MSWG Weekly Newsletter 10 September 2021 (BM)

Friday, 10 September, 2021

10.09.2021

 

Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti kini di Twitter. Inilah langkah pertama kami untuk mewujudkan kehadiran yang lebih menonjol di media sosial serta berinteraksi dengan pihak berkepentingan kami secara lebih berkesan. Ikuti akaun Twitter MSWG di @MSWGMalaysia dan kongsikan pendapat anda tentang ciapan kami dari semasa ke semasa.

 

Penipuan pelaburan datang dalam pelbagai bentuk, saiz dan nama yang serupa

 

Pada 4 September, Suruhanjaya Sekuriti (SC) memberi amaran kepada para pelabur mengenai kewujudan Top Gloves Investment, sebuah entiti klon berpotensi berkaitan syarikat awam tersenarai yang sah iaitu Top Glove Corporation Bhd (Top Glove Corp) yang merupakan pengeluar sarung tangan terbesar di dunia.

 

SC selaku pengawal selia pasaran modal mendapati bahawa Top Gloves Investment adalah kemungkinan klon yang mengendalikan skim pelaburan haram yang “menjalankan aktiviti pengurusan dana yang dikawal selia tanpa lesen” yang mana ia memberikan gambaran yang salah terhadap SC serta menyalahgunakan nama SC.

Top Gloves Investment selanjutnya mendakwa di laman sesawangnya bahawa ia beroperasi di bawah Top Glove Sdn Bhd yang dilihat sebagai kemungkinan klon kepada entiti sah unit operasi Top Glove Corp yang mempunyai nama serupa.

Dalam hal ini, Top Gloves Investment mendakwa bahawa klon berpotensi iaitu Top Glove Sdn Bhd telah diberikan lesen oleh SC sebagai sebuah syarikat pengurusan pelaburan digital.

Walau bagaimanapun, Top Glove Corp menegaskan di laman sesawangnya bahawa unit operasinya yang sah iaitu Top Glove Sdn Bhd tidak mempunyai sebarang program pelaburan atau platform perdagangan untuk pelaburan.

Tambahan pula, Top Glove Corp menyatakan bahawa entiti sahnya iaitu Top Glove Sdn Bhd tidak melantik atau memberi kuasa kepada mana-mana ejen atau wakil di Malaysia atau di luar negara untuk mengurus pertanyaan baharu yang berkaitan pembelian sarung tangan daripada pengeluar sarung tangan getah tersebut berikutan permintaan mendadak terhadap sarung tangan yang disebabkan oleh penularan wabak COVID-19.

“Semua penjualan eksport sarung tangan kami dikendalikan secara langsung oleh kakitangan jabatan jualan dan pemasaran Top Glove (Corp) di Malaysia,” tambah Top Glove Corp di laman sesawangnya.

Pada bulan Jun yang lalu, Berjaya Corporation Berhad (Berjaya Corp) juga menggesa orang ramai supaya berwaspada terhadap penipuan dan menegaskan bahawa ia tiada kaitan dengan sebuah entiti dengan menggunakan nama palsu, Berjaya Investment Bhd, yang mendakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan itu.

Menurut Berjaya Corp, penipuan itu melibatkan pengumpanan kepada pelaburan perniagaan atau usaha niaga perniagaan. Mereka telah melaporkan penipuan ini kepada pihak berkuasa yang berkaitan supaya tindakan selanjutnya dapat diambil.

Sehubungan itu, Berjaya Corp menafikan sebarang penglibatan atau kaitan dengan laman sesawang “Berjaya Investment” dan “bfcap” yang menggunakan nama “Berjaya Financial Corporation”, “Tan Sri Chong” dan “Keith Hunt”.

 

Menghindari sifat tamak

Pendedahan di atas memaparkan realiti sebenar iaitu para pelabur perlu berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa penipuan pelaburan.

Hakikatnya, banyak penipuan hari ini, terutama yang dilakukan dalam talian, hanyalah modus operandi lama yang diberi ‘nafas baharu’, yang diubah suai untuk memperdaya pelabur di luar talian selama bertahun-tahun lamanya. Kini mediumnya sahaja yang berubah iaitu daripada dunia fizikal kepada alam maya.

Dalam saat-saat sukar begini, banyak pihak yang licik dan tidak bertanggungjawab yang menunggu masa untuk memperdaya individu seperti pemegang saham minoriti dan orang awam. Sang penipu mengambil kesempatan terhadap sifat tamak haloba, perasaan bimbang dan kesukaran hidup yang berpunca daripada krisis besar seperti penularan wabak COVID-19 untuk memancing mangsa yang mudah terpengaruh dan tidak berwaspada.

Taktik yang digunakan oleh penipu kini semakin canggih, seiring dengan kemunculan teknologi baharu. Banyak skim yang mereka tawarkan berselindung di sebalik pelbagai jenis peluang perniagaan seperti skim pelaburan untuk pelbagai produk atau perkhidmatan.

Oleh yang demikian, masyarakat digalakkan supaya lebih berwaspada apabila membuat sebarang keputusan pelaburan, dan yang paling penting, tidak membiarkan sifat tamak dan haloba menguasai diri apabila membuat keputusan berkaitan pelaburan.

 

Melindungi Diri Sendiri

Dari tahun 2017 sehingga 20 Jun tahun ini, statistik polis menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mengalami kerugian berjumlah kira-kira RM2.23 bilion disebabkan penipuan jenayah siber manakala sejumlah 67,552 kes jenayah siber dilaporkan dalam tempoh tersebut (New Straits Times, 16 Julai 2021).

Daripada jumlah ini, penipuan e-dagang menduduki tangga teratas dengan 23,011 kes, diikuti dengan pinjaman haram (21,008 kes) dan penipuan pelaburan (6,273 kes).

Bagi membendung dan menghapuskan jenayah ini, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) dan Facebook Malaysia, dengan kerjasama agensi kerajaan, pemain industri dan persatuan pengguna telah bersama-sama melancarkan kempen kesedaran #TakNakScam di seluruh negara.

Untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan, SC menggesa para pelabur supaya sentiasa berhati-hati apabila ditawarkan skim pelaburan. Berikut adalah beberapa cadangan langkah pencegahan:

  1. Semak senarai peringatan pelabur SC sebelum melabur.
  2. Sentiasa berurusan dengan syarikat atau individu yang sah. Semak daftar pemegang lesen dan senarai pengendali pasaran berdaftar daripada SC.
  3. Berwaspada dengan pelaburan yang ditawarkan melalui platform media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Telegram dll.
  4. Jangan sekali-kali memasukkan wang anda ke dalam akaun bank peribadi.
  5. Pembayaran hanya boleh dibuat kepada akaun bank rasmi syarikat yang disahkan oleh pihak berkuasa.
  6. Semak portal “Semak Mule” oleh Polis Diraja Malaysia untuk mengesahkan sama ada akaun bank dan nombor telefon berkenaan pernah dilaporkan kepada polis sebelum ini.
  7. Tanyakan soalan dan minta maklumat penting - penipu menganggap kebanyakan orang tidak meminta maklumat yang tepat sebelum mereka membuat keputusan pelaburan. Pastikan anda mengetahui identiti orang yang berurusan dengan anda, individu di belakang syarikat tersebut dan memahami produk dan perkhidmatannya sebelum melabur.
  8. Usah rasa tertekan atau terburu-buru apabila membuat keputusan pelaburan. Luangkan masa secukupnya untuk membuat penyelidikan dan meneliti lebih lanjut tentang produk sebelum melaburkan wang anda. FOMO (Kebimbangan Terlepas Peluang) adalah antara pendorong yang lahir daripada sifat tamak.
  9. Jangan mudah percaya dengan mana-mana peluang pelaburan yang tidak dinyatakan secara bertulis. Minta dokumentasi yang relevan tentang produk dan syarikat supaya anda dapat memastikan kesahihan peluang pelaburan yang ditawarkan.
  10. Jangan mudah percaya dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam jangka masa yang singkat, dengan sedikit atau tiada risiko langsung. Ada kalanya ia indah khabar dari rupa.
  11. Lindungi maklumat peribadi anda (nombor MyKad, alamat, maklumat bank, maklumat pelaburan sedia ada dan lain-lain).
  12. Sekiranya pelaburan telah dibuat, simpan semua dokumen yang berkaitan dengan pelaburan tersebut serta perbualan dengan orang dan syarikat yang berurusan dengan anda. Jejak audit ini berguna jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.
  13. Semak kesahihan sijil, invois atau resit yang dikeluarkan atas nama pihak berkuasa seperti SC, Bursa Malaysa, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (CCM), Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dll.
  14. Semak kesahihan nama, logo, laman sesawang dan bukti kelayakan lain untuk mana-mana entiti yang digunakan untuk transaksi pelaburan.
  15. Sekiranya timbul keraguan, hubungi SC di [email protected] atau 03-6204 8999.

Penipu menggunakan ketakutan dan sifat tamak untuk memisahkan mangsa dengan wang mereka maka kita bertanggungjawab melindungi diri dengan sentiasa berwaspada.

Devanesan Evanson

Ketua Pegawai Eksekutif

 


Tinjauan Mingguan AGM/EGM MSWG untuk tempoh 13 hingga 17 September 2021

 

Berikut adalah AGM/EGM syarikat-syarikat di bawah senarai pemantauan Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG) pada minggu ini.

Ringkasan perkara penting disenaraikan di bawah, manakala butiran terperinci soalan yang diajukan kepada syarikat boleh didapati di laman web MSWG di www.mswg.org.my

Tarikh dan Masa

Syarikat

Tinjauan ringkas

13.09.21 (Isnin)
11.00 pagi

Malaysia Airport Holdings Bhd 
(AGM)

Keseluruhan rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports mencatatkan 43.0 juta pergerakan penumpang pada tahun 2020, menyusut 70% berbanding rekod tahun 2019 yang berjumlah 141.2 juta. Disebabkan penurunan jumlah penumpang yang ketara, Kumpulan mencatatkan pendapatan berjumlah RM1.86 bilion pada tahun kewangan 2020, merudum 64% berbanding tahun kewangan 2019. Kumpulan juga mencatatkan kerugian selepas cukai berjumlah RM1.1 bilion, dengan penurunan sebanyak 308% tahun ke tahun.

 

Kelonggaran kawalan sempadan di Malaysia dan negara lain bergantung kepada kadar vaksinasi di setiap negara.

14.09.21 (Selasa)
11.00 pagi

YLI Holdings Bhd
(AGM)

Selaras dengan pendapatan yang lebih tinggi, keuntungan kasar yang lebih tinggi, pendapatan kewangan yang lebih tinggi, perbelanjaan jualan dan pengedaran serta perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, maka Kumpulan mencatatkan kerugian bersih yang lebih rendah berjumlah RM1.126 juta pada tahun kewangan 2021 (tahun kewangan 2020: kerugian bersih RM10.115 juta).

14.09.21 (Selasa)
02.00 petang

Sunway Bhd
(AGM)

Pendapatan Sunway Group menurun 20% tahun ke tahun kepada RM3.8 bilion, sementara keuntungan sebelum cukai menurun 41% tahun ke tahun kepada RM513 juta pada tahun kewangan 2020. Sebahagian besar segmen perniagaan mencatatkan pendapatan dan keuntungan yang lebih rendah, terutama perniagaan Riadah dan Perhotelan yang paling teruk terjejas. Walau bagaimanapun, kepelbagaian perniagaan Kumpulan membantu mengatasi penurunan tersebut.

 

Kumpulan akan mempercepat langkah penerimagunaan digital dalam pelbagai bahagian perniagaan bagi memastikan kesinambungan perniagaan, interaksi dengan pelanggan dan meneroka saluran dan platform baharu supaya dapat mendahului persaingan dan trend pasaran.

14.09.21 (Selasa)
04.00 petang

Sunway Bhd 
(EGM)

EGM ini diadakan untuk mendapatkan persetujuan pemegang saham bagi cadangan pelaburan oleh Greenwood Capital Pte Ltd, sebuah anak syarikat milik penuh tidak langsung GIC (Ventures) Pte Ltd, dalam Sunway Healthcare Holdings Sdn Bhd (“SHC”) yang berjumlah RM750 juta. Persetujuan pemegang saham juga diperlukan untuk cadangan pemberian bantuan kewangan oleh Sunway kepada SHC dan anak syarikatnya yang sedia ada dan yang dicadangkan serta cadangan pemberian bantuan kewangan oleh Sunway Treasury Sukuk Sdn Bhd dan Sunway Treasury Sdn Bhd, kepada Sunway Iskandar Development Sdn Bhd.

15.09.21 (Rabu)
10.00 pagi

Datasonic Group Bhd
(AGM)

Pendapatan Kumpulan yang berjumlah RM138.4 juta (2020: RM247.5 juta) adalah 44.1% lebih rendah daripada tahun sebelumnya, sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan bekalan pasport yang terjejas disebabkan sekatan perjalanan antarabangsa dan penularan wabak COVID-19. Sejajar dengan prestasi barisan atas, keuntungan bersih menurun kepada RM7.3 juta (2020: RM60.4 juta) disebabkan Kumpulan perlu menanggung kos operasi tetap dan kos pembiayaan walaupun operasinya dihentikan, yang memberi kesan terhadap prestasi kewangannya. Walau bagaimanapun, Kumpulan mempunyai tempahan pesanan tertunggak berjumlah RM411 juta pada tahun kewangan 2021 yang dapat bertahan sepanjang tiga hingga lima tahun akan datang.

15.09.21 (Rabu)
10.00 pagi

Land & General Bhd 
(AGM)

Dari tahun ke tahun, L&G Group mencatatkan pendapatan yang jauh lebih rendah berjumlah RM134.89 juta untuk tahun kewangan 2021 berbanding RM139.72 juta pada tahun sebelumnya. Walau bagaimanapun, keuntungan bersihnya meningkat kepada RM33.13 juta, berbanding RM20.63 juta pada tahun sebelumnya.

Lembaga dengan sukacitanya mencadangkan pembayaran dividen akhir satu peringkat sebanyak 0.5 sen sesaham untuk tahun kewangan 2021.

Meskipun persekitaran ekonomi semasa kian mencabar, Kumpulan masih berhati-hati namun tetap berpandangan optimis.

15.09.21 (Rabu)
11.00 pagi

MSM Malaysia Holdings Bhd (EGM)

EGM ini diadakan untuk mendapatkan persetujuan pemegang saham untuk cadangan pelupusan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam MSM Perlis Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik 100% MSM Malaysia Holdings Berhad kepada FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd dengan harga RM175.0 juta, tertakluk kepada pelarasan bersih modal kerja dan hutang bersih selepas selesai.

15.09.21 (Rabu)
12.00 tengah hari

Cypark Resources Bhd 
(EGM)

EGM ini diadakan untuk mendapatkan persetujuan pemegang saham bagi pelantikan Tetuan Baker Tilly Monteiro Heng PLT sebagai juruaudit Syarikat untuk tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2021.

 

Perkara penting untuk diketengahkan:

Syarikat

Perkara/ Isu untuk Diketengahkan

Malaysia Airport Holdings Bhd 
(AGM)

Laporan akhbar The Edge bertarikh 10 Mei 2021 melaporkan bahawa MAHB mengalami kerugian sehingga RM11.9 bilion dalam pendapatan masa depan jika kehilangan Lapangan Terbang Subang, yang mana potensi kerugian kewangan dikira berdasarkan baki konsesi Lapangan Terbang Subang sehingga 2069. Pada 18 Mei 2021, Focus Malaysia melaporkan walaupun terdapat bantahan daripada pelbagai pihak, unit milik penuh WCT Holdings Bhd masih berminat untuk memperoleh Lapangan Terbang Subang dan ia telah menyelesaikan cadangan penuh untuk disampaikan kepada Kementerian Pengangkutan tidak lama lagi. 

(a)  Apakah kebarangkalian Lapangan Terbang Subang dikeluarkan daripada Perjanjian Operasi dengan Kerajaan pada saat ini? Sekiranya ada, berapakah kerugian yang perlu ditanggung oleh MAHB akibat pengeluaran ini?

(b)  Apakah perkembangan terbaru tentang isu ini? Apakah tindakan yang telah diambil oleh Syarikat sehingga kini?

YLI Holdings Bhd
(AGM)

Segmen Pembinaan dan Pengurusan Projek

Sepanjang tahun kewangan yang dikaji, segmen ini mencatatkan kerugian berjumlah RM2,076,000 (tahun kewangan 2020: Kerugian RM1,843,000) (Halaman 111, Laporan Tahunan 2021).

Segmen ini telah menanggung kos projek yang lebih tinggi pada TK2021, seperti yang dilaporkan di halaman 17, Laporan Tahunan 2021.

(a)   Bagaimanakah segmen ini merancang untuk menangani prestasi kewangannya yang semakin merosot? Bagaimanakah tinjauan prestasi kewangan segmen untuk tahun kewangan 2022?

(b)   Apakah kos yang menyumbang kepada peningkatan kos projek? Apakah langkah yang diambil oleh segmen untuk membendung kenaikan kos tersebut?

Sunway Bhd
(AGM)

Peruntukan kerugian Kumpulan terhadap penurunan nilai ke atas amaun terhutang daripada usaha sama meningkat kepada RM52.0 juta pada tahun kewangan 2020 (tahun kewangan 2019: RM46.4 juta) (Nota 34, halaman 293, Laporan Audit Dalaman 2020)

(a)   Apakah nama syarikat usaha sama yang dikenakan kemerosotan nilai ini? Apakah yang menyebabkan kenaikan penurunan nilai dalam tahun kewangan 2020? 

 

(b)   Apakah kemungkinan terjadinya peningkatan kemerosotan nilai dalam masa terdekat?

 

(c)   Apakah kebarangkalian kemerosotan nilai ini akan ditarik balik pada masa akan datang?

Datasonic Group Bhd
(AGM)

Dalam tahun kewangan, Syarikat membeli 16,740,500 saham biasa miliknya yang diterbitkan dari pasaran terbuka dengan harga purata RM0.68 sesaham dan jumlah pertimbangan yang dibayar adalah kira-kira RM11.4 juta termasuk kos transaksi. Pada 31 Mac 2021, Syarikat memegang sejumlah 77,195,000 daripada 2,700,000,000 saham biasa yang diterbitkan dan dibayar penuh, sebagai saham perbendaharaan, dengan amaun dibawa bernilai kira-kira RM37.6 juta (halaman 92, Laporan Tahunan 2021). 

(a)   Apakah alasan di sebalik pembelian balik saham dalam tahun kewangan ini, sedangkan lebihan tunai Kumpulan boleh digunakan untuk dilaburkan semula dalam perniagaan itu sendiri untuk menyokong pertumbuhan Syarikat, membayar balik pinjaman atau diagihkan sebagai dividen tunai kepada pemegang saham dan bukannya digunakan untuk membeli saham Syarikat di pasaran terbuka?

(b)   Apakah perancangan Syarikat untuk 77,195,000 saham perbendaharaan yang dipegang ini?

Land & General Bhd 
(AGM)

Inventori unit pembangunan siap Kumpulan telah meningkat dengan ketara daripada RM30.8 juta pada tahun kewangan 2020 kepada RM142 juta pada tahun kewangan 2021, dengan peningkatan sebanyak RM111.2 juta atau 361%. (Halaman 134, Laporan Tahunan)

(a)   Apakah yang menyebabkan inventori unit pembangunan yang siap dibina ini masih belum terjual?

(b)   Di manakah lokasi dan nilai setiap unit pembangunan siap yang masih belum terjual pada tahun kewangan 2021?

(c)   Apakah langkah yang diambil untuk melangsaikan jumlah inventori unit pembangunan siap untuk dijual yang tinggi ini?

(d)   Berapakah jumlah unit pembangunan siap, dalam unit dan nilai, yang berjaya dijual selepas tahun kewangan 2021 sehingga kini?

 

PEMANTAUAN KORPORAT MSWG

Devanesan Evanson, Ketua Pegawai Eksekutif, ([email protected])

Linnert Hoo, Ketua, Penyelidikan & Pembangunan, ([email protected])

Norhisam Sidek, Pengurus, Pemantauan Korporat, ([email protected])

Lee Chee Meng, Pengurus, Pemantauan Korporat, ([email protected])

Elaine Choo Yi Ling, Pengurus, Pemantauan Korporat, ([email protected])

Lim Cian Yai, Pengurus, Pemantauan Korporat, ([email protected])

Ranjit Singh, Pengurus, Pemantauan Korporat, ([email protected])

Rita Foo, Pengurus, Pemantauan Korporat, ([email protected])

Nor Khalidah Mohd Khalil, Pengurus, Pemantauan Korporat, ([email protected])

 


PENDEDAHAN KEPENTINGAN

Berkenaan syarikat-syarikat yang dinyatakan, MSWG memiliki jumlah saham minimum dalam semua syarikat yang diliputi dalam surat berita ini.


PENOLAKAN TUNTUTAN

Surat berita ini dan isi kandungannya berserta semua hak-hak berkaitan dengannya termasuk hak cipta dimiliki oleh Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Berhad, juga dikenali sebagai Minority Shareholders Watch Group (MSWG).

Isi kandungan dan pendapat yang dinyatakan di dalam surat berita ini adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada domain awam dan bertujuan untuk memberikan maklumat umum kepada pengguna dan adalah untuk rujukan sahaja. Usaha terbaik telah dilakukan untuk memastikan maklumat yang terkandung di dalam surat berita ini adalah tepat dan terkini pada tarikh penerbitan. Walaubagaimanapun, MSWG tidak membuat sebarang waranti nyata atau tersirat atas ketepatan atau kelengkapan maklumat dan pendapat yang terkandung di dalam surat berita ini. Tiada maklumat di dalam surat berita ini yang bertujuan atau patut dianggap sebagai syor untuk membeli atau menjual atau jemputan untuk melanggan sekuriti tertentu, pelaburan yang berkaitan atau mana-mana instrumen kewangan.

MSWG perlu diberikan perakuan bagi mana-mana bahagian surat berita ini yang diterbitkan semula.

MSWG tidak akan bertanggungjawab atau menanggung sebarang liabiliti atas kebergantungan kepada sebarang maklumat atau komen yang terkandung di dalam surat berita ini atau jika ianya diterbitkan semula oleh pihak ketiga. Semua pembaca atau pelabur dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat perundangan atau nasihat profesional yang lain sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan surat berita ini.

Language: