Kong, Singapura dan Malaysia masing-masing mendapat 60%, 59% dan 58%. Ini bermakna hanya 2% memisahkan Malaysia daripada menduduki tempat kedua. Jika kita melakukan perkara yang betul (dan meninggalkan perkara yang salah), kita pasti dapat memperbaiki kedudukan kita dalam tempoh dua tahun iaitu apabila laporan CG Watch seterusnya diterbitkan.

Sekadar menambah perspektif dan kedalaman kepada ranking, negara yang menduduki tempat ke-12 iaitu Indonesia, memperoleh 34%.

Pada 2018, MSWG telah ditemuramah oleh pihak ACGA berkenaan senario tadbir urus korporat (CG) dalam pasaran modal Malaysia termasuk kepentingan peranan MSWG sebagai salah satu pemain utama yang relevan dalam ekosistem pasaran modal. Penghargaan terhadap usaha MSWG ini ditunjukkan dalam Laporan CG Watch 2018, yang memetik nama MSWG dalam Ringkasan Eksekutif dan laporan yang lebih terperinci tentang Malaysia.

Di bawah bahagian Tema Pasaran dalam Laporan (untuk Malaysia), dinyatakan bahawa “Sebuah Jawatankuasa Pelabur Institusi baharu dibentuk dengan Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG) – yang pertama seumpamanya di rantau ini.” MSWG sememangnya perintis, baik dari segi struktur mahupun operasi, yang menggalakkan aktivisme pemegang saham minoriti serta menyokong tadbir urus korporat yang baik dalam kalangan syarikat tersenarai awam.

Di bawah laporan negara untuk Malaysia, terdapat naratif berikut:

“MSWG sebagai perintis penyokong tadbir urus tempatan”

“Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG) memainkan peranan tersendiri sebagai pengawas tadbir urus dalam komuniti pelabur di Malaysia. MSWG sebahagian besarnya dibiayai oleh Dana Pembangunan Pasaran Modal, sebuah agensi kerajaan. Ia membuat penyelidikan dan analisis ke atas syarikat-syarikat di Malaysia, termasuk penilaian dalam negara bagi Kad Skor CG ASEAN. MSWG mengusulkan soalan kepada syarikat-syarikat sebelum AGM mereka diadakan dan sering membentangkannya dalam mesyuarat. Badan ini juga bertindak sebagai sekretariat IIC.

Dari perspektif serantau, MSWG memainkan peranan yang luar biasa dalam keluasan dan kedalamannya membuat analisis syarikat, advokasi bagi pihak pemegang saham runcit serta bekerjasama dengan pelabur institusi. Surat berita MSWG memberikan ringkasan bermanfaat tentang peristiwa yang berlaku dalam pasaran. Ia juga tegas dalam memudahkan penerimagunaan Kod Pelabur Institusi Malaysia. Tiada organisasi lain seumpama ini, walaupun Perkhidmatan Tadbir Urus Korporat Korea melaksanakan beberapa fungsi yang serupa. Sayang sekali MSWG tidak mendapat pembiayaan sepenuhnya oleh pelabur domestik.”

MSWG menghargai pengiktirafan ke atas kerja-kerja yang telah kami lakukan selama ini dan amat berterima kasih kepada Dana Pembangunan Pasaran Modal yang terus membiayai aktiviti kami.

Kami di MSWG percaya bahawa kami mempunyai cara tersendiri untuk menyumbang kepada peningkatan kedudukan Malaysia dari tempat ke-7 ke tempat ke-4 dalam Laporan CG Watch 2018.

Penambahbaikan dan pengiktirafan ini akan mendorong kami untuk mencapai tahap yang lebih tinggi dalam menggalakkan amalan tadbir urus korporat yang baik demi pasaran modal yang lebih berdaya saing.


TINJAUAN MINGGUAN AGM MSWG UNTUK TEMPOH 17 HINGGA 21 DISEMBER 2018

Berikut adalah AGM/EGM syarikat-syarikat di bawah senarai pemantauan MSWG pada minggu ini.

Ringkasan perkara penting disenaraikan di bawah, manakala butiran terperinci soalan yang diajukan kepada syarikat boleh didapati di laman web MSWG di www.mswg.org.my

Tarikh & Masa

Syarikat

Lokasi

17.12.18 (Isnin)
10.00 pagi

Hiap Teck Venture Bhd
(AGM)

Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam, Seksyen U13, Shah Alam

20.12.18 (Khamis)
11.00 pagi

Greenyield Bhd 
(AGM)

Hotel Bangi-Putrajaya, Off Persiaran Bandar, Bandar Baru Bangi

 

Salah satu perkara penting untuk diajukan:

Syarikat

Perkara/ Isu Untuk Diajukan

Hiap Teck Venture Bhd
(AGM)

Seperti yang dinyatakan dalam Perbincangan & Analisis Pengurusan (“MDA”) di halaman 12 dan halaman 100 laporan segmen Laporan Tahunan 2018:-

Segmen pengilangan merekodkan pendapatan berjumlah RM598.35 juta pada 2018 (2017: RM573.47 juta). Walaupun pendapatan lebih tinggi dicatatkan pada 2018, keuntungan segmen menurun kepada RM55.23 juta (2017: RM102.99 juta).

Keuntungan segmen perdagangan juga merosot kepada RM20.9 juta, berbanding RM29.2 juta pada tahun lepas.

Apakah yang menyebabkan penurunan dalam keuntungan segmen? Apakah langkah yang diambil untuk mengatasi penurunan itu?

Greenyield Bhd 
(AGM)

Seperti yang dinyatakan di halaman 7 Laporan Tahunan 2018, jumlah pinjaman dan nisbah penggearan Kumpulan telah meningkat sejak lima tahun yang lalu. Pada masa yang sama, tunai dan kesetaraan tunai Kumpulan menyusut daripada RM8.86 juta pada tahun lepas kepada RM5.6 juta. Apakah yang menyebabkan peningkatan dalam pinjaman dan peningkatan penggunaan tunai dan kesetaraan tunai?


PASUKAN MSWG

Devanesan Evanson, Ketua Pegawai Eksekutif, [email protected]

Lya Rahman, Pengurus Besar, [email protected]
Rebecca Yap, Ketua, Pemantauan Korporat, [email protected]
Quah Ban Aik, Ketua, Pemantauan Korporat, [email protected]
Norhisam Sidek, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]
Hoo Ley Beng, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]
Lee Chee Meng, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected] 

Lim Cian Yai, Penganalisa Kanan, Pemantauan Korporat, [email protected]


PENZAHIRAN KEPENTINGAN

•        Sehubungan dengan syarikat-syarikat yang dinyatakan, MSWG memegang jumlah saham yang minima di dalam syarikat-syarikat yang dinyatakan di dalam surat berita ini.


Maklumbalas

Kami mengalu-alukan maklumbalas anda mengenai surat berita dan khidmat kami. Sila e-mel komen dan cadangan anda ke [email protected].


PENOLAKAN TUNTUTAN

Surat berita ini dan isi kandungannya berserta semua hak-hak berkaitan dengannya termasuk hak cipta dimiliki oleh Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Berhad, juga dikenali sebagai Minority Shareholders Watch Group (MSWG).

Isi kandungan dan pendapat yang dinyatakan di dalam surat berita ini adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada domain awam dan bertujuan untuk memberikan maklumat umum kepada pengguna dan adalah untuk rujukan sahaja. Usaha terbaik telah dilakukan untuk memastikan maklumat yang terkandung di dalam surat berita ini adalah tepat dan terkini pada tarikh penerbitan. Walaubagaimanapun, MSWG tidak membuat sebarang waranti nyata atau tersirat atas ketepatan atau kelengkapan maklumat dan pendapat yang terkandung di dalam surat berita ini. Tiada maklumat di dalam surat berita ini yang bertujuan atau patut dianggap sebagai syor untuk membeli atau menjual atau jemputan untuk melanggan sekuriti tertentu, pelaburan yang berkaitan atau mana-mana instrumen kewangan.

MSWG perlu diberikan perakuan bagi mana-mana bahagian surat berita ini yang diterbitkan semula.

MSWG tidak akan bertanggungjawab atau menanggung sebarang liabiliti atas kebergantungan kepada sebarang maklumat atau komen yang terkandung di dalam surat berita ini atau jika ianya diterbitkan semula oleh pihak ketiga. Semua pembaca atau pelabur dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat perundangan atau nasihat profesional yang lain sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan surat berita ini.

 

Language: