News
BNM BENAR RUNDINGAN SERENTAK: LANGKAH KE HADAPAN
16 November 2006
BPPSM mengalu-alukan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membenarkan institusi kewangan untuk berunding secara serentak dengan lebih daripada satu pihak bagi cadangan penjualan atau pembelian kepentingan mereka. Peraturan baru ini melibatkan pihak yang bercadang untuk berunding mengenai pembelian atau penjualan kepentingan sebanyak 5 peratus atau lebih dalam institusi berlesen di bawah kawalselia BNM.
Pada bulan Mac lalu BPPSM telah mengeluarkan kenyataan berkaitan cadangan pengambilalihan Southern Bank Berhad oleh Bumiputra-Commerce Holdings Berhad di mana BPPSM telah menyarankan supaya pihak berkuasa membenarkan pembidaan kompetitif bagi bank-bank dalam situasi pengambilalihan. Walaubagaimanapun, sewaktu cadangan pengambilalihan BCHB-SBB, bank-bank hanya dibenar untuk berunding dengan satu pihak sahaja pada satu masa. BPPSM gembira Bank Pusat kini telah melonggarkan peraturan ini, yang akan menggalakkan situasi penggabungan dan pembelian yang dipacu oleh pasaran.
Perkembangan ini juga adalah baik bagi pemegang-pemegang saham bank yang menjadi sasaran penggabungan, terutamanya pemegang-pemegang saham minoriti. Cadangan pembelian pada nilai yang munasabah boleh melibatkan pertukaran pemegang-pemegang saham utama syarikat dan premium yang diletakkan akan memberi manfaat kepada semua pemegang saham. Oleh itu, keupayaan memperoleh bida daripada beberapa pihak secara serentak akan memberikan terma tawaran yang lebih kompetitif, selain daripada harga yang lebih menarik dan munasabah. Bank-bank akan dapat menimbang beberapa tawaran dan lembaga pengarah mereka akan dapat menimbang dengan lebih baik tawaran mana pada pendapat mereka memberi nilai yang terbaik bagi semua para pemegang kepentingan.
Peraturan baru ini adalah tepat pada masanya sejajar dengan agenda pembaharuan sektor kewangan negara dan menuju ke arah persekitaran yang lebih nyahkawal selia. Ia merupakan langkah positif yang akan menggalakkan pelabur-pelabur asing untuk melibatkan diri dalam pasaran modal negara, terutamanya dalam sektor perbankan dan mewujudkan institusi-institusi kewangan yang lebih mantap dan berdaya saing.
Institusi-institusi perbankan kini boleh memandang ke arah memperluaskan pengagihan pemegangan saham melalui kemungkinan penglibatan pelabur-pelabur asing bagi memacu pertumbuhan yang dinamik dan nilai pasaran, dan juga meningkatkan nilai pemegang saham daripada pertambahan modal melalui rangkaian antara sempadan dan persepakatan strategik.
BPPSM berpandangan ketelusan dan fleksibiliti yang berpatutan mestilah merupakan tunggak dalam meliberalisasikan sektor kewangan dan pengukuhan ekonomi negara, di mana kita dapat memberi tindakbalas secara pantas dan cekap bagi penggabungan dan daya saing dalam industri perbankan global.
Abdul Wahab Jaafar Sidek
Chief Executive Officer
Minority Shareholder Watchdog Group (MSWG)
Dated: 16 November 2006